Halaman

23 February 2011

Kelapa Matag Jana Pendapatan Petani

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH


Cocos nucifera L.

Kelapa Matag - Isinya yang tebal dan banyak santan, merupakan daya tarikan utama baka kelapa terbaru yang akan diperkenalkan kepada petani di negeri ini untuk diusahakan secara komersial.

Kelapa tersebut dikatakan mampu mengeluarkan buah sehingga 40,000 biji bagi tanah seluas satu hektar yang boleh memuatkan 170 pokok.

“Kawasan seluas 250 hektar di daerah Setiu sudah dikenal pasti sebagai perintis bagi tanaman berkenaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Ashaari Idris.



Beliau berkata, kelapa Matag merupakan baka baru kelapa hibrid yang dikacuk hasil pendebungaan silang antara kelapa rendah Malaya dan kelapa Tagnanan dari Filipina dan pelaksanaan projek akan menggunakan peruntukan RM25.76 juta yang disediakan kerajaan negeri dalam Bajet 2011 bagi sektor pertanian.

Tambah beliau, baka ini dipilih kerana mampu mengeluarkan hasil tinggi, produktif dan berdaya tahan dan dijangka dapat memberi pulangan lumayan kepada petani.

“Baka ini mempunyai ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang cepat dan tidak cerewet untuk dijaga serta pelbagai guna seperti pengeluaran santan, air kelapa muda dan kelapa kering untuk minyak,” katanya.

Kelapa Matag boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas berada di tapak pertanian dan setiap tandan mampu menghasilkan 15 biji pada peringkat awal berbuah dengan jangka hayatnya antara 25 hingga 30 tahun.

TEGANUKITA

Taman Ilmu Boleh Diguna Akhir Tahun

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Taman Ilmu yang dibina di Kampung Tembila, Besut dan boleh menempatkan enam universiti, boleh mula digunakan akhir tahun ini, apabila sebahagian besar komponen pentingnya, siap sepenuhnya.

Lawatan Teganukita bersama-sama pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) petang semalam, mendapati sebahagian besar komponen utama seperti kerja-kerja prasarana, perpustakaan, pusat pelajar, kompleks sukan, dewan konvokeseyen, kediaman pelajar dan masjid, hampir siap.

Pelbagai wakil media turut menyertai lawatan tersebut yang dianjurkan Unit Komunikasi Negeri (Ukom), bagi memberikan maklumat mutakhir mengenai prestasi projek bernilai lebih RM300 juta itu.

Sehingga ini, kerja-kerja menyediakan prasarana sudah pun 90 peratus siap, masjid (70 peratus), perpustakaan (100 peratus), kompleks sukan (92 peratus), pusat pelajar (90 peratus) dan dewan konvokesyen (75 peratus) dan kediaman pelajar (95 peratus).

Mengikut penilaian JKR, secara purata kemudahan asas untuk membolehkan taman tersebut mula beroperasi sudah 85.29 peratus siap, berbanding peratus sebenar 93.75 peratus.

Sehingga ini, beberapa universiti termasuk dari luar negara berminat untuk membuka cawangan mereka di Taman Ilmu dan perbincangan sedang dilakukan dengan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

Difahamkan kerajaan negeri sedang menimbang permohonan tersebut dan masih belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Kerja-kerja terakhir (finishing) di beberapa komponen utama sedang giat dilakukan manakala perpustakaan sudah mula diisi dengan sebahagian perabot yang ditempah sebelum ini.

Apabila siap semua komponen yang dirancang, Taman Ilmu mampu menempatkan 35,000 pelajar di mana mereka akan berkongsi pelbagai kemudahan yang disediakan di kawasan tersebut.

Taman Ilmu meliputi kawasan seluas 700 ekar dan bakal menjadi pemangkin ekonomi negeri Terengganu, khususnya di bahagian utara melibatkan derah Besut dan Setiu.

TEGANUKITA

Kerajaan Mahu Lebih Banyak SBT Di Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


YB Ahmad Razif berbincang sesuatu mengenai Kompleks Imtiaz Besut.

Kerajaan negeri mahu lebih banyak sekolah di Terengganu diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) supaya para pelajar mendapat faedah yang maksimum untuk pembelajaran mereka, sekaligus meningkatkan taraf pendidikan rakyat tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pada tahun ini pihaknya berharap sebuah sekolah lagi iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong akan diiktiraf sebagai SBT selepas Sekolah Menengah Imtiaz Besut.

