Halaman

23 February 2011

Penoreh getah selesa

Oleh: Esah Abdullah

Pekebun kecil getah di negeri ini mampu memperolehi pendapatan kasar antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan mengambilkira purata keluasan tanah dua hektar.

Sehubungan itu, pekebun dan penoreh diminta supaya menyuburkan amalan menabung sebahagian daripada pendapatan hasil getah untuk keperluan masa akan datang sama ada perbelanjaan keluarga dan juga penjagaan kebun.

Pengarah Risda Terengganu, Haji Zakaria Mat Zin berkata, dengan kenaikan harga getah di pasaran sekarang iaitu antara RM8 hingga RM8.40 sekilogram harga di ladang ia mampu memberi kelegaan kepada penoreh.

Katanya, merujuk kepada sistem maklumat pekebun kecil getah negeri sejumlah 25,614 orang dengan keluasan 48,589 hektar yang didaftarkan dan daripada jumlah berkenaan dianggarkan 10,988 pekebun kecil getah yang produktif membabitkan kawasan seluas 20,599 hektar.

Sehubungan itu, katanya, pendapatan hasil pekebun kecil dipengaruhi oleh faktor bilangan pokok, pengeluaran susu sepokok dan bilangan hari yang ditoreh setiap bulan serta harga semasa.

“Tahun ini prestasi pencapaian pengeluaran hasil getah yang dipantau adalah purata 1,540 kg sehektar berbanding matlamat yang disasarkan 1,600 kg sehektar setahun,” katanya.

Oleh itu, katanya, dengan kenaikan dan kestabilan harga getah, pekebun kecil perlu mengambil langkah bijak dengan memastikan pokok-pokok getah perlu ditoreh sepenuhnya mengikut peraturan bagi memaksimumkan produktiviti dan pendapatan mereka.

Katanya, pihaknya sentiasa mengadakan kursus dan tunjuk ajar serta lawatan ke kebun bagi membimbing ke arah pengurusan kebun yang baik termasuk kerja penyelenggaraan, pembajaan, kawalan rumpai, penyakit dan sistem penorehan.

“Amalan pembajaan yang betul, sistem penorehan dan penyelenggaraan kebun yang betul dapat meningkatkan hasil dn produktiviti yang lebih tinggi,” katanya.

Haji Zakaria juga menasihatkan pekebun kecil dapat menjual hasil getah secara berkelompok melalui koperasi di setiap daerah untuk memperolehi harga yang berpatutan.

Selain itu Haji Zakaria berkata, Risda memperuntukan RM7.02 juta tahun ini bagi membiayai program tanam semula getah seluruh negeri.

TEGANUKITA