Halaman

20 December 2010

100,000 Orang Dijangka Saksi Pameran Haiwan Berbisa Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- Pameran haiwan berbisa anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) yang diadakan sejak 1 Nov lalu berjaya menarik lebih 78,000 pengunjung.

Pegawai Perhubungan dan Pemasaran LMNT, Mohd Saberi Muda berkata dijangkakan lebih 100,000 orang akan mengunjungi pemeran itu sehingga 31 Dis ini.

"Selain mengadakan pameran binatang-binatang hidup seperti ular dan kala jengking, kita turut mengadakan pertunjukan permainan ular oleh Raja Ular dari Kelantan iaitu Hamdan Mahadi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Jabatan Perikanan telah memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan pemeran itu.

Mohd Saberi juga berkata Muzium Terengganu dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara akan mengadakan pameran lukisan yang bertemakan "Kepadamu Kekasih" mulai 15 Dis hingga 28 Jan depan.

Beliau berkata pengunjung berpeluang melihat 40 buah lukisan hasil nukilan pelukis terkenal tanah air seperti Dr Sulaiman Isa yang kebanyakannya berunsur keagamaan serta kebesaran Ilahi.

-- BERNAMA