Halaman

01 December 2011

Terengganu wujud hubungan baik dengan Arab Saudi

Kerajaan Terengganu berjaya mengadakan hubungan baik dengan kerajaan Arab Saudi menerusi penghantaran hakim mahkamah syariah negeri ini menghadiri kursus kehakiman di negara Teluk itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata bermula tahun lalu kerajaan negeri telah menghantar seramai 20 hakim mahkamah syariah mengikuti kursus selama sebulan di Riyadh.

"Segala biaya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Inovasi peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, kelmarin.

Beliau berkata, dalam masa yang sama kerajaan negeri meluluskan sejumlah peruntukan membolehkan ketua hakim dan hakim-hakim mahkamah berkenaan menghadiri kursus Mediasi Lanjutan di Australia tahun ini.

Beliau berharap pegawai-pegawai yang telah berjaya mengikuti kursus tersebut mempraktik dan melaksanakan apa yang diperolehi dalam penghakiman setiap hari.

"Semoga hakim dapat menyelesaikan segera kes-kes yang tertunggak sebelum ini," katanya.

Dato’ Haji Mazlan berkata, yang lebih penting lagi pihak-pihak yang bertelagah tidak merasakan diri mereka dianiayai dan mengelak masyarakat daripada membuat tuduhan yang tidak baik.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya berkata mahkamah syariah seluruh Terengganu berjaya menyelesaikan kira-kira 340 kes setiap bulan atau lebih 15,000 kes setahun.

Menurut beliau, kebanyakan kes itu ialah mengenai perceraian dan tuntutan nafkah dan kini nota bicara kes di mahkamah dapat diselesaikan dalam masa satu jam selepas perbicaraan berbanding tiga atau enam bulan sebelum ini.



Kerajaan usaha atasi banjir di Setiu



Satu projek khusus dan menyeluruh untuk mengatasi masalah banjir di daerah Setiu sedang dirangka Kerajaan Terengganu dengan melibatkan perbelanjaan yang besar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, YB Haji Asha'ari Idris berkata pihaknya telah memohon peruntukan Kerajaan Pusat di bawah projek mengatasi masalah banjir di Lembah Setiu sejak tahun lepas, tetapi ia belum diluluskan lagi.



"Kita memang ada projek khusus untuk mengatasi masalah banjir di sini. Cadangan kita untuk mendalamkan muka kuala agar dapat mengalirkan air terus ke laut.

"Projek yang menelan belanja ratusan juta itu belum bermula kerana ia masih dalam pertimbangan kerajaan pusat," katanya.
YB Asha'ari berkata apabila projek itu menjadi kenyataan kelak, ia boleh mengatasi atau mengurangkan masalah banjir yang berlaku setiap tahun di daerah itu.

Bagaimanapun, katanya projek tahunan mendalamkan sungai Setiu yang dilaksanakan kerajaan Terengganu memang ada, tetapi ia tidak memadai.

"Ia kena ada projek khusus yang boleh mengatasi masalah banjir secara keseluruhan atau sekurang-kurangnya mengurangkan masalah itu.



"Jika menjadi kenyataan, ia bukan setakat menyelamatkan penduduk, tetapi juga boleh mengatasi masalah petani yang tanaman mereka sering ditenggelami air," katanya.

Banjir yang melanda Terengganu minggu lepas menyaksikan daerah Setiu paling teruk ditimpa bencana alam itu.

Selain itu, kira-kira 60 petani di Kampung Tasik dan Kampung Buluh di daerah itu kerugian hampir setengah juta ringgit apabila tanaman padi rosak akibat ditenggelami air.



30 November 2011

Sukan bina kekuatan fizikal dan mental

Oleh; Esah Abdullah

Aktiviti bersukan merupakan satu elemen penting dalam kehidupan individu, kerana kekuatan dan keupayaan fizikal yang menguasai kemahiran dan strategi itu bergabung dalam aktiviti berkenaan.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, individu bergiat cergas dalam sukan mampu memberi memberi kesan langsung terhadap fizikal, mental dan juga psikologi.

“Kecemerlangan dan ketrampilan dalam aspek pembangunan intelek turut dilengkapi dengan kekuatan jasmani dan kemahiran insaniah sejajar dengan aspirasi kerajaan melahirkan modal insan berkualiti,”.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Kejohanan Badminton Wanita Piala Isteri Menteri Besar di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr Yahya Ibrahim; Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Prof. Madya Dr. Norsiah Ahmad dan Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi, Haji Mohamad Rafee Jusoh.

