Halaman

21 December 2010

Kadar Kemiskinan Turun 10 Peratus Tahun Depan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu menyasarkan Indeks Kunci Pencapaian (KPI) penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melibatkan 18,576 orang dengan peruntukan RM30 juta sepanjang 2010 dapat diturunkan sebanyak 10 peratus tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib, berkata kaedah utama bagi menurunkan kadar kemiskinan itu adalah dengan melakukan pemutihan semula iaitu memastikan penerima yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan am yang diperuntukkan JKM.

Beliau berkata, kaedah lainnya adalah memberikan keselesaan dan keceriaan kepada golongan miskin termasuk menyediakan kemudahan tempat tinggal yang sempurna.

Sepanjang 2010, kerajaan negeri membina 5,990 unit rumah baru manakala 10, 436 unit rumah dibaikpulih melalui peruntukan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

“ Ini bukan kerja pengarah JKM sahaja, tetapi semua kakitangan JKM perlu memastikan KPI mencapai pengurangan 10 peratus pada tahun depan. Kalau bertambah (jumlah penerima) bermakna kita tidak mencapai sasaran KPI.

“Kita tidak mahu sebagaimana (contoh) pada tahun 2005, 2006, 2007 berlaku peningkatan. Apabila meningkat bermakna kita masih di tahap miskin yang melampau. Jadi kita mahu kurangkan jumlah sedia ada itu sebagai misi mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata beliau ketika berucap di Majlis Mesra JKM Bersama Media, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam (19 Disember).

YB Yahya berkata, jumlah penerima JKM itu juga merupakan antara 24,549 peserta yang berdaftar melalui sistem e-Kasih atau melibatkan 500 unit rumah iaitu 9 hingga 10 peratus merangkumi keseluruhan penduduk Terengganu.

Menurut beliau, daripada keseluruhan data kemiskinan negeri, miskin tegar (362 orang), miskin (5,209 orang) dan mudah miskin seramai 18,978 orang.

Sebagai contoh, kata beliau jika sebuah keluarga memerlukan RM30 sehari sebagai perbelanjaan isi rumahnya dan hanya memperolehi RM20 daripada keperluan sebenar RM30, maka dia dikategorikan golongan miskin.

Sementara, jika ada keluarga memerlukan RM30 tetapi hanya memperolehi RM10, situasi itu dikategorikan miskin tegar.

Berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) melalui Laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2007, miskin tegar ialah golongan yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia. Manakala pendapatan per kapita isi rumah tersebut adalah RM100 dengan bilangan isi rumah 4.4 (bagi semenanjung).

Manakala miskin tegar adalah di kalangan isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang dari PGK makanan. PGK makanan adalah berdasarkan keperluan harian kilo kalori setiap individu berdasarkan metodologi PGK makanan 2005 bagi Malaysia ialah RM4150.

Bagi kategori miskin pula (berdasarkan PGK 2007), golongan yang mempunyai pendapatan kurang dari RM720 bagi Semenanjung, RM960 bagi Sabah dan RM830 bagi Sarawak.

Sementara mudah miskin pula merupakan golongan yang mempunyai pendapatan melebihi PGK bermaksud treshold di bawah RM1500 bagi bandar dan RM1,000 bagi luar bandar.

YB Yahya turut mengumumkan untuk memberi saguhati kepada peserta Pemulihan Dalam Komuniti RM200 seorang, manakala setiap guru pengiring pula mendapat pakaian sutera selepas kumpulan berjaya mendapat tempat ketiga dalam persembahan berkumpulan Gbakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri 2010, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

TEGANUKITA

20 December 2010

100,000 Orang Dijangka Saksi Pameran Haiwan Berbisa Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- Pameran haiwan berbisa anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) yang diadakan sejak 1 Nov lalu berjaya menarik lebih 78,000 pengunjung.

Pegawai Perhubungan dan Pemasaran LMNT, Mohd Saberi Muda berkata dijangkakan lebih 100,000 orang akan mengunjungi pemeran itu sehingga 31 Dis ini.

"Selain mengadakan pameran binatang-binatang hidup seperti ular dan kala jengking, kita turut mengadakan pertunjukan permainan ular oleh Raja Ular dari Kelantan iaitu Hamdan Mahadi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Jabatan Perikanan telah memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan pemeran itu.

Mohd Saberi juga berkata Muzium Terengganu dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara akan mengadakan pameran lukisan yang bertemakan "Kepadamu Kekasih" mulai 15 Dis hingga 28 Jan depan.

