Halaman

30 November 2011

TSG mahu gegar Eropah

Oleh FAUZI MOHD

Setelah menduduki tempat keempat daripada 75 pasukan benua Asia dalam ranking Union Cycling International (UCI), Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) bercadang menyertai kejohanan jemputan lumba basikal benua Eropah musim 2012.

Pengurus TSG, Ahmad Kamarul Idrus berkata, pasukan yang ditubuhkan Kerajaan Terengganu itu merancang menyertai 18 kejohanan lumba basikal di bawah kalendar UCI bermula Januari hingga November tahun depan.

Katanya, kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) adalah perlumbaan pertama dalam kalendar UCI mulai 20 Februari hingga 4 Mac yang disertai TSG sebelum menyertai kejohanan lain di benua Asia dan Eropah.

“Selepas LTdL, kita akan dapatkan jemputan daripada penganjur-penganjur untuk menyertai kejohanan di benua Eropah yang dijangka bermula Jun tahun depan.

“Langkah itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba kita di samping melebarkan sayap penyertaan setaraf dengan status TSG yang bertaraf dunia,” katanya baru-baru ini.

Kamarul berkata, dalam penampilan pertamanya di benua Asia tahun ini, TSG telah menyertai sekurang-kurangnya 10 kejohanan termasuk di China, Jepun, Korea, Indonesia dan India.

Pelumba TSG musim 2011 ialah Anuar Manan, Hariss Salleh, Yusliza Usoff, Mohd Saufi Mat Senan, Shahrul Mat Amin, Nor Amirul Fakharuddin Marzuki, Nor Umardi Rosli dan Mohd Shobery Abdullah.

Selain pelumba tempatan itu, pasukan itu mempunyai empat pelumba import iaitu Shinichi Fukushima dan Motoi Nara dari Jepun serta Chan Jang Jae dan Kim Do Hyoung dari Korea.