
Kewujudan Pasar raya Giant di Bandar Baru Kijal, Kemaman bakal membantu perkembangan bandar berkenaan dan memesatkan penjanaan kegiatan ekonomi setempat.

Pasar raya besar Giant itu mengembangkan lagi operasinya di negeri Terengganu dengan pembukaan sebuah lagi premis itu di Bandar Baru itu, menelan belanja kira-kira RM21 juta.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said sendiri merasmikannya kelmarin (17 Disember) mendapat sambutan luar dugaan apabila berjaya mencatat hasil jualan melebihi setengah juta ringgit semalam.

Pasar raya Giant itu merupakan cawangan ketiga di negeri ini setakat ini selepas kewujudan Giant di Padang Hiliran, Kuala Terengganu dan pasar raya TMC di Mesra Mall Kerteh.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, Giant Bandar Baru Kijal merupakan penyewa terbesar di lokasi yang bakal dibangunkan sebagai pusat tekstil itu.

Pembangunan di tanah seluas kira-kira 160 hektar itu yang membabitkan kos keseluruhan kira-kira RM100 juta, turut menarik perhatian sebuah gedung tekstil terkenal untuk membuka cawangannya di lokasi ini.


TEGANUKITA