Hubungan baik yang terjalin antara kerajaan negeri dan kerajaan Arab Saudi telah mendapat kepercayaan menjadi urusetia kursus kehakiman yang diadakan di Riyard dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan berkenaan.
Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, koata 40 orang setahun yang diberikan untuk negara, 20 orang daripadanya peserta dari negeri ini manakala selebihnya peserta dari negeri-negeri lain.
“Peserta dari seluruh negara yang ingin mengikuti kursus dalam bidang kehakiman di negara berkenaan akan melalui Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) yang diberi tanggung jawab mendaftar dan mengurus pemergia ke negara berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu semalam.
Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Haji Ismail Yahya dan Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abdin (UniSZA) dan Haji Abdul Halim Awang selaku penceramah jemputan.
Katanya, program ini bermula tahun lepas dan tempoh kursus selama sebulan banyak memberi pendedahan tentang pelaksanaan di bidang kehakiman yang dilaksanakan di negara itu.
Tambahnya, Arab Saudi lebih terkedepan dari segi pengunaan teknologi maklumat (IT) yang digunapakai dalam setiap aspek perundangan dan kehakiman.
Menurut Dato’ Haji Mazlan kerajaan juga telah meluluskan sejumlah peruntukan bagi membolehkan ketua hakim dan hakim-hakim menyertai kursus Mediasi Lanjutan selama 10 hari di Australia tahun ini.
“Kursus membabitkan sembilan orang peserta ini pertama kali diadakan dan kita akan lihat perkembangan selanjutnya sama ada untuk menghantar kumpulan kedua pula pada tahun depan,” katanya.
Dalam perkembangan lain katanya, sembilan orang pegawai dari JKST telah dijemput menjadi tetamu diraja Arab Saudi untuk menunaikan haji baru-baru ini.
Dato’ Haji Mazlan kemudiannya berharap JKST terus meningkatkan imej jabatan selari dengan aspirasi kerajaan yang ingin memertabatkan bidang kehakiman dan undang-undang di negara ini serta perlu berhadapan dengan cabaran semasa secara inovatif dan kreatif.