Halaman

19 December 2010

Kementerian Kerja Raya Lulus Peruntukan Tambahan RM410 Juta Untuk Fasa 2 LPT

KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya akan meneruskan semula kerja pembinaan enam pakej di bawah Fasa 2 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mulai Januari tahun depan.

Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata kerja pembinaan pakej-pakej tersebut dihentikan ekoran kenaikan kos bahan binaan seperti besi, keluli dan simen berikutan kenaikan harga petroleum pada 2007 dan 2008.

"Kontrak pembinaan enam pakej tersebut telah dihentikan, lima daripadanya secara persetujuan bersama," katanya kepada pemberita selepas menutup kejohanan Sukan Jabatan Kerja Raya di Stadium Darul Makmur di sini Sabtu.

Beliau berkata kementerian tersebut telah melantik kontraktor baru untuk melaksanakan enam pakej tersebut yang bernilai RM410 juta.

Shaziman berkata pelaksanaan projek lebuh raya itu kini 75.6 peratus siap berbanding jadual asal 82.9 peratus.

Fasa kedua LPT sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman, ke Kampung Gemuruh, di bahagian utara Kuala Terengganu, merupakan kesinambungan daripada fasa pertama yang bernilai RM3.7 bilion dari dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer.

Kerja pembinaan fasa pertama bermula Mac 2006.

-- BERNAMA