Halaman

30 November 2011

Naik taraf stadium untuk kejohanan Piala AFC


Oleh FAUZI MOHD

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang menjadi gelanggang utama bagi pertandingan bola sepak di Terengganu dinaik taraf oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai persiapan Liga Malaysia musim 2012.

Pengarah Korporat Kemasyarakatan dan Kualiti MBKT Mohd Huzairi Nizam Ibrahim berkata, Kerajaan negeri memberi peruntukan RM600,000 untuk tujuan tersebut.

"Apabila siap dinaik taraf dan baik pulih nanti, stadium mampu memberi lebih banyak keselesaan kepada pemain dan juga penonton terutamanya dari segi keselamatan," katanya baru-baru ini.

Menurut Mohd Huzairi, pengubasaian stadium yang berusia hampir 30 tahun itu antaranya menambah baik pencahayaan lampu limpah, menaik taraf bilik persalinan pengadil, lorong keluar pemain dan bilik media.

Bagaimanpun katanya, tempat duduk penonton tidak diusik dan kekal sepertimana biasa dan kerja-kerja tersebut dijadual siap sebelum pra musim bermula tahun depan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata stadium itu akan digunakan bagi pertandingan bola sepak Piala AFC yang melibatkan pasukan Terengganu tahun depan.

Katanya untuk menjayakan pertandingan itu, stadium itu perlu diperbaiki bagi disesuaikan dengan kejohanan bertaraf antarabangsa itu termasuk kecahayaan lampu limpahnya.

"Ikut piawaian AFC, kecahayaan lampu limpah 1,400 lux sedangkan kecahayaan lampu limpah di stadium itu adalah 800 lux," katanya.