To’ Puan Seri Norliza kemudiannya mengalu-alukan usaha pihak UMT menyuburkan aktiviti riadah ini serta peka dengan tuntutan semasa dengan mengadakan kejohanan berasingan antara pelajar lelaki dan wanita untuk memberi keselesaan keduanya.

“Sukan wanita bukan sahaja dapat melahirkan atlet berpotensi tetapi turut menggalakkan golongan itu untuk jadi juara di peringkat antarabangsa,” katanya.



Beliau juga berharap kejohanan ini dijadikan acara tahunan kerana penglibatan pelajar dalam bidang sukan memang terbukti mampu membentuk sifat individu yang dinamik dan berketerampilan.

Sementara itu, Prof. Dr Yahaya Ibrahim dalam ucapannya berkata, universiti mahu melihat atlet menjadi contoh atau role model kepada pelajar lain.

Katanya, dalam sukan pelbagai perkara boleh dipelajari termasuk patuh kepada arahan jurulatih, membina kesepaduan pasukan menerusi kesabaran, ketetapan masa, bertolak ansur dan bekerjasama.




Delegasi Terengganu ke Sukan Sea timba pengalaman


Oleh FAUZI MOHD

Pelbagai perkara telah dipelajari oleh delegasi Terengganu yang berpeluang membuat lawatan tinjauan ke Sukan Sea Jakarta/ Palembang pada 13 hingga 20 November lalu.

Lawatan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB. Rozi Mamat bertujuan untuk memberi sokongan moral kepada atlit Terengganu yang mewakili Malaysia ke kejohanan itu.


Aspek pengurusan penganjuran dan venue perlawanan antara yang dapat diperhatikan sebagai pembelajaran kepada delegasi untuk penganjuran pelbagai acara sukan di Terengganu.

Turut serta, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin, wakil Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), pegawai Majlis Sukan Negeri serta wakil persatuan dan kelab sukan di Terengganu.


Pada kejohanan ini, seramai 55 atlit Terengganu mewakili Malaysia dalam 13 acara termasuk memanah, lumba basikal, bola sepak, judo, silat, kanu, olahraga, takraw dan sofbol.

Semua vanue perlawanan dilawati iaitu Spo Jakabaring Sepak Takraw, Jakabaring Chooting Range, Stadium Gelora Sriwajaya, Stadium Atlantik Jakabaring, Kompleks Wisma Atlet dan Dempo Dewan Gimnastik.


ADUN Tepoh Pemimpin Umno pertama melawat gerai UKOM

Laporan: Mohammad Ishak

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Yang Berhormat Muhammad Ramli Nuh menjadi pemimpin Umno pertama negeri ini yang berpeluang melakukan lawatan ke gerai pameran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) Kuala Lumpur.



Ketibaan Ramli yang tiba kira-kira jam 6 petang semalam disambut Timbalan Pengarah UKOM, Encik Ruslan Abd Rahman serta kakitangan unit berkenaan
UKOM adalah antara agensi kerajaan negeri terunggul menyediakan gerai khas sempena Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung sejak semalam dan berakhir 3 Disember ini.

Sementara itu, pengunjung memuji usaha yang dilakukan oleh UKOM yang mengambil bahagian dalam pameran berkenaan kerana ia berjaya mendedahkan mesej kerajaan negeri mempromosi negeri ini.

Menerusi pameran itu ia secara tidak langsung dapat memberi maklumat kepada pengunjung mengetahui landskap pelancongan negeri Terengganu yang sememangnya mempunyai banyak tempat menarik.

Seorang pengunjung Lisa Rusman, 21, dari Sabah berkata, beliau kagum dengan perkembangan pembangunan yang berlaku di Terengganu dan bercadang untuk melakukan lawatan ke negeri ini.

Katanya,menerusi pameran yang diadakan ia dapat membantu dia mengetahui pelbagai aspek kehidupan yang ada di negeri ini menerusi risalah yang disedaiakan.



Tandas bersih tingkat imej negeri

Oleh; Esah Abdullah

Masyarakat di negeri ini diminta sentiasa mementingkan kebersihan persekitaran bagi mengelak serangan penyakit berjangkit di samping menjaga imej negeri di mata umum.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Ghani Idris berkata, orang ramai sering mengambil mudah serta menganggap menjaga kebersihan itu sesuatu perkara kecil dan remeh.