Beliau berkata pengunjung berpeluang melihat 40 buah lukisan hasil nukilan pelukis terkenal tanah air seperti Dr Sulaiman Isa yang kebanyakannya berunsur keagamaan serta kebesaran Ilahi.

-- BERNAMA

19 December 2010

Sekitar Lawatan PM Ke Terengganu










Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib menerima kad keahlian Kelab Permotoran Terengganu daripada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said ketika merasmikan Perhimpunan Remaja dan Pelancaran Kelab Motor Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Selanjutnya KLIK : Lawatan PM

















TEGANUKITA

Warga Emas Terharu Terima Kunjungan Najib

KUALA TERENGGANU, 18 Dis (Bernama) -- Tiada apa mampu diucapkan oleh seorang warga emas Esah Mamat, 90, apabila menerima kunjungan istimewa daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selain rasa syukur dan gembira.

Bagi Esah, kesudian Najib berkunjung dan membantu kerja-kerja membaiki rumahnya yang uzur di bawah program Jelajah One Malaysia (JOM) mencermin keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat.

"Terima kasih banyak kepada Perdana Menteri dan kerajaan sebab sudi baiki rumah makcik. Rasa gembira dapat jumpa (Perdana Menteri), sebelum ini tengok di televisyen sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Esah yang mempunyai lima orang anak dan lebih 30 cucu menetap di Kampung Chabang Tiga sejak hampir 70 tahun lalu dan dia adalah antara penduduk terawal kawasan itu.

Rumah warga emas itu sebelum ini mengalami kebocoran atap, lantai dan dinding reput sebelum terpilih untuk dibaiki dalam program JOM dengan bantuan anggota pergerakan Pemuda UMNO.

Dalam lawatan, Najib turut bersama membantu mengecat dinding rumah warga emas itu sebelum meluangkan masa untuk berbual dan makan bersama Esah.

Perdana Menteri kemudian sempat berjalan kaki menuju ke gerai menjual jagung yang terletak berhampiran tapak pasar malam Chabang Tiga tidak jauh dari rumah warga emas itu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

-- BERNAMA


Kementerian Kerja Raya Lulus Peruntukan Tambahan RM410 Juta Untuk Fasa 2 LPT

KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya akan meneruskan semula kerja pembinaan enam pakej di bawah Fasa 2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mulai Januari tahun depan.

Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kerja pembinaan pakej-pakej tersebut dihentikan ekoran kenaikan kos bahan binaan seperti besi, keluli dan simen berikutan kenaikan harga petroleum pada 2007 dan 2008.

"Kontrak pembinaan enam pakej tersebut telah dihentikan, lima daripadanya secara persetujuan bersama," katanya kepada pemberita selepas menutup kejohanan Sukan Jabatan Kerja Raya di Stadium Darul Makmur di sini Sabtu.

Beliau berkata kementerian tersebut telah melantik kontraktor baru untuk melaksanakan enam pakej tersebut yang bernilai RM410 juta.

Shaziman berkata pelaksanaan projek lebuh raya itu kini 75.6 peratus siap berbanding jadual asal 82.9 peratus.

Fasa kedua LPT sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman, ke Kampung Gemuruh, di bahagian utara Kuala Terengganu, merupakan kesinambungan daripada fasa pertama yang bernilai RM3.7 bilion dari dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer.

Kerja pembinaan fasa pertama bermula Mac 2006.

-- BERNAMA


PM Mahu Aktiviti Berkaitan Belia Dilaksanakan Mengikut Aspirasi Golongan Itu

KUALA TERENGGANU, 18 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu setiap aktiviti dan program berkaitan belia dilaksanakan berdasarkan aspirasi kehendak golongan berkenaan.

Beliau berkata tanpa mengambil kira perkara itu, golongan belia akan dilihat semakin sukar untuk didekati.

"Jangan fikir apa yang kita suka golongan berkenaan akan suka dan jangan fikir apa yang kita tak suka, golongan berkenaan juga tidak suka," katanya ketika berucap pada himpunan remaja sempena pelancaran Kelab Motor Terengganu 2010 di Stadum Tertutup Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Perhimpunan berkenaan berjaya mengumpul lebih 32,000 remaja dan 16,000 remaja bermotosikal di Terengganu, yang bertujuan mendidik golongan itu agar lebih berhemah dan tidak terbabit dengan aktiviti lumba haram.

Najib berkata golongan belia kini telah melalui proses perubahan yang besar dan pendekatan yang digunakan tidak boleh lagi dilaksanakan seperti tahun-tahun 60-an dan 70-an.

