Halaman

23 February 2011

Taman Ilmu Boleh Diguna Akhir Tahun

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan




Taman Ilmu yang dibina di Kampung Tembila, Besut dan boleh menempatkan enam universiti, boleh mula digunakan akhir tahun ini, apabila sebahagian besar komponen pentingnya, siap sepenuhnya.

Lawatan Teganukita bersama-sama pegawai kanan Jabatan Kerja Raya (JKR) petang semalam, mendapati sebahagian besar komponen utama seperti kerja-kerja prasarana, perpustakaan, pusat pelajar, kompleks sukan, dewan konvokeseyen, kediaman pelajar dan masjid, hampir siap.

Pelbagai wakil media turut menyertai lawatan tersebut yang dianjurkan Unit Komunikasi Negeri (Ukom), bagi memberikan maklumat mutakhir mengenai prestasi projek bernilai lebih RM300 juta itu.

Sehingga ini, kerja-kerja menyediakan prasarana sudah pun 90 peratus siap, masjid (70 peratus), perpustakaan (100 peratus), kompleks sukan (92 peratus), pusat pelajar (90 peratus) dan dewan konvokesyen (75 peratus) dan kediaman pelajar (95 peratus).

Mengikut penilaian JKR, secara purata kemudahan asas untuk membolehkan taman tersebut mula beroperasi sudah 85.29 peratus siap, berbanding peratus sebenar 93.75 peratus.

Sehingga ini, beberapa universiti termasuk dari luar negara berminat untuk membuka cawangan mereka di Taman Ilmu dan perbincangan sedang dilakukan dengan kerajaan negeri bagi tujuan itu.

Difahamkan kerajaan negeri sedang menimbang permohonan tersebut dan masih belum membuat keputusan muktamad mengenainya.

Kerja-kerja terakhir (finishing) di beberapa komponen utama sedang giat dilakukan manakala perpustakaan sudah mula diisi dengan sebahagian perabot yang ditempah sebelum ini.

Apabila siap semua komponen yang dirancang, Taman Ilmu mampu menempatkan 35,000 pelajar di mana mereka akan berkongsi pelbagai kemudahan yang disediakan di kawasan tersebut.

Taman Ilmu meliputi kawasan seluas 700 ekar dan bakal menjadi pemangkin ekonomi negeri Terengganu, khususnya di bahagian utara melibatkan derah Besut dan Setiu.

TEGANUKITA