Bagi Esah, kesudian Najib berkunjung dan membantu kerja-kerja membaiki rumahnya yang uzur di bawah program Jelajah One Malaysia (JOM) mencermin keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat.
"Terima kasih banyak kepada Perdana Menteri dan kerajaan sebab sudi baiki rumah makcik. Rasa gembira dapat jumpa (Perdana Menteri), sebelum ini tengok di televisyen sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Esah yang mempunyai lima orang anak dan lebih 30 cucu menetap di Kampung Chabang Tiga sejak hampir 70 tahun lalu dan dia adalah antara penduduk terawal kawasan itu.
Rumah warga emas itu sebelum ini mengalami kebocoran atap, lantai dan dinding reput sebelum terpilih untuk dibaiki dalam program JOM dengan bantuan anggota pergerakan Pemuda UMNO.
Dalam lawatan, Najib turut bersama membantu mengecat dinding rumah warga emas itu sebelum meluangkan masa untuk berbual dan makan bersama Esah.
Perdana Menteri kemudian sempat berjalan kaki menuju ke gerai menjual jagung yang terletak berhampiran tapak pasar malam Chabang Tiga tidak jauh dari rumah warga emas itu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
-- BERNAMA