Pada masa ini hanya dua buah sekolah di negeri ini mendapat pengiktirafan SBT iaitu SM Imtiaz Besut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail, Cukai, Kemaman.

“Pada tahun ini Kementerian Pelajaran baru mengumumkan 23 sekolah sebagai SBT sedangkan sepatutnya 30 sekolah diberi pengiktirafan tersebut.

“Oleh itu, kita harap SMK Lembah Bidong akan termasuk salah satu daripada tujuh sekolah yang belum diumumkan sebagai SBT,” katanya kepada wartawan di Besut, semalam.

YB Ahmad Razif berharap pada tahun depan lebih banyak sekolah di negeri ini mendapat pengiktirafan SBT.

“Kita telah mencalonkan semua SM Imtiaz iaitu SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Kemaman, SM Imtiaz Dungun dan SM Imtiaz Kuala Terengganu di iktiraf sebagai SBT,” ujar beliau.

TEGANUKITA

IMITIAZ DIBERI PERHATIAN KHUSUS DAN BAKAL MENJADI SEKOLAH ANTARABANGSA




Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Ahmad Said, memberi perhatian yang khusus terhadap Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz.
Oleh hal yang demikian, Yayasan Terengganu (YT) merancang untuk menubuhkan sekolah Imtiaz Antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata pada dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan penubuhan sekolah Imtiaz Antarabangsa yang akan beroperasi tahun depan.

"Tiada masalah untuk membuka sekolah ini. Dari segi kelengkapan dan tenaga pengajar yang ada memang mencukupi dan kita akan menaiktaraf sekolah ini bersesuian dengan status sekolah swasta antarabangsa," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.

Katanya sekolah Imtiaz Antarabangsa yang bakal dilaksanakan itu akan mengikut konsep sekolah antarabangsa yang lain termasuk dari segi sukatan pelajarannya.

YB Haji Ahmad Razif berkata Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang merupakan antara 23 sekolah di seluruh negara yang menerima pengiktirafan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) tahun ini, akan dinaiktaraf dengan menggunakan bahasa Arab dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantaran.

Ekoran prestasi cemerlang yang ditunjukkan, sekolah itu mula dikembangkan ke Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu Terengganu.

Sistem pelajaran berfokuskan al-Quran, pembangunan sahsiah dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah dalam usaha melahirkan lebih ramai pelajar seimbang dari segi ilmu akademik dan keagamaan.

Dato' Seri Ahmad telah bersetuju sebelum ini untuk mewujudkan sekolah Imtiaz di setiap daerah di negeri ini. Sehingga ini terdapat enam buah dan selebihnya akan diwujudkan dalam tempoh terdekat dijangka selesai tahun 2012.




TEGANUKITA

Kemudahan Sekolah Bukan Asas Cipta Kejayaan


YB Ahmad Razif melihat buku di perpustakaan Imtiaz ketika melakukan lawatan ke sekolah itu. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.
Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB

Pelbagai kemudahan asas dan pembelajaran yang disediakan di sekolah-sekolah bukan asas untuk sesebuah berkenaan mencipta kejayaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sebaliknya, kata beliau, ada sekolah yang menghadapi serba kekurangan di segi kemudahan belajar dan tempat tinggal pelajar, mampu mencipta kejayaan luar biasa dalam pelbagai peperiksaan.

Contoh terbaik, katanya, Sekolah Menengah Imtiaz Besut di Kampung Raja yang menghadapi pelbagai masalah seperti ruang sekolah dan asrama yang terlalu sesak, tidak cukup kelas dan kemudahan bilik air, mampu mencipta kejayaan luar biasa dan menjadi antara sekolah terbaik di negeri ini.

Sekolah tersebut diberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran kerana pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang dan juga menjadi sekolah terbaik di kalangan Sekolah Menengah Agama di Terengganu dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010.



“Pendidikan tidak bergantung kepada kemudahan yang disediakan di sekolah, tetapi ia bergantung kepada usaha gigih guru-guru dan pelajar untuk meraih kejayaan. Ini dibuktikan oleh Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang menghadapi pelbaagi kesukaran kerana bilangan pelajar semakin bertambah dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan tidak rasmi ke sekolah itu hari ini. Sekumpulan wartawan dan jurugambar dari pelbaagi organisasi media turut serta dalam lawatan ke Sekolah Menengah Imtiaz itu dan Taman Ilmu di Kampung Tembila, anjuran Unit Komunikasi Negeri.



