Guru-guru ETA
Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Program Pembantu Bahasa Inggeris (ETA) Terengganu yang menggunakan tenaga pengajar dari Amerika Syarikat bakal dilaksanakan di seluruh Malaysia pula, demikian diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran,Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.
Esok Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr.Jamaluddin Mohd.Jarjis dan Duta Besar Amerika Syarikat Ke Malaysia akan mengadakan lawatan ke Sekolah Lembah Bidong dan Sekolah Menengah Agama Khairiah, Kuala Terengganu untuk mendapat taklimat khusus mengenai Program ETA itu.
Kedua-dua mereka itu akan meninjau program tersebut dan mendapat maklumbalas dari Pengetua, guru dan pelajar sekolah-sekolah berkenaan yang terbabit dengan program ETA itu.
Program ETA Terengganu diteruskan buat tahun keenam dengan ketibaan seramai 17 tenaga pengajar dari Amerika Syarikat.
Kumpulan tersebut yang terdiri daripada tiga belas wanita dan empat lelaki akan ditempatkan di beberapa sekolah pilihan.
Sebelum ditempatkan di sekolah-sekolah, mereka akan menjalani kursus orentasi yang akan dikendalikan oleh pihak pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak Jabatan Pelajaran selama dua minggu.
Orentasi tersebut bertujuan memberi mereka pendedahan kepada budaya dan adat resam masyarakat, sistem pendidikan Terengganu dan membantu mereka menguasai bahasa Melayu dan dialek tempatan.
Kumpulan ETA tersebut kesemuanya mempunyai ijazah dalam pelbagai bidang.
Haji Ahmad Razif juga memberitahu, pengajar ETA wanita juga diberi kesempatan untuk mengajar guru-guru wanita di sekolah mereka berkhidmat dan juga kepada ibu-ibu yang mempunyai anak di sekolah berkenaan.
Ini katanya, sebagai usaha memperluaskan peranan pengajar ETA dan ibu-ibu juga perlu menguasai bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka berintraksi dengan anak-anak mereka di rumah.
Dengan hasrat untuk perlaksanaan di peringkat negara, bermakna Terengganu yang merintisi program ini menjadi pendorong kepada idea yang baik ini dan diiktiraf.
TEGANUKITA