“ Contohnya isu kebersihan tandas awam yang perlu di pandang serius oleh semua golongan masyarakat kerana keadaan tandas di negeri ini berada pada tahap yang 'kurang memuaskan',” katanya.

Enci Ghani berkata demikian di Seminar Pengurusan dan
Pengauditan Tandas Awam anjuran MBKT, di Perbadanan Perpustakan Awam Terengganu (PPAT) semalam.

Seramai 150 peserta terdiri dari pengusaha kedai makan dan restoran, pengusaha tandas awam, pengusaha stesen minyak, wakil masjid-masjid dan agensi kerajaan menghadiri seminar sehari itu.

“Isu kebersihan tandas awam merupakan sesuatu yang serius dan seminar ini memberikan pendedahan kepada pengguna dan pengusaha mengenai kaedah penjagaan tandas awam yang betul,” katanya.

Menurutnya, isu kebersihan terutama tandas awam bukan perkara kecil kerana ia menjejas imej kerajaan di kalangan pelancong yang berkunjung ke negeri ini, sama ada pelancong tempatan mahupun luar negara.

Sehubungan itu katanya, dalam usaha memelihara kebersihan tandas awam, aspek budaya pengguna tandas awam merupakan faktor paling rumit untuk diubah dan ditangani.

Tambahnya, tandas yang baik, bukan hanya perlu bersih tetapi perlu di sediakan dengan peralatan yang lengkap dan tiada unsur vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab..

Beliau menambah usaha berterusan juga akan dilakukan pihak berkuasa tempatan bagi mempertingkatkan tahap kebersihan tandas awam termasuk meletakkan kelas tertentu terhadap tandas awam sebagai dorongan menjadi lebih baik .







Naik taraf stadium untuk kejohanan Piala AFC


Oleh FAUZI MOHD

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan bola sepak di Terengganu dinaik taraf oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai persiapan Liga Malaysia musim 2012.

Pengarah Korporat Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT Mohd Huzairi Nizam Ibrahim berkata, Kerajaan negeri memberi peruntukan RM600,000 untuk tujuan tersebut.

"Apabila siap dinaik taraf dan baik pulih nanti, stadium mampu memberi lebih banyak keselesaan kepada pemain dan juga penonton terutamanya dari segi keselamatan," katanya baru-baru ini.

Menurut Mohd Huzairi, pengubasaian stadium yang berusia hampir 30 tahun itu antaranya menambah baik pencahayaan lampu limpah, menaik taraf bilik persalinan pengadil, lorong keluar pemain dan bilik media.

Bagaimanpun katanya, tempat duduk penonton tidak diusik dan kekal sepertimana biasa dan kerja-kerja tersebut dijadual siap sebelum pra musim bermula tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata stadium itu akan digunakan bagi pertandingan bola sepak Piala AFC yang melibatkan pasukan Terengganu tahun depan.

Katanya untuk menjayakan pertandingan itu, stadium itu perlu diperbaiki bagi disesuaikan dengan kejohanan bertaraf antarabangsa itu termasuk kecahayaan lampu limpahnya.

"Ikut piawaian AFC, kecahayaan lampu limpah 1,400 lux sedangkan kecahayaan lampu limpah di stadium itu adalah 800 lux," katanya.


Zacharia beraksi bersama T-Team musim 2012

Oleh FAUZI MOHD

Pemain dari Zambia, Zacharia Simikounda akan menyertai pasukan T-Team bagi menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

Jurulatih Yunus Alif berkata, pemain penyerang berumur 28 tahun itu pernah mewakili Perlis pada tahun 2007.

"Zacharia telah melepasi ujian dan dia memenuhi kriteria yang kita tetapkan. Seorang lagi pemain import akan diuji minggu depan," katanya semalam.

Beliau berkata Zacharia mewakili kelab Red Arrows, Zambia pada 2011 selepas bermain dengan kelab Al-Faizaly dalam liga Jordan pada 2009 hingga 2010.

Yunus berkata beliau yakin Zacharia mampu menjulang nama T-Team memandangkan pengalamannya bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini.

