Halaman

10 August 2010

Masalah kemasukan peserta Felda diatasi

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri bersetuju menyediakan kertas cadangan kepada pengurusan Felda bagi menyelesaikan masalah berhubung kemasukan peserta baru sebagai peneroka di tanah yang dimajukan perbadanan itu.

“Cadangan baru ini ialah meminta Felda membuat bayaran kepada 3,700 keluarga miskin dan termiskin di negeri ini dengan kadar RM1,000 sebulan,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said ketika menjawab soalan Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini (9 Ogos).

Beliau berkata, kertas cadangan tersebut adalah tambahan kepada dua cadangan terdahulu iaitu memasukkan peneroka baru dan kedua meminta Felda membayar 30 peratus kepada kerajaan negeri daripada pendapatan tanah yang dimajukan untuk diagihkan kepada golongan miskin.

Kerajaan negeri menyerahkan 15,200 hektar tanah kepada Felda sambil mengharapkan Felda akan memasukkan peneroka kerana kerajaan negeri berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan golongan petani dan nelayan.

Namun begitu, pada 1 Januari 1986 Felda telah mengubah dasarnya dan tidak lagi memasukkan peserta di atas tanah yang diusahakan dan sejak itu sudah dua kali kerajaan negeri menolak pemberian bayaran daripada pihak Felda ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar dan kemudiannya Dato’ Seri Idris Jusoh.

“Kerajaan percaya dengan 15,200 hektar tanah yang dibangunkan Felda dapat menempatkan 3,700 keluarga miskin dengan kadar empat hektar bagi setiap peneroka, dengan ini kita dapat mengurangkan lebih 50 peratus masalah kemiskinan kalangan masyarakat,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad memaklumkan dua bulan lalu telah menemui Perdana Menteri bagi menyatakan hasrat kerajaan negeri berkait dengan masalah yang tidak ada penyelesaiannya ini dan mendapat reaksi positif daripada Dato’ Seri Mohd Najib.

“Satu perjumpaan sedang diatur untuk bertemu dengan Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Noor bagi mencari penyelesaian,” katanya.

Menurut Dato’ Seri Ahmad, sehingga ini Terengganu mempunyai 5,500 keluarga miskin dan termiskin yang perlu dibantu untuk mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan sebab itu kerajaan masih mempertahankan konsep untuk memasukkan peneroka.

“JIka 3,700 orang dapat dimasukkan ke dalam tanah rancangan atau diberi elaun bulanan RM1,000, baki 1,800 keluarga miskin akan diserapkan kedalam pelbagai program yang dijalankan oleh kerajaan pasti usaha mengurangkan kadar kemiskinan dapat dicapai,” katanya.

Katanya, hanya Terengganu satu-satunya negeri yang tidak menerima bayaran daripada Felda apabila agensi itu mengubah dasarnya lebih 20 tahun lalu manakala negeri lain semuanya menerima bayaran ini kerana kerajaan negeri masih menjalankan rundingan dengan pihak Felda.

TEGANUKITA