Cocos nucifera L.
Kelapa Matag - Isinya yang tebal dan banyak santan, merupakan daya tarikan utama baka kelapa terbaru yang akan diperkenalkan kepada petani di negeri ini untuk diusahakan secara komersial.
Kelapa tersebut dikatakan mampu mengeluarkan buah sehingga 40,000 biji bagi tanah seluas satu hektar yang boleh memuatkan 170 pokok.
“Kawasan seluas 250 hektar di daerah Setiu sudah dikenal pasti sebagai perintis bagi tanaman berkenaan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Ashaari Idris.
Beliau berkata, kelapa Matag merupakan baka baru kelapa hibrid yang dikacuk hasil pendebungaan silang antara kelapa rendah Malaya dan kelapa Tagnanan dari Filipina dan pelaksanaan projek akan menggunakan peruntukan RM25.76 juta yang disediakan kerajaan negeri dalam Bajet 2011 bagi sektor pertanian.
Tambah beliau, baka ini dipilih kerana mampu mengeluarkan hasil tinggi, produktif dan berdaya tahan dan dijangka dapat memberi pulangan lumayan kepada petani.
“Baka ini mempunyai ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang cepat dan tidak cerewet untuk dijaga serta pelbagai guna seperti pengeluaran santan, air kelapa muda dan kelapa kering untuk minyak,” katanya.
Kelapa Matag boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas berada di tapak pertanian dan setiap tandan mampu menghasilkan 15 biji pada peringkat awal berbuah dengan jangka hayatnya antara 25 hingga 30 tahun.
TEGANUKITA