Halaman

26 December 2010

PMR Terengganu Melonjak Atasi Nasional

Oleh : AIDA ABD RAHMAN, Shahrir Abdul Hamid dan Raja Faisal Raja Haron

Terengganu terus menunjukkan lonjakan dalam prestasi peperiksaan awam apabila Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2010 yang diumumkan hari ini merekodkan peningkatan dan pencapaian memberangsangkan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Encik Razali Daud ketika sidang media di JPNT, Kuala Terengganu, berkata pencapaian A dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 0.69 peratus berbanding 7.12 peratus tahun lalu manakala minimum D mencatat peningkatan sebanyak 3.85 peratus daripada 63.38 peratus.

Malah, katanya nilai Gred Purata Mata Pelajaran Peringkat Negeri (GPMP) mengesahkan Terengganu mengatasi GPMP peringkat nasional bagi 11 mata pelajaran manakala Peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) kepada 2.58 berbanding 2.60 pada 2009 mengatasi Gred Purata Nasional 2.74.

Sementara itu, sekolah terbaik bagi PMR 2010 merupakan Sekolah Imtiaz Kuala Berang diikuti SM Imtiaz Besut dan SM Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu yang mendahului senarai sekolah dalam negeri.

Beliau berkata, keputusan PMR mampu meletakkan nama Terengganu terus unggul di peringkat nasional. Kebanyakan mata pelajaran PMR 2010 di Terengganu menunjukkan peningkatan daripada tahun sebelumnya.

Menurutnya, komitmen kerajaan dalam menyalurkan bantuan kepada JPNT mempengaruhi kecemerlangan pelajar dalam PMR 2010.

“Saya mengharapkan bantuan kerajaan akan bertambah agar JPNT dapat melaksanakan lebih banyak program kecemerlangan di sekolah-sekolah pada masa hadapan. Keunggulan Terengganu dalam PMR banyak dibantu oleh pengetua, guru, pelajar serta sikap cakna ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan terus digapai,” katanya.

TEGANUKITA

Ketua Polis Terengganu Bertukar Mulai 27 Disember

Oleh : SURIATI BINTI ALI, Raja Faisal dan Mohamad Shahrir (Pelatih)


Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1, Datuk Mohd Shukri Dahlan sempat berjumpa dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Mohd Shukri Dahlan akan menyerahkan jawatan kepada Senior Asisten Komisioner 1 Datuk Jamshah Mustafa daripada Unit Pengurusan dan Latihan Persekutuan, Bukit Aman yang akan berkuatkuasa 27 Disember 2010.

Dalam satu majlis di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, beliau melahirkan rasa gembira apabila empat buah balai polis di Terengganu menerima anugerah ‘Big League Table’ kelolaan Kementerian Dalam Negeri Malaysia baru-baru ini.

Balai Polis Manir, Cabang Tiga dan Chendering mendahului senarai bagi Kuala Terengganu serta Balai Polis Chukai dari daerah Kemaman. “Big League Table menjadi pengukur kecemerlangan anggota polis dalam menjalankan tugas,” katanya lagi.

Beliau berharap balai polis baru akan dibina di Manir bagi menggantikan balai polis sedia ada.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Terengganu yang memberi sokongan sepanjang menjalankan tugas di Terengganu.

Beliau memuji langkah kerajaan negeri yang telah melancarkan kelab permotoran Terengganu sehingga telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada belia Terengganu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd.Najib di Stadium Tertutup Gong Badak.

“Kerajaan negeri menerima baik pandangan serta memberi kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melahirkan remaja Terengganu bebas daripada gejala sosial yang tidak bermoral,” katanya kepada media, tengahari ini (22 Dis).

TEGANUKITA

Lima Belas Pegawai Tadbir Bertukar Mulai 1 Januari Depan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN dan Ruslan Abdul Rahman

Seramai 15 orang Pegawai Tadbir Negeri bertukar jawatan dalam satu rombakan kecil berikutan persaraan pegawai, berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Mereka terdiri Pengarah ECER Terengganu, Zulkifli Mohamad bertukar sebagai Timbalan Rektor (Hal Ehwal Korporat), TATi Universiti College.

