Halaman

16 August 2010

Solat Terawih Bersama Imam Dari Timur Tengah

Oleh : SURIATI BINTI ALI

Seramai 31 imam dari Timur Tengah ditempatkan di masjid seluruh Terengganu bagi memimpin solat terawih sepanjang Ramadan ini.

Daripada jumlah itu, tujuh imam didatangkan dari Makkah, tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) kira-kira jam 8.40 malam, Jumaat lalu (13 Ogos).

Mereka disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penolong Pesuruhjaya (Imam Besar), Encik Aizi Saidi dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Encik Khazan Che Mat dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama, Dato’ Haji Shaikh turut meraikan mereka di Majlis Suai Kenal yang diadakan di Ri-Yaz Pulau Duyung, Kuala Terengganu pada malam yang sama

Encik Aizi berkata, seramai 10 imam Makkah dijemput kerajaan negeri ini pada Ramadan tahun ini, tujuh daripada mereka sudah tiba manakala selebihnya dijangka tiba dalam masa terdekat.

Mereka ditempatkan di masjid utama seperti Masjid Abidin, Masjid al-Muktafibillah, Masjid Tengku Zaharah, Masjid Wakaf Tembesu dan Masjid Kristal..

“Pihaknya berbangga kerana 21 imam berasal dari Mesir dan sudah lama bertugas di negeri ini bersetuju mengimankan solat terawih di daerah tempat mereka bertugas.

“Program membawa imam dari Arab Saudi dan Mesir yang dimulakan tahun lalu, akan diteruskan setiap kali menjelang Ramadan kerana ia mendapat sambutan menggalakkan daripada jemaah selain dapat mengimarahkan lagi masjid,” katanya

Umat Islam sewajarnya merebut peluang ini, kerana ia dapat menambahkan lagi ilmu khususnya berkaitan bacaan mengikut tajwid sebenar.

TEGANUKITA