YB Haji Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri tidak mengabaikan keperluan dan kebajikan pelajar di sekolah-sekolah Imtiaz di negeri ini, sebaliknya usaha-usaha sedang diambil bagi menambah nilai pelbagai keperluan di sekolah berkenaan.

Malah, pihaknya bercadang untuk mewujudkan sekolah Imtiaz di daerah lain yang belum ada institusi tersebut yang diwujudkan bagi melahirkan hafiz dan hafizah.
TEGANUKITA

Negeri Anjung Ilmu Perkasakan Seni Khat

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Zubir menunjukkan iklan pertandingan seni khat peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Taman Tamadun Islam pada 12 hingga 13 Mac ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Terengganu yang sering melakar kecemerlangan dalam keputusan peperiksaan awam di negara ini sehingga dominan dengan jolokan `negeri anjung ilmu’ terus mengorak langkah memartabatkan satu lagi aspek ilmu apabila menganjurkan pertandingan seni khat peringkat kebangsaan pada 12 hingga 13 Mac depan.

Pertandingan yang julung kali diadakan dengan tema `Inspirasi Seni Khat TTI’ yang dianjurkan Persatuan Seni Khat Malaysia dengan kerjasama penuh Kerajaan Terengganu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM61,000 bakal disertai lebih 300 peserta dari seluruh Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa pertandingan, Dato’ Zubir Embong, berkata program di Taman Tamadun Islam menjurus kepada pameran, seminar dan juga pertandingan seni khat yang bakal melibatkan penyertaan penggiat, pengkarya dan peminat seni khat dari seluruh negara.

Katanya, dua kategori ditawarkan dalam pertandingan, iaitu spontan (terbuka) bagi 18 tahun ke atas dan spontan (sekolah) bagi yang berusia 13 hingga 18 tahun dengan syarat-syarat tertentu dengan menonjolkan karya khat yang popular termasuk Thuluth, Kufi, Nasakh dan Diwani.

Tokoh kaligrafi Islam, Profesor Dr Muhammad Bukhari Lubis dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) akan mengemukakan ucaptama pada program itu, selain kemunculan tokoh kaligrafi terkenal dunia dari Syria, Adnan Sheikh Osman sepanjang seminar bagi berkongsi ilmu penulisan kepada peserta pertandingan ini.

Beliau berkata, program itu akan menjadi forum untuk memperkasakan dan menanam minat supaya kecintaan terhadap khat subur di kalangan masyarakat khususnya golongan muda serta program ini dapat membuka mata masyarakat mengenai keindahan, rahsia dan nilai tulisan jawi atau khat ini kepada masyarakat Islam.

“YAB Menteri Besar cukup berminat dengan program ini, yang mana beliau turut menyediakan satu pialakhas dinamakan `Piala Menteri Besar Terengganu’ sebagai piala iringan pertandingan yang dijangka diadakan secara tahunan,” katanya ketika sidang akhbar mengenai program itu, di Dewan Konvensyen TTI, di Pulau wan Man, Kuala Terengganu, petang semalam (22 Februari).

Hadir sama, Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman.

Katanya, seni khat memang sinonim dengan Terengganu dan TTI yang memiliki senibina dan monumen bercirikan tulisan dan ayat penting dalam al-Quran serta syair Arab terkenal.

Malah, Batu Bersurat yang berasal dari Terengganu turut membuktikan sejarah kedatangan Islam ke rantau Nusantara yang bermula dengan kecelikan masyarakat terdahulu dengan tulisan rasmi bangsa Melayu itu.

“Tulisan jawi ini sebenarnya tulisan rasmi bagi bangsa Melayu yang semakin jauh dengan masyarakat, kalau dulu ia dianggap sebagai tulisan rasmi tetapi kini ia tidak lagi dianggap sedemikian, maka kelihatan tulisan jawi kian jauh dan bimbang pupus. Kalau pulus tulisan ini, maka bangsa Melayu juga turut sama menerima akibatnya,” katanya.

Katanya, maka pendekatan itu dilaksanakan bagi melestarikan serta memperkasakannya semula kerana bimbang ia semakin dilupakan generasi kini.



TEGANUKITA

22 February 2011

Ukom Anjur Lawatan Maklumat Untuk Wartawan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan


Kemajuan projek Taman Ilmu yang dijangka akan digunakan menjelang akhir tahun ini. - Gambar oleh Syed Abdul Rahman.

Seramai 10 orang wartawan dan jurugambar dari pelbagai organisasi media tempatan menyertai lawatan bermaklumat yang dianjurkan Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di daerah Besut hari ini.

