Oleh: Suriati Ali
Melihat perkembangan sukan berbasikal menjadi fenomena baru dalam kalangan belia di Terengganu mendorong Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (Jheat) menganjurkan program Kembara Maal Hijrah 1433 melibatkan golongan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, jika sebelum ini program yang sama dianjurkan melibatkan penunggang motosikal tetapi hari ini (semalam) kita libatkan mereka yang meminati aktiviti sukan berbasikal pula.
Menurutnya, program tahunan yang dirancang khusus untuk golongan itu bertujuan mengajak mereka untuk turut sama merasai dan menghayati konsep sebenar hijrah seterusnya berubah ke arah yang lebih baik.
“Jheat sentiasa mengambil pendekatan baru untuk menarik golongan muda turut sama menyertai program melibatkan aspek kerohanian seterusnya dapat mengelak mereka daripada terjebak dengan pelbagai aktiviti kurang sihat.
“Malah dengan penyertaan mereka ini sedikit sebanyak dapat mengikis tanggapan buruk masyarakat terhadap mereka yang sering dikaitkan dengan aktiviti melepak, merempit dan gejala sosial lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelepasan Kembara Maal Hijrah 1433 di perkarangan Komplek Seri Iman, Kuala Terengganu, petang semalam (26 November).
Pada program itu, lebih 100 peserta daripada pelbagai peringkat umur menyertai aktiviti kayuhan sejauh 20 kilometer mengelilingi kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu iaitu melalui Gong Kapas, Jalan Kamaruddin, Pantai Batu Buruk, Jalan Ladang, Dataran Syahbandar dan berakhir di lokasi Sambutan Ambang Maal Hijrah di Masjid al-Taqwa Durian Burung.
Sementara itu, Khazan berkata, selain aktiviti berbasikal pelbagai aktiviti positif turut diselitkan program ceramah perdana, tazkirah, motivasi diri dan solat berjemaah