Halaman

25 February 2011

Lima Pertubuhan Kebajikan Dapat Perhatian Sempena Jom Heboh

Oleh: Aida Abd Rahman

Di sebalik kemeriahan aktiviti hiburan yang dihidangkan kepada masyarakat Terengganu bersempena Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu bermula hari ini (25 Februari), Media Prima Berhad selaku penganjur karnival turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan menyumbang RM50,000 kepada lima badan kebajikan di negeri ini.

Badan kebajikan yang terpilih masing-masing menerima sumbangan RM10,000 adalah Rumah Sejahtera Taman Bahagia Bukit Payong, Rumah Tunas Harapan Anak Yatim Darul Hilmi, Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu, Pertubuhan Kebajikan Warga Tua Nurul Saadah dan Persatuan Kebajikan Islam Terengganu.

Sumbangan disampaikan sempena kunjungan personaliti TV3 ke Rumah Tunas Harapan Anak-anak Yatim Darul Hilmi di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman berterima kasih dengan keprihatinan Media Prima terhadap mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian semua pihak termasuk badan korporat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir turut teruja kerana penganjur memilih rumah anak yatim di kawasan pimpinannya sebagai destinasi untuk menjalankan tanggungjawab sosial.

Hadir sama, Ketua Penerbitan Program Majalah, Primeworks Studio Media Prima Berhad, Aziz ismail; Ketua Penerbit Program Wanita Primeworks Studios, Siti Hatija Yusof dan beberapa personaliti TV3 seperti Maria Tunku Sabri, Teh Syuhada, Aidid Marcello dan Azura Azizul Azman.



TEGANUKITA