Halaman

11 August 2010

Pendidik Pewaris Tugas Rasul

Oleh: Esah Abdullah

Warga pendidik dipandang tinggi di sisi masyarakat dan agama kerana mereka adalah pewaris tugas-tugas Rasulullah saw di dalam membimbing manusia ke jalan yang benar, mencetus mobiliti sosial sesebuah masyarakat dan membentuk tamadun manusia menerusi pendidikan serta penyebaran ilmu pengetahuan.

“Adalah jelas bahawa pengurus pendidikan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang besar kepada negara,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2009 Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI) Kuala Terengganu petang semalam (10 Ogos).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Pelajaran Terengganu, Haji Ariffin Embong.

Katanya, peranan ini perlu sentiasa ditambah baik menerusi penonjolan tahap perkhidmatan yang cemerlang dan menjangkau ekspektasi agar matlamat melahirkan modal insan yang berkualiti dapat dicapai.

“Sebagai pengurus pendidikan, warga JPN perlu mengambil sikap proaktif dan sentiasa bersedia untuk menangani perubahan dengan merangka strategi dan menggembleng pelaksanaan yang sesuai dan berkesan dengan keperluan semasa,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad kemudiannya menyeru agar dasar yang dirangka serta prinsip yang menjadi pegangan dapat dilaksanakan dan dikaji kesesuaian dari masa ke semasa supaya sentiasa relevan dengan matlamat membina negara bangsa dan menghasilkan sumber manusia yang berkualiti dan bertaraf dunia.

“Saya percaya, rakyat mahukan perkhidmatan yang berkualiti dan meletakkan harapan yang tinggi kepada warga pendidik untuk mendidik dan memimpin anak-anak mereka menjadi manusia berguna,” katanya.

Katanya, sebagai penjawat awam, harus menyulam diri dengan nilai-nilai murni yang mendasari kecemerlangan prestasi ini termasuklah nilai integriti dan profesional dalam menyampaikan perkhidmatan yang telus dan bersih.

“Carilah redha Ilahi di dalam kerja kita, semoga akal budi, integriti dan profesional mendapat restu di samping memberi kesan positif seperti yang diharapkan serta keyakinan rakyat akan meningkat,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad melahirkan keyakinannya, segala matlamat dan dasar serta program yang dirangka berjaya dicapai sekiranya semua komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan serta sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti perkhidmatan tanpa mengharapkan habuan.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan APC berupa sijil penghargaan kepada 1,878 warga pendidik dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) serta kakitangan JPN dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) seluruh negeri.

TEGANUKITA