Halaman

10 August 2010

Pakar jantung anak tempatan

Oleh: Esah Abdullah

Institut Jantung Terengganu (IJT) akan diterajui oleh seorang doktor pakar anak tempatan yang akan pulang berkhidmat ke negeri ini apabila IJT berkenaan mula beroperasi kelak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata doktor berkenaan dikagumi ramai kerana mampu melakukan kaedah pembedahan tanpa perlu menghentikan jantung.

“Beliau satu-satunya doktor pakar di negara ini yang tidak membuat pembedahan pesakit jantung melalui dada sebaliknya pembedahan melalui rusuk serta menjahit ketika jantung berdenyut,” katanya.

“Setakat ini saya tidak boleh mendedahkan identiti pakar berkenaan, tunggulah sehingga IJT memulakan operasinya,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Dato’ Seri Abdul Hadi Awang (Pas – Rhu Rendang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman (9 Ogos).

Katanya, doktor berkenaan akan kita lantik sebagai Pengarah Urusan (MD) di IJT yang terletak di Kijal, Kemaman dan buat masa ini beliau turut memberi khidmatnya di sebuah klinik pakar milik kerajaan negeri di Kuala Lumpur.

“Walaupun memiliki IJT sendiri berkonsepkan perniagaan, namun kerajaan akan tetap meletakkan kepentingan rakyat sebagai agenda utama membantu pesakit kronik di negeri ini mendapatkan rawatan terbaik,” katanya.

Katanya, seperti Institut Jantung Negara (IJN), IJT juga akan menggunakan kaedah yang sama iaitu membantu meringankan beban rakyat dimana mereka yang berkemampuan akan dikenakan bayaran penuh dan bagi yang tidak mampu diberi kelonggaran 50-50 dan seterusnya ditanggung penuh oleh kerajaan bagi mereka yang benar-benar tidak mampu.

Ketika menjawab soalan tambahan daripada wakil Pas Manir, Dato’ Harun Taib yang ingin tahu kenapa memilih Kijal untuk membina IJT, Dato’ Seri Ahmad menjelaskan perkara itu hanya kebetulan dan bukan kerana beliau orang Kemaman.

“Premis ini yang asalnya sebuah resort dibeli dengan harga lebih murah iaitu RM25 juta daripada harga asal RM60 juta dan lokasinya sangat menarik, tepi pantai dan berdekatan tasik di Kijal,” katanya.

Katanya, kerja-kerja mengubah suai bangunan berkenaan akan dimulakan tidak lama lagi dan bila siap dan beroperasi ia dijangka dapat memberi manfaat besar kepada orang-orang di sebelah Pantai Timur kerana tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan jantung.

TEGANUKITA