Jurucakap Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kemaman berkata mangsa yang masih berada di 12 pusat pemindahan adalah 152 orang di kawasan Kemasik dan 91 orang di kawasan Kijal.
"Mangsa belum boleh pulang kerana kawasan rumah mereka masih digenangi air," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Selasa pagi.
Jurucakap itu berkata paras air sungai Kemaman berada dalam keadaan normal, kecuali di Kerteh, iaitu di Batu Putih kini meningkat ke tahap amaran 2.84 meter (amaran 2.5 meter).
Katanya cuaca di Kemaman kembali mendung pagi ini dan hujan sekali sekala.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memaklumkan keadaan paras sungai di semua sungai utama di Terengganu pagi ini berada dalam keadaan normal.
-- BERNAMA