Halaman

30 November 2011

Sukan bina kekuatan fizikal dan mental

Oleh; Esah Abdullah

Aktiviti bersukan merupakan satu elemen penting dalam kehidupan individu, kerana kekuatan dan keupayaan fizikal yang menguasai kemahiran dan strategi itu bergabung dalam aktiviti berkenaan.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, individu bergiat cergas dalam sukan mampu memberi memberi kesan langsung terhadap fizikal, mental dan juga psikologi.

“Kecemerlangan dan ketrampilan dalam aspek pembangunan intelek turut dilengkapi dengan kekuatan jasmani dan kemahiran insaniah sejajar dengan aspirasi kerajaan melahirkan modal insan berkualiti,”.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Kejohanan Badminton Wanita Piala Isteri Menteri Besar di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr Yahya Ibrahim; Pensyarah Jabatan Perakaunan dan Kewangan, Prof. Madya Dr. Norsiah Ahmad dan Ketua Pusat Sukan dan Rekreasi, Haji Mohamad Rafee Jusoh.

To’ Puan Seri Norliza kemudiannya mengalu-alukan usaha pihak UMT menyuburkan aktiviti riadah ini serta peka dengan tuntutan semasa dengan mengadakan kejohanan berasingan antara pelajar lelaki dan wanita untuk memberi keselesaan keduanya.

“Sukan wanita bukan sahaja dapat melahirkan atlet berpotensi tetapi turut menggalakkan golongan itu untuk jadi juara di peringkat antarabangsa,” katanya.



Beliau juga berharap kejohanan ini dijadikan acara tahunan kerana penglibatan pelajar dalam bidang sukan memang terbukti mampu membentuk sifat individu yang dinamik dan berketerampilan.

Sementara itu, Prof. Dr Yahaya Ibrahim dalam ucapannya berkata, universiti mahu melihat atlet menjadi contoh atau role model kepada pelajar lain.

Katanya, dalam sukan pelbagai perkara boleh dipelajari termasuk patuh kepada arahan jurulatih, membina kesepaduan pasukan menerusi kesabaran, ketetapan masa, bertolak ansur dan bekerjasama.