Halaman

25 April 2011

Peserta kudung kedua tangan curi tumpuan di Kejohanan Kapas-Marang Swimathon

Oleh: Aida Abd Rahman

Daripada keseluruhan peserta yang berjaya menamatkan renangan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas ke Pantai kelulut dalam kejohanan Kapas-Marang International Swimathon, semalam, seorang pemuda paling mencuri tumpuan ramai apabila turut sama mengakhiri cabaran itu walaupun kudung kedua-dua belah tangan.

Zhariff Affandi, 29, dari Bukit Jelutong, Selangor, seorang ahli perniagaan lulusan Psikologi dari Universiti Griffith , Australia membuktikan kecacatannnya bukan halangan untuk bersama golongan normal bagi menyertai kejohanan yang berprestij itu sekaligus menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga.
Dengan catatan dua jam 46 minit 47 saat, Zhariff yang menyertai kategori istimewa mengejutkan banyak pihak selepas menamatkan persaingan yang pertama kali disertainya walaupun berenang hanya bergantung kepada gerakan badan dan kuakan sepasang kaki semata-mata .

“Saya sudah mula terdedah dengan renang sejak usia empat tahun lagi apabila ibu bapa menghantar saya menyertai kelas renang. Daripada situ, saya sentiasa menyertai pertandingan dan kejohanan renang kerana saya sememangnya menggemari aktiviti lasak sejak dulu lagi.

“Saya sudah lama mengetahui mengenai pertandingan ini, bagaimanapun keputusan menyertai hari ini hanya dibuat dua hari lalu dan saya bersama sekumpulan rakan dari Kuala Lumpur terus ke sini bagi sama-sama menyahut cabaran ini,” katanya yang juga seorang peluncur ombak.

Menurut Zhariff, selepas beberapa jam merentasi laut, dia hampir dua kali mahu membatalkan hasrat menamatkan perlumbaan itu akibat kesakitan disengat ampai-ampai selain ombak yang kuat menyebabkan renangannya sedikit terganggu dan meletihkan.

Bagaimanapun, dia akhirnya nekad untuk meneruskan juga kerana mahu membuktikan kemampuannya setanding orang normal serta tidak mahu menghampakan sokongan keluarga, rakan-rakan dan orang ramai yang sentiasa memberi suntikan semangat kepadanya dalam apa jua pembabitan.

“Kalau kita ada kemahuan, pasti segala dugaan dan cabaran dapat dihadapi. Itu tidak menjadi masalah buat kita, apatah lagi jika memiliki fizikal dan pancaindera yang sempurna. Pada saya, semua kita dilahirkan dengan pelbagai variasi dan karakter, ada tinggi, rendah, hidung mancung, hitam dan sebagainya. Itulah kehidupan dan anugerah tuhan yang perlu kita hadapi dan jalani kehidupan dengan terbaik,” katanya.

Selain Zhariff, Mohd Azmeen Kamarulzaman yang baru menjalani pembedahan memasukkan besi di belakang badan, dari Melaka muncul pemenang pertama dengan catatan masa satu jam, 56 minit dan 45 saat, diikuti Mohd Sabki Arifin, dari Terengganu yang kudung sebelah tangan kiri di tempat kedua (2:11:51).

Sebanyak 20 peratus daripada 255 peserta yang mendaftar pada kejohanan kali ini melibatkan peserta asing termasuk dari Bosnia, Jerman, Hong Kong, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Daripada jumlah itu, 191 peserta daripada 10 kategori yang dipertandingkan berjaya mengharungi dan menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas menuju ke Pantai Peranginan Kelulut.




Pulau Bidong ada capaian internet sejak seminggu lalu

Oleh: Esah Abdullah

Pelancong yang berkunjung ke Pulau Bidong tidak perlu bimbang lagi mengenai capaian internet kerana aplikasi itu sudah berfungsi sejak seminggu lalu.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Aziz Deraman berkata, kini mereka boleh melayari internet seberapa kerap yang mereka mahu serta dapat melayan facebook sepanjang berada di pulau berkenaan.

“Kemudahan internet sudah menjadi agenda amat penting sekarang, kerana melaluinya perhubungan antara manusia menjadi lebih pantas,” katanya selepas melancarkan perasmian Hari Bumi 2011 di Dataran Canselor UMT.

