Halaman

24 February 2011

Nelayan Perlu Bijak Rancang Masa Depan

Oleh: Suriati Ali

Golongan nelayan di negeri ini, terutama yang masih di kategorikan golongan miskin perlu mengurangkan sikap gemar bergantung kepada hasil laut sekiranya serius ingin menaiktaraf ekonomi keluarga.

Mereka perlu bijak merancang masa depan dengan mencari pekerjaan sampingan seperti berniaga kecil-kecilan dan bercucuk tanam. Pendekatan ini secara tidak langsung boleh menambah pendapatan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Haji Asha’ari berkata kerajaan negeri prihatin dengan nasib golongan nelayan yang kebanyakannya masih dikategorikan miskin.

Katanya, mereka yang miskin pendapatan mampu berubah kerana mempunyai sikap ingin berusaha bagi menambah pendapatan, jika sebaliknya iaitu miskin minda, cukup sukar untuk berbuat demikian.

“Kerajaan negeri cukup kesal dengan mereka yang miskin minda berikutan bertindak tanpa berfikir masa depan. Sekiranya bantuan seperti bot, enjin, pukat dan pelbagai kelengkapan bot lain dihulurkan kerajaan, mereka tanpa segan silu akan menjualnya bagi mendapat keuntungan segera.

“Mereka yang mempunyai sikap seperti ini tidak akan berubah sampai bila-bila, kerana bukan sahaja tidak mempunyai masa depan malah payah untuk berusaha,” katanya.

Menurutnya, sikap gemar menambung dan tidak membazir juga perlu ada dalam diri para nelayan bagi mengelak kesuntukkan wang terutama pada musim tengkujuh.

“Jika tiada duit simpanan, pelbagai masalah lain akan timbul termasuk terpaksa berhutang untuk membeli barangan keperluan harian dan perbelanjaan sekolah anak-anak,” katanya.


TEGANUKITA