Halaman

27 November 2011

Jaguh dunia kembali menjadi milik Ian Williams

Oleh FAUZI MOHD

Juara berganda Piala Monsun 2007 dan 2008, Ian Williams dari pasukan GAC Pindar sekali lagi membuktikan kejaguhannya apabila merangkul kejuaraan Siri Akhir Jelajah Dunia (WMRT), semalam.

Pasukan GAC Pindar dianggotai Gerry Mitchell, Mal Parker, Bill Hardesty dan Matt Cassidy, menang dengan kiraan mata 3-2 ke atas Bruni.

"Kejuaraan ini amat luar biasa kerana saya berjaya mengungguli gelaran dunia tiga kali dalam tempoh lima tahun. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk merampas kejuaraan setelah gagal memperolehinya dua tahun berturut-turut.

"Saya menganggap ini adalah kejayaan buat krew yang bekerja keras sepanjang musim ini untuk menentang pasukan hebat dari seluruh dunia.

"Ia adalah kejayaan yang amat istimewa buat saya," kata pelayar Britain itu pada sidang akhbar semalam.

Musim lalu, Ben Ainslie, juga pelayar dari Britain mengungguli kejohanan berkenaan.