Katanya, capaian internet yang menelan belanja RM80,000 itu bertujuan memudahkan penyelidikan UMT menjalankan kerja penyelidikan dan kajian di kawasan itu selain sering menjadi tempat kajian penyelidik daripada pelbagai fakulti terutama Sains Marin.

Menurut Prof Dr Aziz rangkaian tersebut diperolehi melalui satelit IP Star dengan kelajuan empat megabait dan walau pun bersaiz kecil ia mampu menampung keperluan mereka yang berada di sana.

Katanya, hanya sebilangan kecil saja penyelidik yang menjalankan kajian di pulau itu dan berada dalam tempoh tertentu, agak jarang mereka datang dalam jumlah yang ramai.

“Penggunaan saiznya tidak perlu terlalu besar berbanding saiz yang diperlukan dalam kampus UMT yang menampung beribu penuntut dan kakitangan,” katanya.




JAMUAN RAKYAT PM BERSAMA RAKYAT PADA 30 APRIL MALAM DI TAMAN SHAH BANDAR



Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang memberitahu Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Razak akan menghadiri Jamuan Rakyat kira-kira jam 8.00 malam pada 30 April ini di Taman Shah Bandar Kuala Terengganu.
Ia adalah kemuncuk bagai lawatan Program Turun Padang (PTP) oleh Perdana Menteri kerana jamuan itu dijangka membabitkan 20,000 termasuk semua golongan dan kaum.
Dato’ Tengku Putera menyatakan lawatan PTP oleh Perdana Menteri bertujuan bertemu dan melihat sendiri dari dekat kehidupan rakyat.

Katanya, keseluruhan acara PTP selama sehari itu adalah berkisar kepada pertemuan dan bermesra dengan rakyat.
“Perdana Menteri sudah pesan, tiada protokol untuk rakyat berjumpanya kerana beliau mahu melihat sendiri suasana hidup rakyat,” katanya yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu.
Dato’ Tengku berkata, segala persiapan telah diatur bagi memastikan lawatan PTP oleh Dato’ Sri Mohd Najib mencapai matlamat ke arah 1 Malaysia dan membawa rakyat dan negara ini ke arah tranformasi dalam segala kehidupan baik ekonomi, politik, sosial dan cara berfikir.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Mohd.Nasir Ibrahim Fikri melahirkan terima kasih kepada kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said kerana memilih Dun Bukit Tunggal, Parlimen Kuala Nerus sebagai fokus utama lawatan selain Dun Manir,Hulu Terengganu.
“Saya yakin dan percaya, gelombang untuk menebus kembali Dun Bukit Tunggal dari pihak pembangkang akan bertambah kuat mendorong dengan lawatan PTP Perdana Menteri ke Dun ini,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus.
Ketua Penerangan Umno Terengganu, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman mengharapkan seluruh rakyat, di Parlimen Kuala Nerus,Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, bahkan seluruh negeri ini akan datang ke program-program yang telah diaturkan sebagai sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Perdana Menteri.
“Hari ini keyakinan rakyat kepada Dato’ Sri Mohd.Najib begitu tinggi, terbukti melalui beberapa kemenangan besar dalam siri-siri pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini,” katanya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri .

CIKGU (DATO') WAN IBRAHIM OTHMAN

Seorang veteran Umno, Dato’ Haji Wan Ibrahim Othman, amat gembira bila diberitahu tentang lawatan turun padang Dato’ Sri Mohd Najib dengan menyifatkan tidak ubah seperti amalan Allhayarham Tun Abdul Razak.
“Dulu saya pernah menyambut Tun Razak di Feri Bukit Datu di Bukit Tunggal, saya masih ingat Tun Razak bersalam dengan hampir keseluruhan rakyat jelata yang berada di pangkalan feri bersejarah itu. Tun Razak juga pernah datang berucap kepada rakyat pada awal tahun 1970 an di halaman rumah saya di Wakaf Tengah dalam pilihanraya kecil Dun Batu Rakit,” katanya yang juga bekas Adun Batu Rakit.
Beliau memberitahu Teganukita walaupun sudah berusia, tetapi akan hadir di majlis Dato' Sri Mohd Najib 'walk about' di Pasar Batu Enam pagi Sabtu ini.