Rombongan tersebut yang menaiki bas Setiausaha Kerajaan Negeri, tiba di Sekolah Menengah Imtiaz Besut di Kampung Raja, kira-kira jam 10 pagi dan diberi taklimat oleh Pengetuanya, Haji Abdul Wahab Mohd Arshad, mengenai sekolah berkenaan yang diberi taraf Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, turut mendengar taklimat dan menyampaikan ucapan kepada guru-guru sekolah dan rombongan wartawan.



Sempena lawatan tidak rasmi ke sekolah berkenaan, YB Razif meluluskan peruntukan RM20,000 kepada guru-guru sekolah itu untuk menganjurkan lawatan dan mengadakan program di sekolah berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan untuk menyelesaikan beberapa masalah terdesak yang dihadapi pihak pengurusan sekolah, termasuk menggunakan Asrama Kelompok Pelagat milik Yayasan Terengganu, sebagai penempatan sementara pelajar sekolah berkenaan.



Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan beberapa pegawai serta kakitangan Ukom turut menyertai lawatan berkenaan yang bertujuan memberi maklumat kepada wartawan mengenai Sekolah Imtiaz dan Taman Ilmu.

Pada sebelah petang, rombongan tersebut dibawa melawat ke Taman Ilmu dan diberi maklumat mengenai kemajuan projek taman berkenaan yang sebahagian besarnya hampir siap dan boleh digunakan menjelang akhir tahun ini.

TEGANUKITA

SYUKUR KERANA NIK AZIZ TELAH AKUI PERLUNYA PERJUANGAN MELAYU

Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong bersyukur kerana Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat telah pun sedar dan mengakui tentang perjuangan terhadap orang Melayu perlu diutamakan.
“Alhamdulillah beliau telah sedar tentang sucinya perjuangan bangsa sendiri walaupun sebelum ini orang Umno sering dituduh bermacam-macam kerana berjuang untuk kepentingan Melayu dan Islam sekaligus,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Nik Aziz semalam yang mengakui perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa peribumi di negara ini.

Haji Shamsuddin berharap kesedaran baru Mursyidul Am Pas tentang kepentingan perjungan untuk orang Melayu itu akan diikuti oleh pimpinan Pas yang lain serta ahli dan penyokong Pas seluruhnya.
Beliau berharap, tuduhan Asabiyyah terhadap Umno yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu Islam selama ini juga ditarik balik dengan perkembangan baru itu.
Ini kerana katanya asyabiyyah itu sebenarnya perjuangan sempit membela puak sendiri atas dasar kezaliman bukannya perjuangan untuk kepentingan bangsa sendiri.
“Kesilapan membuat tafsiran terhadap perjuangan bangsa dan tanahair selama ini harap dapat diperbetulkan oleh Mursyidul Am Pas itu,” katanya.
Di antara petikan kata-kata Nik Aziz sebelum ini:
"Jika melawan Umno tiba-tiba meninggal dunia, maka kita dikira mati syahid" kuliah Nik Aziz di Masjid Kg.Pulau Melaka.
"Pas boleh terima pemimpin DAP jadi Perdana Menteri," 6 November 1999
"Menentang Pas adalah haram mengikut al-Quran" 24 April 1994
"Terdapat unsur kafir dalam UMNO kerana parti itu menolak Islam dalam pentadbiran negara," ceramah Nik Aziz di Pengkalan Chepa 3 Julai 1999.

Oleh: Langtelipot.








TEGANUKITA

SMK BADRUL ALAM SHAH, KEMAMAN LAKAR KEJAYAAN TERBAIK STPM SELURUH TERENGGANU



Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemasek Kemaman, tiba-tiba menjadi sebutan apabila melakar sejarah muncul sebagai sekolah terbaik Terengganu dalam Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) 2010 yang diumumkan semalam.

Sekolah ini mencatat keputusan seratus peratus lulus principal dalam peperiksaan itu dan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 2.91.

Sebelum ini sekolah itu telah empat kali berturut-turut muncul sebagai sebagai sekolah terbaik STPM peringkat daerah Kemaman dan kini muncul terbaik di peringkat negeri pula.


Pengetuanya, Fatimah Jusoh berkata, daripada 29 calon, 18 daripadanya atau 46.2 peratus Berjaya memperolehi PNGK 3.0 ke atas dengan dua daripada calon turut berjaya memperolehi PNGK 3.75 iaitu Nurul Zur Aein Aminuddin dan Siti Nurhabsah Yusof.