Perdana Menteri juga meminta semua pihak tidak berterusan melabelkan golongan merempit sebagai samseng jalan raya.

"Jangan kata mereka samseng jalan raya... mereka boleh jadi bengang atau bosan di rumah, jadi timbulah budaya ini yang sebenarnya kita perlu juruskan kepada perlakuan yang baik agar mereka dapat mematuhi undang-undang, tidak menunggang secara berbahaya dan sebagainya," katanya.

Perdana Menteri berkata golongan berkenaan perlu diberi peluang dan kemudahan tertentu, misalnya sirkit perlumbaan, bagi membolehkan mereka berlumba dengan cara yang betul.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional sedang melaksanakan empat transformasi melibatkan kerajaan, ekonomi, politik dan sosial.

"Dalam transformasi sosial yang kita perjuangkan itu termasuklah program seperti hari ini yang kita mahu membentuk belia untuk pimpinan masa depan," katanya.

Najib berkata golongan belia cerminan masa depan dan mereka perlu dibimbing dengan pendekatan sewajarnya untuk menjadi pelapis kepada kepimpinan masa depan.

-- BERNAMA

MB RASMI PASAR RAYA BANDAR BARU KIJAL



Kewujudan Pasar raya Giant di Bandar Baru Kijal, Kemaman bakal membantu perkembangan bandar berkenaan dan memesatkan penjanaan kegiatan ekonomi setempat.



Pasar raya besar Giant itu mengembangkan lagi operasinya di negeri Terengganu dengan pembukaan sebuah lagi premis itu di Bandar Baru itu, menelan belanja kira-kira RM21 juta.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri merasmikannya kelmarin (17 Disember) mendapat sambutan luar dugaan apabila berjaya mencatat hasil jualan melebihi setengah juta ringgit semalam.



Pasar raya Giant itu merupakan cawangan ketiga di negeri ini setakat ini selepas kewujudan Giant di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan pasar raya TMC di Mesra Mall Kerteh.



Dalam pada itu, Ahmad berkata, Giant Bandar Baru Kijal merupakan penyewa terbesar di lokasi yang bakal dibangunkan sebagai pusat tekstil itu.



Pembangunan di tanah seluas kira-kira 160 hektar itu yang membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM100 juta, turut menarik perhatian sebuah gedung tekstil terkenal untuk membuka cawangannya di lokasi ini.





TEGANUKITA

32,000 Remaja Sambut PM

Oleh: Ruslan Abdul Rahman dan Esah Abdullah

Setiap program dan aktiviti belia dan remaja perlu dilaksanakan mengikut aspirasi dan kehendak golongan berkenaan.

Demikian ditegaskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak kerana kalau tidak berbuat demikian golongan berkenaan akan dilihat semakin sukar untuk didekati.

“Jangan berfikir apa yang kita suka golongan berkenaan akan suka dan sebaliknya yang kita tidak suka, golongan berkenaan juga tak suka” katanya.

Berucap di Perhimpunan Remaja sempena pelancaran Kelab Motor Terengganu 2010 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak di sini petang semalam (18 Disember) beliau meminta pendekatan untuk beliaa tidak boleh lagi seperti di zaman-zaman 60 -an atau 70 an.

Hadir bersama-sama dengan Perdana Menteri, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Said serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Kira-kira 32,000 ribu remaja Terengganu dikumpulkan di majlis berkenaan, membabitkan 16,000 remaja bermotosikal bagi mendidik mereka menjadi pengguna jalanraya yang mematuhi peraturan dan mengelak dari terbabit lumba haram.

Kalau hendak berlumba, Perdana Menteri menyarankan supaya mereka diberi kemudahan tempat atau serkit perlubaan yang betul dan sah.

Menurut Dato’ Seri Mohd Najib dalam transformasi sosial negara, ia termasuklah golongan belia yang perlu diberi perhatian untuk menjadi pimpinan cemerlang di masa depan.

Sebaik menghadiri perhimpunan itu, Perdana Menteri yang terkenal dengan slogan mendahulukan rakyat bersama-sama Dato’ Seri Ahmad yang terkenal dengan pendekatan merakyatkan pergi kr umah Puan Esah Mohamad di Kampung Chabang Tiga dan menyiapkan kerja-kerja membaiki rumah warga emas itu.

Selepas itu menyampaikan sumbangan kepada warga emas itu.

Beliau juga berkesempatan mengunjug Pasar Malam Chabang Tiga melalui Program ‘walkabout”.