24 April 2011

Peranan ibu bapa pastikan anak kuasai ICT

Oleh: Aida Abd Rahman


Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bergambar bersama pelajar yang menerima netbook pada Majlis Perasmian Program Pemberian Netbook 1Malaysia di Kuala Terengganu semalam.

Ibu bapa perlu memainkan lebih peranan untuk memastikan anak-anak mereka terus menguasai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang kini menjadi satu cabaran penting kepada masyarakat serta umat seluruh dunia.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, tanggungjawab ibu bapa itu perlu memandangkan mereka adalah golongan paling dekat dengan anak-anak.
“Kita khuatir, dalam masa kita mahu menggalakkan anak-anak menguasai ICT, jika tidak dipantau, keadaan akan menjadi sebaliknya.

“Di sinilah pentingnya peranan ibu bapa dan kerana itu, tidak dapat tidak, ibu bapa juga mesti menguasai ICT,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Pemberian Netbook 1Malaysia bagi Dewan Undangan Negeri Bandar dan Batu Buruk di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 1,474 orang pelajar telah menerima netbook masing-masing.

Dalam pada itu, Dato’ Wan Ahmad Farid menggesa golongan pelajar akan memanafaatkan sepenuhnya pemberiab komputer riba netbook 1Malaysia itu, bukan sahaja untuk menguasai ICT tetapi menerokai lebih banyak ilmu pengetahuan.

Menurutnya, pemberian komputer riba netbook 1Malaysia kepada pelajar adalah bukti kesungguhan dan kecaknaan kerajaan untuk rakyat negara ini dan mereka seharusnya merasa bertuah dengan pemberian itu.

“Di Terengganu pula, kerajaan negeri telah berbelanja berjuta-juta ringgit untuk tujuan yang sama termasuk memberikan e-book kepada murid sekolah rendah dengan tujuan serta hasrat yang sama.

“Ini tidak ada di negeri-negeri lain dan seharusnya saya fikir, rakyat Terengganu bukan sahaja harus bersyukur dengan pemberian kerajaan ini, tetapi juga memanafaatkannya dengan sebaik mungkin,” ujarnya.


Seorang pelajar menerima computer netbook daripada Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Beliau berkata, di era dunia dikatakan sudah tiada sempadan, penguasaan dalam ICT adalah sesuatu yang sangat dituntut jika tidak mahu sesuatu bangsa atau rakyat itu dilabelkan sebagai ketinggalan zaman.

Oleh yang demikian, kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat akan terus menyediakan prasarana dan dana bagi memastikan rakyat memiliki kemudahan ICT dan tidak lagi ketinggalan berbanding orang lain.




CIKGU SHUKRIMUN KALAHKAH USTAZ ABU BAKAR


Cikgu Shukrimun tewaskan Ustaz Abu Bakar Abdullah

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Ustaz Abu Bakar Abdullah seorang yang berpendidikan agama tidak lagi dipilih sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Nerus, sebaliknya digantikan oleh Cikgu Shukrimun Shamsuddin.
Pemilihan dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Nerus kali ke-34 hari ini,semalam 23 April me`nyaksikan PAS kawasan tersebut mendapat Yang DiPertua (YDP) baru.

Cikgu Shukrimun Shamsuddin telah dipilih melalui undi sulit di kalangan ahli-ahli jawatankuasa yang dipilih.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal YB Dr Alias Razak dipilih sebagai TimbalanYDP dan Bekas ADUN Teuk Pasu Ustaz Ismail Mamat sebagai Naib YDP.

Bermakna kini, pimpinan Pas Kuala Nerus berpindah dari seorang ustaz (yang biasanya digelar ulamak) kepada guru.



TURUN PADANG TEMUI RAKYAT TERENGGANU (PTP)DATO' SRI NAJIB ULANGI NOSTALGIA AYAHANDA KE TERENGGANU





Catatan: Ruslan AR

Lawatan Program Turun Padang (PTP) YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Kuala Terengganu/Kuala Nerus sebenarnya mengulangi nostalgia lalu, ayahanda beliau yang pernah turun padang menemui rakyat Terengganu.

