Halaman

10 August 2010

Lima saksi lagi tampil kes perbicaraan SMS

Lima lagi saksi tampil memberi keterangan dalam kes perbicaraan Ahli Politik, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohd Zubir yang menghadapi empat tuduhan berhubung ugutan jenayah melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu tahun lalu, di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini (9 Ogos).

Saksi pertama yang tampil pada perbicaraan hari ini yang juga saksi kelapan kes itu, Inspektor Mohaniza Jasnan dari Cawangan Hal Ehwal Awam yang berkhidmat dengan PDRM sejak 1 Disember 2005.

Pada 14 April 2009, kira-kira 1.10 pagi, Mohaniza ketika itu bertugas sebagai penyiasat jenayah di Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Terengganu bermula 13 April 2009 jam 8 pagi sehingga 14 April 2009 jam 8 pagi menerima satu laporan polis yang dibuat oleh Adun Permaisuri, YB Abdul Halim Jusoh.

Dia diminta membuat pengecaman laporan polis berkenaan dan mengesahkannya sebagai betul. Sejurus selepas itu, Muhaniza mengambil keterangan YB Halim dan memaklumkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD), DSP Harry Chung.

Sejurus itu, Muhaniza mengarahkan jurufoto bertugas, Lans Koperal Yu Varaj mengambil gambar telefon bimbit dan ayat pada mesej telefon tersebut.

Ketika menjawab soalan pendakwa raya, Muhaniza menjelaskan ayat yang tertera pada gambar telefon bimbit itu berbunyi “Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?” dengan nombor pengirim mesej +60199158369.

Muhaniza turut bertindak mengarahkan jurufoto mengambil pula gambar Adun Paka YB Mohd Ariffin Abdullah berhubung perkara yang sama dan ayat pada mesej juga berbunyi “Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa”.

Dia memaklumkan bahawa kedua-dua YB ada bersama dan kedua-duanya bertindak menunjukkan mesej-mesej itu kepadanya ketika laporan itu dibuat.

Muhaniza juga bertindak menyemak kedua-dua sim kad dalam telefon bimbit pengadu kes berkenaan.

Menjawab soalan pendakwa raya, Muhaniza menjelaskan dia tidak terlibat dalam penyiasatan seterusnya kerana KBSJD mengarahkan Pegawai Penyiasat, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle mengambil alih kes itu pada hari berikutnya.

Selesai mengambil gambar pada 14 April 2009 antara jam 8.00 – 8.30 pagi, Muhaniza menyerahkan rakaman percakapan dan salinan laporan kepada ASP Hadzwan.
Telefon diambil semula pengadu selepas selesai rakaman percakapan dibuat.

Manakala saksi kedua (saksi ke-9) hari ini, Lans Koperal Azwan Hafiz Abd Hamid dari IPD Hulu Terengganu diarahkan oleh Inspektor Sudirman mengambil gambar telefon Adun Ajil, YB Rosol Wahid di rumahnya, di Batu 23, Kuala Berang pada 14 April 2009.

Azwan Hafiz memberitahu mahkamah, terdapat sekeping negativif yang merujuk kepada gambar A dan B di mana gambar yang sama tetapi hanya membezakan gambar B di `close up’ sedikit dan lebih dekat.

Dia kemudiannya membacakan ayat yang tertera pada telefon bimbit itu yang menyebut “Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa”.

Azwan Hafiz memberitahu mahkamah dia menerima telefon bimbit itu daripada Inspektor Sudirman dan Inspektor Sudirman yang membukakan mesej pada telefon bimbit itu sebelum dia bertindak mengambil gambar.

Ketika kejadian, turut berada di rumah YB Rosol adalah isteri dan seorang kawan beliau.

Saksi ke-10, Lans Koperal Shazril Azri Mohamad dari cawangan jenayah IPD Kuala Terengganu yang bertugas pada 15 April 2009, kira-kira jam 5 petang menerima arahan ASP Hadzwan supaya mengambil gambar telefon di cawangan jenayah IPD Kuala Terengganu dan dia bertindak merakamkan empat keping gambar.

Saksi ke-11, Detektif Ghazali Abd Rahim, jurufoto siasatan jenayah IPD Kuala Terengganu pada 12 Mei 2009 menerima arahan kira-kira jam 3.30 petang untuk mengambil gambar barang-barang kes di pejabat standby, IPD Kuala Terengganu. Barang-barang berkenaan merupakan dua telefon bimbit, dua komputer riba dan satu modem.

Manakala saksi ke-12, Hazwan Abu Hassan, Pengarah Mobile Biz Network yang beralamat di Seksyen 9, Shah Alam Selangor, tampil memberi keterengan berhubung produk ditawarkan di syarikatnya yang berkaitan teknologi maklumat khususnya dalam penjualan aplikasi SMS.

Pada April 2009, dia yang bekerja tetap dan bertugas sebagai pegawai pemasaran seorang lagi pekerja tetap, Encik Latif Khantong dan tiga pelatih dari universiti mengendalikan perniagaan tempahan SMS serta beberapa sistem lain seperti Info Solat, Hadith, Ring Tones, Sistem Aduan Rakyat dan Info Centre.

Hazwan ketika ditanya pendakwa raya, menjelaskan sistem SMS broadcast adalah satu aplikasi SMS yang membolehkan penghantaran SMS dalam kuantiti yang banyak dari telefon bimbit ke telefon bimbit secara serentak menerusi platform internet yang kebiasaannya menggunakan komputer.

Penggunaan telefon katanya mengehadkan jumlah penghantaran mesej dari telefon ke telefon, berbanding aplikasi broadcast yang boleh menghantar mesej sehingga ke 50 ribu nombor telefon serentak dengan beberapa klik sahaja.

Pada 14 April 2009, ketika dia sedang menonton berita di rumahnya, terdapat berita mengenai SMS ugutan di Terengganu yang dipercayai melibatkan SMS melalui internet.
Berita itu menarik perhatiannya kerana kemungkinan SMS itu dihantar melalui system SMS broadcast dan mungkin juga ianya adalah sistem syarikat yang dijalankan beliau.

Sejurus itu, Hazwan bertindak mengarahkan, Latif Khantong menjalankan pemeriksaan transaksi log SMS pada 13 April 2009 ada atau tidak tertera mesej yang ada menyebut `YB tak sayang nyawa ke? dalam log transaksi admin pelanggan mereka.

Ketika ditanya mengenai log transaksi, Hazwan memberitahu mereka boleh melihat transaksi penghantaran SMS di dalam sistem aduan syarikat itu sendiri dan semua transaksi ini dikumpulkan dalam sistem syarikatnya.

Hazwan sebelum itu turut memaklumkan laman sesawang atau URL syarikatnya adalah www.ownsmsbiz.com/v1 .

Timbalan Pendakwa Raya Tuan Ishak Yusof, dibantu oleh Nur Azimul Azami dan Ooi Cho Oi Gaik manakala Datuk Ahmad Ramzi diwakili peguam, Dato’ Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman.

Hakim M.Bakri Abd Majid memerintahkan perbicaraan berhenti rehat dan bersambung sebelah petang.

TEGANUKITA