Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    3 weeks ago

21 December 2010

Anuar Ketuai TCT Takluk Trek Berbasikal

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said bersama pasukan TCT yang diketuai Anuar Manan pada majlis perjanjian di Kediaman Seri Iman. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

"Saya menyertai pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TCT) kali ini untuk menabur bakti di tanah kelahiran saya dan saya sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Januari depan serta berazam melakukan yang terbaik supaya mampu memenangi beberapa peringkat dalam kejohanan itu nanti, " kata Anuar Manan ketika sidang media selepas menandatangani perjanjian bersama TCT di Kediaman Seri Iman, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam (19 Disember).

Anuar yang sebelum ini mewakil pasukan Ginseng Asia dan penyarung jersi hijau di LTdL 2010 dilantik sebagai ketua pasukan TCT bagi berdepan cabaran musim 2011 bersama rakan sepasukan yang baru.

Beliau bersama tiga lagi pelumba luar negara Shinichi Fukushima (Jepun), Phuchong Udomsin (Thailand) dan Moto Naga (Jepun) menandatangani perjanjian bersama TCT dengan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, semalam. Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat.

Anuar yang menjalani latihan di Australia yakin dengan rakan baru dalam pasukan TCT itu dapat membantunya untuk memenangi kejohanan berkenaan seterusnya menaikkan nama Terengganu dalam acara lumba basikal.

Dalam ucapannya sebelum itu, Menteri Besar amat berbesar hati apabila anak kelahiran Terengganu, Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi emas di Sukan Asia Guangzhou telah mendahului senarai keirin UCI di Veldrom Alcides Nieto Patino di Colombia.

“Kerajaan negeri akan memberi penghargaan kepada Azizulhasni Awang atas usaha beliau yang telah memenangi emas di sukan Asia Guangzhou. Manakala sebidang tanah akan diberikan kepada Anuar Manan bagi menghargai sumbangan beliau dalam menaikkan nama negeri Terengganu.

“Saya berasa amat bangga kerana majoriti pelumba-pelumba basikal yang menyertai Sukan Malaysia di Melaka pada awal tahun ini terdiri daripada anak jati Terengganu yang mewakili pasukan masing-masing." Katanya.

Dato’ Seri Ahmad, juga yakin dengan kemampuan TCT memandangkan pasukan itu dibarisi pelumba berbakat dan telah memenangi beberapa kejohanan di negara masing-masing, selain mereka dapat memberi komitmen seratus peratus dalam membantu menaikkan nama pasukan TCT kelak.

Shinichi adalah pemenang di peringkat Asia Eropah termasuk LTdL serta bekas juara lumba basikal di Jepun dan digeruni pihak lawan.

Manakala Phuchong pula adalah salah seorang pelumba terhebat di Asia dan pernah memenangi jelajah di Thailand serta menyarung jersi Asia. Moto bekas pelumba pasukan Livestrong (2009) pula adalah pemenang tempat kedua dalam Kejohanan Lumba Basikal di Jepun baru-baru ini.


TEGANUKITA