Gambar di atas dengan jelas mengingatkan kita kepada peristiwa tersebut. Allahyarham Tun Abdul Razak Husien, Perdana Menteri Malaysia waktu itu (pertengahan tahun 1974) datang ke Kuala Terengganu/Kuala Nerus, disambut oleh Menteri Besar Terengganu waktu itu, Datuk Nik Hassan Abdul Rahman, Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus.

Kelihatan menyambut beliau (lihat gambar) juga ialah Ketua Pemuda Pas waktu itu Dato' Mustaffa Ali (sekarang Setiausaha Agung Pas).

Sesungguhnya Dato' Sri Mohd.Najib mengulangi murni amalan Allahyarham Tun Razak yang amat terbuka sifatnya, bersedia menerima dan menemui rakyat di mana sahaja, di bandar mahupun di desa.


Persekitaran bersih pikat pelancong

Oleh: Esah Abdullah


Terengganu memiliki pantai yang cantik dan terus mengekalkan Negeri Cantik Budaya Menarik. - Foto: Zul Putra.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta masyarakat di negeri ini lebih bertanggung jawab dalam menjaga kebersihan persekitaran jika mahu mengekalkan identiti negeri cantik budaya menarik.

“Kebersihan perlu dititik-beratkan walau di mana kita berada lebih-lebih lagi di kawasan bandar, taman rekreasi dan juga tandas awam,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) di Dataran Marang, Marang, Terengganu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.

Hadir sama, Yang Dipertua Serikandi yang juga isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar.

Menteri Besar berkata, setelah 15 tahun berlalu tiba giliran Serikandi menjadi tuan rumah bagi program tahunan kejohanan sukan badminton dan boling isteri wakil-wakil rakyat seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Serawak.

“Sebagai tuan rumah semestinya Serikandi mahu menjadi ‘host’ terbaik supaya tetamu yang datang dan pulang akan membawa seribu kenangan yang manis,” katanya.

Selain mengikuti program yang diatur, para isteri juga akan turut membuat lawatan ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di negeri ini dan boleh menilai pembangunan yang sedang rancak di sekitar bandaraya ini.

“Kita ada pantai yang tercantik, santuari kelah dan taman burung di Tasik Kenyir, monumen sejarah dunia di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, industri songket serta pusat industri keropok lekor di Losong,” katanya.

Dato’ Seri Ahmad seterusnya menyarankan agar diperbanyakkan maklumat tempat-tempat menarik seperti billboard, pamphlet dan poster serta perlu sediakan pemandu pelancong yang pandai berinteraksi dan luas pengetahuan mengenai sejarah negeri.




Penduduk Tepoh bakal terima 40 unit rumah baru

Oleh: Suriati Ali


YB Haji Muhammad Ramli Nuh menjadi tetamu di Tfm.

Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh bakal menerima 40 unit rumah baru di Kampung Padang Nenas bagi menempatkan mereka, terutama golongan berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, pembinaan rumah itu adalah hasil sumbangan kerajaan negeri bersama Affin Bank.

“Rumah yang bakal dibina itu dapat menambah bilangan Taman Perumahan sedia ada dan menariknya, keadaan rumah itu lebih selesa berbanding kediaman kos rendah yang dibina sekarang ini,” katanya ketika menjadi tetamu radio Terengganufm hari ini (24 April).

Katanya, penduduk yang bercadang menambak tanah bagi membina rumah baru dinasihatkan supaya prihatin dengan keadaan jiran dan kawasan sekeliling.

“Perkara itu perlu diambil serius kerana bimbang akan menimbulkan masalah banjir dan pelbagai kesulitan sekiranya tanah yang ditambak melebihi had.

“Sebagai masyarakat bertamadun, kita perlu buang sikap pentingkan diri sendiri kerana sudah tentu menimbulkan dendam masyarakat setempat sekiranya berlakunya banjir,” katanya.

YB Haji Muhammad Ramli, berkata terdapat 35 kampung di kawasan Tepoh memiliki Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) manakala hampir 23,000 penduduk layak mengundi pada pilihan raya akan datang.

“Kepadatan penduduk terutama di Gong Badak membuatkan harga tanah kawasan itu melambung tinggi sehingga mencecah RM70,000 bagi 500 meter persegi,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di beberapa lokasi di DUN Tepoh secepat mungkin.

“Beberapa pendekatan diambil termasuk lebih kerap membersih longkang dan sistem peparitan serta membina saluran laluan air lebih besar berbanding biasa,” katanya.