TEGANUKITA

17 December 2010

Sesi Penggulungan Bajet Terengganu Panas Dengan Pertikaman Lidah


KUALA TERENGGANU, 16 Dis (Bernama) -- Sesi penggulungan Bajet Persidangan Dewan Undangan Negeri Terenggganu Kali ke-12 Khamis panas dengan pertikaman lidah antara wakil pembangkang dan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Keadaan menjadi panas apabila Ahmad menggelarkan Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Burok) sebagai pembohong bersiri berikutan beberapa isu yang dibangkitkan dalam dewan termasuk mengenai penempatan semula penduduk Kampung Tok Perah, Ladang di Pangsapuri Ladang Gemilang adalah tidak tepat.

Ahmad berkata memorandum yang dihantar kepada beliau semalam yang didakwa oleh 170 penduduk kawasan berkenaan kerana tidak berpuashati mengenai soal pengambilalihan tanah sebenarnya tidak benar kerana hanya mempunyai nama tanpa tandatangan.

"Saya rasa kecewa kerana Adun Batu Burok lulusan hebat, tetapi tak menggambarkan kebijaksanaannya...Minta maaf kalau saya anggap wakil Batu Burok ni pembohong bersiri.

"Mereka sengaja menggunakan nama 170 orang tanpa dapat restu penduduk yang tinggal di Pangsapuri Ladang Gemilang dan ini dilakukan oleh enam orang PAS yang tidak akan berpuas hati walaupun gunung kita berikan," katanya.

Beliau berkata pembohongan kedua dilakukan oleh Syed Azman ialah mendakwa projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat telah ditolak oleh Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Syed Azman meminta Ahmad menarik balik perkataan itu tetapi apabila Ahmad terus menggelarkannya dengan panggilan itu, Syed Azman turut melemparkan beberapa perkataan seperti 'bapak penipu dan penipu besar' kepada Menteri Besar.

Dewan kemudian meluluskan usul Bajet dan persidangan dewan ditangguh hingga ke suatu masa yang ditetapkan.

-- BERNAMA

Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu Akan Beroperasi Pada Oktober 2015


KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Projek Hidroelektrik Hulu Terengganu dijangka siap dan beroperasi pada Oktober 2015, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB) Khamis.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TNB berkata projek berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi menyediakan kapasiti bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik, menambah baik jaminan sistem tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Projek itu yang terletak di bahagian hulu Sungai Terengganu, di kawasan Tasik Kenyir, akan melibatkan pembinaan dua empangan dan pemasangan dua turbin hidro dan generator dalam stesen janakuasa bawah tanah dengan jumlah kapasiti 250 megawat.

TNB menandatangani tiga perjanjian berhubung projek hidroelektrik Hulu Terengganu, yang pertama dengan Loh & Loh Construction Sdn Bhd dan usaha sama Sinohydro Corporation Ltd.

Mengikut kontrak berkenaan, usaha sama itu akan bertanggungjawab bagi kerja-kerja am utama termasuk pembinaan dua empangan, terowong pemindahan air dan janakuasa bawah tanah.

Harga kontrak yang diterima ialah RM828.3 juta.

Perjanjian kedua ialah dengan Consortium of Alstom Projects India Ltd dan Alstom Hydro Malaysia Sdn Bhd bagi harga kontrak yang diterima pada Euro 27.5 juta dan RM127.6 juta.

Kontrak berkenaan melibatkan antara lain reka bentuk, ujian dan pelaksanaan loji janakuasa itu, setiap satu dengan kapasiti penjanaan sebanyak 125 megawat dan berkaitan peralatan elektrik dan mekanikal.

Perjanjian ketiga ialah dengan usaha sama yang terdiri daripada SNC-Lavalin Inc, SNC-Lavalin Power (Malaysia) Sdn Bhd, KTA Tenaga Sdn Bhd dan G & P Professionals Sdn Bhd.

Usaha sama berkenaan akan menyediakan reka bentuk kejuruteraan terperinci bagi kerja-kerja am utama, reka bentuk kejuruteraan untuk kerja-kerja elektrik dan mekanikal, pengurusan projek dan penyeliaan tapak.

Harga kontrak yang diterima ialah 1.73 juta dolar Kanada dan RM35.9 juta.

Menurut TNB, pembangunan projek hidroelektrik Hulu Terengganu ialah untuk tempoh lima tahun di mana pembayaran kepada kontraktor-kontraktor ini akan dibuat mengikut perkembangan projek.

-- BERNAMA