Halaman

03 December 2011

Cabaran 4x4 terpanjang dunia bermula


Oleh FAUZI MOHD

Cabaran sepuluh hari aksi lasak Rainforest Challenge International Terengganu 2011 (RFC 2011) mencatatkan penyertaan paling ramai lebih 500 peserta dari 30 buah negara bermula hari ini.

Pengasas dan Pengarah acara itu, Luis J.A. Wee berkata, acara pengembaraan 150 buah kenderaan pacuan empat roda, 4x4 itu merupakan yang terpanjang dan paling sukar di dunia terutama dalam berhadap musim monsun ketika ini.

Katanya, seperti tahun-tahun sebelumnya, cabaran edisi ke-15 ini diadakan pada musim tenkujuh yang menjadikan pengembaraan tahunan ini menjadi tumpuan para pengembara kenderaan 4x4 dari seluruh pelusuk dunia.



“Populariti acara ini meningkat setiap tahun yang dijangka menarik lebih 30,000 peminat sukan lasak yang menunggu di setiap lokasi persinggahan serta tempat pertemuan pelbagai negara, budaya dan adat resam.

“Cubaan mengatasi cuaca, hutan hujan tropika dan bentuk muka bumi di kala Monsun Timur Laut melanda merupakan pengalaman yang amat mencabar kepada peserta RFC tahun ini yang sudah pasti menjanjikan kelainan, drama dan situasi di luar jangkaan,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus majlis perasmian acara itu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah di Pulau Warisan, Kuala Terengganu sebentar tadi.

Antara negara yang menyahut cabaran termasuklah Australia, Rusia, Filipina, Venezuela, Amerika Syarikat, Austria, China, Itali, India, Sri Lanka, Perancis, Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Singapura.

Tambah J.A. Wee, hujan yang tidak menentu bakal memberi impak kepada peserta di mana daripada maklumat yang diterima, bakal terdapat peningkatan purata hujan di Terengganu sepanjang acara ini.

"Pengurusan teknikal telah mengambil langkah berhati-hati dalam memastikan laluan yang selamat daripada bencana banjir dan tanah runtuh, termasuk laluan kecemasan sekiranya berlaku bencana.

"Namun seperti biasa, di dalam mana-mana pengembaraan, tiada apa yang boleh memberi jaminan sehinggalah hari kejohanan memandangkan cuaca yang amat tidak menentu,” katanya.



Sejurus selepas perasmian, konvoi peserta turut ke perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak untuk pertunjukkan aksi lasak berhalangan dan sebelah petang keesokkan harinya konvoi bertolak ke tapak kem di Hulu Sungai Berang.

Acara tahun ini yang meliputi laluan berhalangan di Hulu Sungai Berang, Hulu Terengganu dan Pasir Raja, Dungun pada 5 hingga 7 Disember.

Peserta akan berkumpul di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungunpada hari keenam sebelum bertolak ke tapak kem seterusnya di Hutan Jengal Hulu Dungun untuk meneruskan cabaran di laluan berhalangan pada esoknya.

Sebelum berakhir di Bandar Cukai kemaman pada 12 Disember ini, kecekapan peserta mengemudi pacuan empat roda itu bakal teruji di Hulu Sungai Nipah di Hulu Kemaman selama dua hari.