Manakala Pegawai Daerah Setiu, Mohd Akil Haji Mat ditukar kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Kolej TESDEC dipinjamkan mengganti Dato’ Mohd.Alim Muda yang bercuti dan seterusnya bersara.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, mengumumkan kepada media di Pejabat Dewan Undangan Negeri, tengahari ini (22 Dis) sebaik selesai mesyuarat mingguan Exco Negeri.

Lain-lain adalah sebagai berikut:

Mohamad Nor Ibrahim, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu bertukar menjadi Pegawai Daerah Setiu.

Timbalan Pegawai Kewangan, Mustafar Khalid kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu,Harun Mohamad bertukar menjadi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Abdul Rahman Yahya bertukar sebagai Timbalan Pegawai Kewangan.

Yang Dipertua Majlis Daerah Dungun, Zainal Abidin Hussin bertukar sebagai Pegarah Majlis Sukan Negeri.

Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Pemantauan dan Pelaburan) Talaha Ali, berpindah menjadi Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu

Timbalan Pengarah (Sektoral), UPEN bertukar sebagai Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu.

Pengarah Majlis Sukan Negeri, Rosdi Awang bertukar sebagai Ketua Penolong Setiausaha (Baitumal), MAIDAM.

Ketua Penolong Setiausaha (Baitumal), MAIDAM, Johan Ibrahim bertukar sebagai Pengarah Bahagian Kehidmat Pengurusan, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.

Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan), Ahmad Awang bertukar sebagai Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Pemantauan dan Pelaburan)

Pengarah Perkhidmatan Perbandaran (MBKT) bertukar sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu.

Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Rozali Salleh bertukar sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Khidmat Pengurusan) dan;

Ketua Penolong Pegawai Kewangan Negeri (Perolehan dan Pembelian Aset) Tun Ahmad Faisal Tun Abd.Razak bertukar sebagai Timbalan Pengarah (Sektoral), UPEN.

Dato’ Mazlan berkata, keseluruhan pegawai tadbir negeri ialah 203 orang dan telah menjalankan tugas dengan baik.

Beliau juga memberi tahu dua Pegawai Tadbri Negeri, Suriani Saad akan menjalankan tugas sebagai Pegawai Perhubungan MBKT dan Azmi Mohd.Dahan akan ditugaskan bagi Pembangunan Tasik Kenyir.

TEGANUKITA

TATiUC Jalin Kerjasama Akademik Rantau Asia

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Bidang pengajaran dan penyelidikan Terengganu terus diperkasakan apabila Kolej Universiti Tati(TATiUC) berjaya menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kookmin, Korea Selatan dan Universiti MIE, Jepun.

Rektornya, Dr. Rozailan Mamat @ Ibrahim berkata, pihaknya mengadakan lawatan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, YB Ahmad Razif Abd Rahman ke universiti itu bagi memperkemaskan kerjasama pertukaran pelajar dan teknologi serta perundingan penyelidikan.

Hasil kerjasama itu, kemudahan pembelajaran secara percuma beserta elaun dan geran biasiswa sepanjang pengajian disediakan bagi pensyarah untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana dan PhD.

“Universiti berkenaan juga telah bersetuju untuk menerima pelajar dari negeri ini mengikut kuota yang telah dicadangkan seramai 10 pelajar setahun dalam bidang Pengajian Nano Teknologi dan Automotif,” katanya

Selain itu, kerjasama dalam bidang automotif akan terus diperluaskan memandangkan universiti berkenaan turut menjalankan kerjasama dan mendapat dana penyelidikan dari pihak industri automotif terkenal Korea iaitu Hyundai dan Kia Motor.

Manakala lawatan ke Universiti MIE pula susulan daripada memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani antara TATiUC dengan universiti berkenaan.

Katanya, dua orang pensyarah TATIUC turut diberi peluang menjalankan penyelidikan di universiti tersebut selama dua bulan dan melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dengan pembiayaan pelajaran ditanggung sepenuhnya oleh pihak universiti itu.

Melalui MoU itu juga katanya, TATIUC akan menghantar pensyarahnya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan mengadakan pertukaran pelajar peringkat ijazah dalam bidang kejuruteraan.

“Jalinan kerjasama itu TATiUC dengan dua universiti berkenaan dapat membantu memperkasakan program-program akademik serta bidang penyelidikan yang bermutu tinggi di negara kita,” katanya.