Sementara itu, T-Team akan mengambil sembilan pemain baru bagi menggantikan pemainnya yang berhijrah ke pasukan lain musim 2012 seperti Indra Putera Mahayuddin, Mohd Nor Farhan Mohamad dan Azizi Matt Rose yang berhijrah ke Kelantan.

Sembilan pemain baru itu ialah masing-masing tiga dari Selangor, Perlis dan Terengganu.

Yunus berkata T-Team akan menggadakan perlawanan persahabatan di Selangor bulan depan bagi menguji keserasian pemain.

TSG mahu gegar Eropah

Oleh FAUZI MOHD

Setelah menduduki tempat keempat daripada 75 pasukan benua Asia dalam ranking Union Cycling International (UCI), Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) bercadang menyertai kejohanan jemputan lumba basikal benua Eropah musim 2012.

Pengurus TSG, Ahmad Kamarul Idrus berkata, pasukan yang ditubuhkan Kerajaan Terengganu itu merancang menyertai 18 kejohanan lumba basikal di bawah kalendar UCI bermula Januari hingga November tahun depan.

Katanya, kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah perlumbaan pertama dalam kalendar UCI mulai 20 Februari hingga 4 Mac yang disertai TSG sebelum menyertai kejohanan lain di benua Asia dan Eropah.

“Selepas LTdL, kita akan dapatkan jemputan daripada penganjur-penganjur untuk menyertai kejohanan di benua Eropah yang dijangka bermula Jun tahun depan.

“Langkah itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba kita di samping melebarkan sayap penyertaan setaraf dengan status TSG yang bertaraf dunia,” katanya baru-baru ini.

Kamarul berkata, dalam penampilan pertamanya di benua Asia tahun ini, TSG telah menyertai sekurang-kurangnya 10 kejohanan termasuk di China, Jepun, Korea, Indonesia dan India.

Pelumba TSG musim 2011 ialah Anuar Manan, Hariss Salleh, Yusliza Usoff, Mohd Saufi Mat Senan, Shahrul Mat Amin, Nor Amirul Fakharuddin Marzuki, Nor Umardi Rosli dan Mohd Shobery Abdullah.

Selain pelumba tempatan itu, pasukan itu mempunyai empat pelumba import iaitu Shinichi Fukushima dan Motoi Nara dari Jepun serta Chan Jang Jae dan Kim Do Hyoung dari Korea.

29 November 2011

Terengganu terpilih jadi urusetia kursus di Arab Saudi

Oleh; Esah Abdullah

Hubungan baik yang terjalin antara kerajaan negeri dan kerajaan Arab Saudi telah mendapat kepercayaan menjadi urusetia kursus kehakiman yang diadakan di Riyard dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan berkenaan.

Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, koata 40 orang setahun yang diberikan untuk negara, 20 orang daripadanya peserta dari negeri ini manakala selebihnya peserta dari negeri-negeri lain.

“Peserta dari seluruh negara yang ingin mengikuti kursus dalam bidang kehakiman di negara berkenaan akan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) yang diberi tanggung jawab mendaftar dan mengurus pemergia ke negara berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu semalam.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya dan Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abdin (UniSZA) dan Haji Abdul Halim Awang selaku penceramah jemputan.

Katanya, program ini bermula tahun lepas dan tempoh kursus selama sebulan banyak memberi pendedahan tentang pelaksanaan di bidang kehakiman yang dilaksanakan di negara itu.

Tambahnya, Arab Saudi lebih terkedepan dari segi pengunaan teknologi maklumat (IT) yang digunapakai dalam setiap aspek perundangan dan kehakiman.

Menurut Dato’ Haji Mazlan kerajaan juga telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi membolehkan ketua hakim dan hakim-hakim menyertai kursus Mediasi Lanjutan selama 10 hari di Australia tahun ini.

“Kursus membabitkan sembilan orang peserta ini pertama kali diadakan dan kita akan lihat perkembangan selanjutnya sama ada untuk menghantar kumpulan kedua pula pada tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, sembilan orang pegawai dari JKST telah dijemput menjadi tetamu diraja Arab Saudi untuk menunaikan haji baru-baru ini.

Dato’ Haji Mazlan kemudiannya berharap JKST terus meningkatkan imej jabatan selari dengan aspirasi kerajaan yang ingin memertabatkan bidang kehakiman dan undang-undang di negara ini serta perlu berhadapan dengan cabaran semasa secara inovatif dan kreatif.