YPKT anjur program bersama pakar

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil inisiatif menganjurkan Program Pemantapan Hubungan Intim Suami Isteri secara berperingkat-peringkat di beberapa kawasan terpilih di negeri ini.

Pendekatan itu dilaksanakan selepas menyedari betapa pentingnya hubungan intim, komunikasi dan kasih sayang antara suami dan isteri, terutama selepas 10 tahun berkahwin.

Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Bahagian Pembangunan Komuniti YPKT, Encik Syed Lizam Sukairi Syed Abu Bakar, program berilmu itu akan dikendali khas oleh Pakar Sakit Tuan terkenal, Dr Ismail Thamby bagi membincangkan pelbagai topik dan masalah yang biasa dialami dalam rumahtangga.

Katanya, setakat ini pakar berkenaan telah menyampaikan ceramah di Paka, Kuala Berang, Padang Midin dan akan diteruskan ke kawasan lain mengikut jadual yang ditetapkan.

“Pihaknya mensasarkan mereka yang sudah berumahtangga terutama warga emas mengikuti program ini di mana di peringkat usia itu mudah dan cenderung untuk mengalami masalah tentang hubungan dalaman dan luaran.

“Kita bukan menekankan kepada isu seksual semata-mata malah lebih luas termasuk bagaimana ingin mengekalkan kerukunan rumah tangga dan bagaimana memahami masalah pasangan,” katanya.




Larian pesisir pantai acara baru Kapas-Marang Swimathon tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman


Datuk Abdul Rahin (kiri) ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Kapas-Marang International Swimathon 2011. - Foto: Harish Fadzillah.

Kerajaan negeri berhasrat menambah disiplin pertandingan `Kapas-Marang International Swimathon’ dengan acara larian sejauh kira-kira 50 kilometer, bermula dari Pantai Rantau Abang ke Pantai Kelulut, Marang, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata acara baru itu bertujuan memperkenal keindahan pantai Terengganu serta kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, iaitu 244 kilometer.
“Pelepasan acara larian akan dilaksanakan serentak dengan program swimathon dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut, ” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kapas-Marang International Swimathon 2011, di Pantai Kelulut, hari ini.



Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Terengganu, Encik Ahmad Fathil Abd Ghani; Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.

Datuk Abdul Rahin berkata , kejohanan yang melibatkan dua acara yang dijalankan pada hari yang sama itu bakal menawarkan hadiah yang meningkat sekali ganda, berbanding kejohanan pada tahun ini yang mengumpul hadiah keseluruhan RM43,900.

“Hadiah mungkin dua kali ganda dan RM50,000 lagi kategori pantai. Tidak banyak negeri yang mengadakan larian atau marathon melalui pantai. Terengganu menjadi negeri yang menganjurkan larian paling jauh (50 km).

“Dari hari ke hari kita akan panjangkan lagi jarak dan mungkin buat satu rekod berlari di pesisiran pantai yang terjauh mungkin seperti endurance (kuda lasak) yang mencapai 160 kilometer,” katanya lagi.

Katanya, kerajaan negeri meminta semua pihak dan jabatan termasuk Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Marang serta Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bekerjasama mengembleng tenaga bagi memastikan penganjuran kejohanan pada tahun depan mampu menarik penyertaan lebih ramai serta mencapai hasrat penganjurannya.



Menurutnya, acara larian dijangka lebih mudah dan tidak sukar berbanding berenang merentasi lautan bergelora kerana umum mengetahui Laut China Selatan mempunyai pelbagai risiko kepada perenang jika tidak menitikberatkan aspek keselamatan.

“Perkara utama adalah memastikan keselamatan peserta ketika merentasi lautan dan kecemerlangan peserta pada kejohanan kali ini amat mengagumkan sekali,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 20 peratus daripada 255 peserta pada kali ini melibatkan peserta asing termasuk dari Bosnia, Jerman, Hong Kong, Jepun, Rusia, Singapura, Afrika, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Daripada jumlah itu, 191 peserta daripada 10 kategori yang dipertandingkan berjaya mengharungi dan menamatkan perlumbaan sejauh 6.5 kilometer dari Pulau Kapas menuju ke Pantai Peranginan Kelulut.