Halaman

25 February 2011

Semakin ramai pelajar luar negara di TATiUC

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kolej Universiti TATI (TATiUC) di Kemaman, bakal menerima lebih ramai pelajar dari luar negara pada sesi pengajian akan datang, sesuai dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengangkat institusi pengajian tersebut ke tahap antarabangsa.

Sehingga ini pihak pengurusan TATiUC menjangkakan 50 pelajar dari luar negara akan mendaftar masuk ke pusat pengajian itu, di mana 10 orang sudah membuat pengesahan untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai jurusan yang disediakan.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim, berkata kini 10 pelajar dari Sudan dan Arab Saudi sedang menuntut di pusat pengajian itu yang semakin mendapat perhatian di luar negara.



“Pada masa yang sama TATiUC juga sedang giat menarik tenaga pengajar dari luar negara bagi menarik lebih ramai pelajar asing melanjutkan pengajian di sini,” ujarnya.

Pada masa ini TATiUC sudah berjaya mendapatkan tenaga pengajar dari Indonesia, Yaman, India dan United Kingdom, mengajar di situ.

Beliau berkata, walaupun dengan pertambahan pelajar dari luar Terengganu dan negara asing belajar di TATiUC, pihaknya tetap akan mengekalkan kuota minimum pengambilan pelajar Terengganu 70 peratus.

“Pengajian berasaskan kemahiran masih menjadi teras pengajian di TATiUC, terutama pengajian di peringkat diploma 70 peratus praktikal 30 peratus teori masih tetap dikekalkan,” katanya.

Menurutnya, pihak industri puas hati dengan sistem pembelajaran yang diamalkan di TATiUC dan lepasan pusat pengajian itu tidak menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan selepas graduan.


TEGANUKITA