TEGANUKITA

21 December 2010

Keadaan Banjir Di Kemaman Bertambah Baik Pagi Ini

KUALA TERENGGANU, 21 Dis (Bernama) -- Banjir yang melanda beberapa kawasan di Kemaman beransur surut dan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan berkurangan kepada 243 berbanding 353 orang petang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Pejabat Daerah Kemaman berkata mangsa yang masih berada di 12 pusat pemindahan adalah 152 orang di kawasan Kemasik dan 91 orang di kawasan Kijal.

"Mangsa belum boleh pulang kerana kawasan rumah mereka masih digenangi air," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Selasa pagi.

Jurucakap itu berkata paras air sungai Kemaman berada dalam keadaan normal, kecuali di Kerteh, iaitu di Batu Putih kini meningkat ke tahap amaran 2.84 meter (amaran 2.5 meter).

Katanya cuaca di Kemaman kembali mendung pagi ini dan hujan sekali sekala.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memaklumkan keadaan paras sungai di semua sungai utama di Terengganu pagi ini berada dalam keadaan normal.

-- BERNAMA

Terengganu Kini Miliki Pasukan Basikal Profesional, Termasuk Tiga Pelumba Import

KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Bernama) -- Terenggganu kini memiliki pasukan basikal profesional "Terengganu Pro-Asia Cycling Team" (TCT) yang mempunyai sembilan pelumba tempatan dan tiga pelumba import.

Penubuhan TCT dilancarkan secara rasmi di sini Isnin oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Pelumba import terdiri daripada Shinichi Fukushima, Motoi Nara daripada Jepun dan Phuchong Udomsin dari Thailand bersama pelumba tempatan Anuar Manan, Mohd Harrif Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan, Mohamad Fais Sharifuddin Abd Kadir, Mohd Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosdi dan Nur Amiraul Fakhruddin Mazuki.

Fukushima juga akan bertindak sebagai jurulatih dengan dibantu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan.

Ahmad berkata kerajaan negeri memperuntukan RM1.5 juta bagi penubuhan pasukan tersebut.

"Saya yakin pasukan TCT yang dianggotai pelumba-pelumba berkaliber ini mampu memertabatkan nama Terengganu dalam sukan lumba basikal hingga ke peringkat dunia," katanya.

Beliau berkata sasaran pertama TCT ialah untuk menyertai kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadual diadakan Januari tahun depan.

"Kita harap Anuar Manan akan dapat mempertahankan jersi hijau yang dimenanginya tahun ini pada tahun depan," katanya.

Ahmad berkata setakat ini pasukan TCT telah memilih Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Thailand sebagai gelanggang latihan yang bermula minggu depan hingga penghujung bulan ini di Thailand bagi menghadapi ujian pertama LTdL.


-- BERNAMA

Solat Suburkan Kesihatan Jasmani

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Amalan solat lima waktu banyak mendatangkan kesan positif kepada badan seseorang umpama melakukan senaman ringan yang boleh menurunkan kadar kolestrol badan di samping dapat mengelakkan penyakit jantung, stress dan kegemukan.

“Solat dari perspektif sains dapat memenuhi keperluan jasmani dan kerohanian manusia zaman sekarang,” kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Ustaz Khazan Che Mat di majlis perasmian Seminar Sains Solat Peringkat Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman hari ini (20 Disember).

Namun katanya, jika solat lima waktu dilakukan tidak mengikut tertib rukun sembahyang, bukan sahaja kesuburan pahala, keberkatan solat dari perspektif sains juga tidak dapat sebaliknya hanya beroleh keletihan.

YB Khazan seterusnya menyeru seluruh umat Islam melakukan penghijrahan sempena kedatangan tahun baru hijrah dan setiap perubahan perlu bermula dari dalam diri setiap individu.

Seminar anjuran kerajaan negeri mengundang dua pakar penyelidik sains dari Universiti Malaya iaitu Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim dan Dr. Ng Siew Cheok yang membentang empat kertas kerja berkaitan kebaikan solat dari perspektif sains.

