Halaman

03 December 2011

Batu Buruk destinasi kejohanan luncur air

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pantai Batu Buruk yang sememangnya terkenal sebagai pantai peranginan tersohor di negeri ini, menjadi tumpuan orang ramai, termasuk pelawat dari luar Terengganu yang ingin menyaksikan kejohanan Luncur Air Terengganu Quiksilver Best Event yang julung kali diadakan di situ.

Kejohanan tiga hari yang bermula semalam itu, dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Malaysia Terengganu, Quiksilver Malaysia dan EC Extreme.

Ini bermakna sekali lagi Terengganu mendapat perhatian dunia, selepas kejohanan Piala Monsun yang juga bertaraf antarabangsa berakhir di Pulau Duyong, minggu lalu.

Seramai 97 peluncur dari 10 negara mengambil bahagian dalam acara tersebut yang diadakan khusus pada musim cuti sekolah bagi menarik pelancong dan pelawat luar negeri ke Terengganu.

Pengarah kejohanan itu, Bryan Ng berkata, Batu Buruk dipilih sebagai lokasi kejohanan itu kerana ia merupakan kawasan pantai yang berpotensi untuk mengajurkan acara itu di mana ia berangin dan ombak yang sesuai untuk meluncur.

Kejohanan bertaraf tujuh bintang itu merupakan siri ketujuh daripada lapan siri penuh dalam jelajah Kejuaran Luncur Asia pada tahun ini.

Kejohanan yang menawarkan keseluruhan hadiah wang tunai berbilai RM31,000 itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu terbuka lelaki, terbuka wanita, terbuka master dan terbuka bodyboard.