SMK Badrul Alam Shah, Kemasek telah ditubuhkan pada 15 Januari 1967 dengan nama SMK Kemasek.

Jumlah murid pada tahun itu hanyalah 103 orang dan 7 orang guru.

Pada 23 Ogos 1969, sekolah ini telah dibuka dengan rasminya oleh Menteri Pelajaran Malaysia,Allahyarham Dato' Haji Abdul Rahman Yaakub.

Pada tahun ini juga, sebanyak 34 orang calon Sijil Rendah pelajaran daripada 70 calon telah lulus dan layak ke tingkatan 4. Oleh itu pada 1970, sebuah kelas tingkatan 4 telah diwujudkan.

Pada tahun 1971, sekolah ini buat kali pertamanya telah mengemukakan calon dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Seorang calon telah berjaya mendapat pangkat 1, 3 orang calon mendapat pangkat 2 dan 17 calon mendapat pangkat 3 dengan peratus lulus sebanyak 84%.

Pada tahun 1997, kelas Tingkatan 6 dibuka di sekolah ini dan pada tahun 1998, kumpulan pertama pelajar berkenaan menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia.

Pada tahun 2001, Kelas Rancangan Khas (KRK) diwujudkan di sekolah ini dan sebuah Kelas Pendidikan Khas ditubuhkan pada tahun 2009.
VISI SEKOLAH :
Bahawa sesungguhnya Wawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah ialah memastikan kecemerlangan pelajar daripada segi ilmu, iman, dan amal sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.





TEGANUKITA

PERISTIWA KANAK-KANAK TADIKA KEMAS DIHALAU ADALAH BENAR



Kenangan pahit: Kanak-kanak tadika Kemas ini terpaksa belajar di pondok usang angkara tidak dibenarkan berada di premis kerajaan negeri sewaktu Pas berkuasa...mungkin kanak-kanak ini sudah menjadi remaja sekarang (belasan tahun).


Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Kanak-kanak tadika dihalau dari balairaya milik kerajaan negeri di zaman Pas berkuasa di Terengganu bukanlah lakonan sebagaimana tuduhan sebuah blog pembangkang ketika mengulas rencana dalam akhbar Berita Harian semalam.

Rencana Berita Harian tulisan Ketua Biro Berita Harian dalam kolum ‘Ganukite’ dengan jelas menyebut tentang peristiwa pahit rakyat Terengganu di zaman Pas berkuasa.

Kanak-kanak tadika Kemas dihalau itu hanyalah satu daripada ratusan kezaliman dan penyelewengan Pas sewaktu berkuasa di negeri Darul Iman ini.

Penulis sewaktu itu menjadi wartawan sambilan Berita Harian pada Disember 1999- 2002 berasa terpanggil untuk menceritakan tentang kebenaran peristiwa itu dan bukannya lakonan.

Penulis dan jurufoto Suhaimi Ahmad sendiri merakamkan gambar kanak-kanak yang terpaksa belajar, misalnya di Tanjung Batu Rakit, menumpang belajar di bangsal keropok- cukup menyayat hati.

Di Dungun kanak-kanak terpaksa menumpang di warong kopi yang dikosongkan bersebelahan bangunan tadika yang merupakan premis kerajaan negeri.

Jangan katakan ia lakonan, pihak Kemas Negeri tentunya masih ada menyimpan surat dari pentadbiran kerajaan negeri meminta premis kerajaan negeri yang ditempatkan tadika Kemas dikosongkan.Penulis blog pembangkang jangan cuba berdolak-dalih kerana semuanya adalah fakta.

Banyak lagi perkara yang zalim dan amat tidak Islamik dilakukan Pas, contohnya memecat bilal kerana bilal berkenaan dilantik menjadi Pengerusi JKKK (kerajaan Persekutuan).

Bilal, Haji Ismail Abdullah dari Masjid Bukit Tok Beng menerima surat pemecatan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Bilal berkenaan (Haji Ismail) masih ada dan boleh bertanyakan beliau jika berasa apa yang dinyatakan di sini tidak benar.

Surat pemecatan itu bertarikh 10 November 2002 menyebut penamatan perkhidmatan bilal
masjid mukim negeri Terengganu itu bermula 25 November 2002.

Bilal adalah tugas suci di sisi Allah, melaungkan azan, tetapi Pas bila berkuasa tergamak melakukan pemecatan itu…demikianlah untuk kita nilaikan …wajarkah kita menyokong Pas?



TEGANUKITA