Prof Madya Dr. Fatimah bentang tiga kertas kerja bertajuk ‘Kesan Postur dan Pergerakan Solat Terhadap Komposisi Badan’ , ‘ Solat Sebagai Terapi Sakit Pinggang’ dan Kesan Solat Kepada Denyutan Jantung dan Sebagai Terapi Mati Pucuk’ manakala Dr. Ng Siew Cheok ‘ Solat Sebagai Terapi Otak’.

TEGANUKITA

Anuar Ketuai TCT Takluk Trek Berbasikal

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said bersama pasukan TCT yang diketuai Anuar Manan pada majlis perjanjian di Kediaman Seri Iman. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

"Saya menyertai pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TCT) kali ini untuk menabur bakti di tanah kelahiran saya dan saya sudah bersedia untuk menghadapi Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Januari depan serta berazam melakukan yang terbaik supaya mampu memenangi beberapa peringkat dalam kejohanan itu nanti, " kata Anuar Manan ketika sidang media selepas menandatangani perjanjian bersama TCT di Kediaman Seri Iman, Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam (19 Disember).

Anuar yang sebelum ini mewakil pasukan Ginseng Asia dan penyarung jersi hijau di LTdL 2010 dilantik sebagai ketua pasukan TCT bagi berdepan cabaran musim 2011 bersama rakan sepasukan yang baru.

Beliau bersama tiga lagi pelumba luar negara Shinichi Fukushima (Jepun), Phuchong Udomsin (Thailand) dan Moto Naga (Jepun) menandatangani perjanjian bersama TCT dengan disaksikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, semalam. Hadir sama, Pengerusi jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat.

Anuar yang menjalani latihan di Australia yakin dengan rakan baru dalam pasukan TCT itu dapat membantunya untuk memenangi kejohanan berkenaan seterusnya menaikkan nama Terengganu dalam acara lumba basikal.

Dalam ucapannya sebelum itu, Menteri Besar amat berbesar hati apabila anak kelahiran Terengganu, Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi emas di Sukan Asia Guangzhou telah mendahului senarai keirin UCI di Veldrom Alcides Nieto Patino di Colombia.

“Kerajaan negeri akan memberi penghargaan kepada Azizulhasni Awang atas usaha beliau yang telah memenangi emas di sukan Asia Guangzhou. Manakala sebidang tanah akan diberikan kepada Anuar Manan bagi menghargai sumbangan beliau dalam menaikkan nama negeri Terengganu.

“Saya berasa amat bangga kerana majoriti pelumba-pelumba basikal yang menyertai Sukan Malaysia di Melaka pada awal tahun ini terdiri daripada anak jati Terengganu yang mewakili pasukan masing-masing." Katanya.

Dato’ Seri Ahmad, juga yakin dengan kemampuan TCT memandangkan pasukan itu dibarisi pelumba berbakat dan telah memenangi beberapa kejohanan di negara masing-masing, selain mereka dapat memberi komitmen seratus peratus dalam membantu menaikkan nama pasukan TCT kelak.

Shinichi adalah pemenang di peringkat Asia Eropah termasuk LTdL serta bekas juara lumba basikal di Jepun dan digeruni pihak lawan.

Manakala Phuchong pula adalah salah seorang pelumba terhebat di Asia dan pernah memenangi jelajah di Thailand serta menyarung jersi Asia. Moto bekas pelumba pasukan Livestrong (2009) pula adalah pemenang tempat kedua dalam Kejohanan Lumba Basikal di Jepun baru-baru ini.


TEGANUKITA

Kadar Kemiskinan Turun 10 Peratus Tahun Depan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN

Terengganu menyasarkan Indeks Kunci Pencapaian (KPI) penerima bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melibatkan 18,576 orang dengan peruntukan RM30 juta sepanjang 2010 dapat diturunkan sebanyak 10 peratus tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib, berkata kaedah utama bagi menurunkan kadar kemiskinan itu adalah dengan melakukan pemutihan semula iaitu memastikan penerima yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan am yang diperuntukkan JKM.

Beliau berkata, kaedah lainnya adalah memberikan keselesaan dan keceriaan kepada golongan miskin termasuk menyediakan kemudahan tempat tinggal yang sempurna.

Sepanjang 2010, kerajaan negeri membina 5,990 unit rumah baru manakala 10, 436 unit rumah dibaikpulih melalui peruntukan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

“ Ini bukan kerja pengarah JKM sahaja, tetapi semua kakitangan JKM perlu memastikan KPI mencapai pengurangan 10 peratus pada tahun depan. Kalau bertambah (jumlah penerima) bermakna kita tidak mencapai sasaran KPI.

“Kita tidak mahu sebagaimana (contoh) pada tahun 2005, 2006, 2007 berlaku peningkatan. Apabila meningkat bermakna kita masih di tahap miskin yang melampau. Jadi kita mahu kurangkan jumlah sedia ada itu sebagai misi mencapai sasaran yang ditetapkan,” kata beliau ketika berucap di Majlis Mesra JKM Bersama Media, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam (19 Disember).

YB Yahya berkata, jumlah penerima JKM itu juga merupakan antara 24,549 peserta yang berdaftar melalui sistem e-Kasih atau melibatkan 500 unit rumah iaitu 9 hingga 10 peratus merangkumi keseluruhan penduduk Terengganu.

Menurut beliau, daripada keseluruhan data kemiskinan negeri, miskin tegar (362 orang), miskin (5,209 orang) dan mudah miskin seramai 18,978 orang.

Sebagai contoh, kata beliau jika sebuah keluarga memerlukan RM30 sehari sebagai perbelanjaan isi rumahnya dan hanya memperolehi RM20 daripada keperluan sebenar RM30, maka dia dikategorikan golongan miskin.

Sementara, jika ada keluarga memerlukan RM30 tetapi hanya memperolehi RM10, situasi itu dikategorikan miskin tegar.

Berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) melalui Laporan Penyiasatan Isi Rumah (HIS) yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2007, miskin tegar ialah golongan yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM430 bagi Semenanjung Malaysia. Manakala pendapatan per kapita isi rumah tersebut adalah RM100 dengan bilangan isi rumah 4.4 (bagi semenanjung).

Manakala miskin tegar adalah di kalangan isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang dari PGK makanan. PGK makanan adalah berdasarkan keperluan harian kilo kalori setiap individu berdasarkan metodologi PGK makanan 2005 bagi Malaysia ialah RM4150.

Bagi kategori miskin pula (berdasarkan PGK 2007), golongan yang mempunyai pendapatan kurang dari RM720 bagi Semenanjung, RM960 bagi Sabah dan RM830 bagi Sarawak.

Sementara mudah miskin pula merupakan golongan yang mempunyai pendapatan melebihi PGK bermaksud treshold di bawah RM1500 bagi bandar dan RM1,000 bagi luar bandar.

YB Yahya turut mengumumkan untuk memberi saguhati kepada peserta Pemulihan Dalam Komuniti RM200 seorang, manakala setiap guru pengiring pula mendapat pakaian sutera selepas kumpulan berjaya mendapat tempat ketiga dalam persembahan berkumpulan Gbakat Istimewa Semai Bakti Piala Perdana Menteri 2010, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

TEGANUKITA

20 December 2010

100,000 Orang Dijangka Saksi Pameran Haiwan Berbisa Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 19 Dis (Bernama) -- Pameran haiwan berbisa anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) yang diadakan sejak 1 Nov lalu berjaya menarik lebih 78,000 pengunjung.

Pegawai Perhubungan dan Pemasaran LMNT, Mohd Saberi Muda berkata dijangkakan lebih 100,000 orang akan mengunjungi pemeran itu sehingga 31 Dis ini.

"Selain mengadakan pameran binatang-binatang hidup seperti ular dan kala jengking, kita turut mengadakan pertunjukan permainan ular oleh Raja Ular dari Kelantan iaitu Hamdan Mahadi," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Jabatan Perikanan telah memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan pemeran itu.

Mohd Saberi juga berkata Muzium Terengganu dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara akan mengadakan pameran lukisan yang bertemakan "Kepadamu Kekasih" mulai 15 Dis hingga 28 Jan depan.

Beliau berkata pengunjung berpeluang melihat 40 buah lukisan hasil nukilan pelukis terkenal tanah air seperti Dr Sulaiman Isa yang kebanyakannya berunsur keagamaan serta kebesaran Ilahi.

-- BERNAMA