Halaman

24 February 2011

Monumen ke-22 TTI Siap Jun Ini

Oleh: Aida Abd Rahman


Monumen kincir air umat Islam zaman lampau di Syria yang menggunakan Teori Al-Jazari.

Masjid Sultan, Singapura merupakan monumen ke-22 yang sedang dibangunkan di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu yang dijangka siap pada Jun ini.

Pembinaan monumen berkenaan termasuk dalam pembangunan fasa kedua dengan peruntukan keseluruhan kira-kira RM6 juta itu sebagai menghargai permintaan ramai pengunjung dari Singapura yang mahu supaya ada mercu tanda daripada negara mereka turut diabadikan sebagai antara monumen di pusat pelancongan terkenal itu.
Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman, berkata Masjid Sultan yang dibina pada skala 1:7 berbanding rekabentuk asal bangunan itu sebagai menghargai sokongan pengunjung negara itu yang mencatat pengunjung paling ramai ke TTI di kalangan negara Asean.

Katanya, selain Masjid Sultan, monumen Masjidil Haram turut menjalani kerja pengubasuaian yang mana teater sedia ada bakal dinaik taraf kepada 3D yang dikenali sebagai virtual Hajj.

“Apabila siapnya teater baru itu, orang ramai pastinya akan dapat merasai suasana dan pengalaman jemaah haji dengan lebih menarik dan terperinci,” katanya kepada teganukita, baru-baru ini.

Engku Md Azmi berkata, fasa kedua itu juga turut melibatkan pembinaan kincir angin yang merujuk kepada kincir air umat Islam zaman lampau di Syria yang menggunakan Teori Al-Jazari.

Katanya, kincir yang berukuran diameter sembilan meter yang turut digunakan untuk sistem pengaliran ke tasik di TTI itu adalah suatu inovasi Islam silam yang mahu diketengahkan semula untuk pengetahuan dan tontonan seluruh pengunjung TTI tidak lama lagi.

Beliau berkata, dengan siapnya kesemua pembangunan itu kelak, pihaknya mengharapkan supaya mampu menarik jumlah pengunjung lebih ramai ke TTI bagi menyaksikan monumen dan seni bina Islam di dalam satu taman yang diselenggara dengan baik oleh pihak pengurusan TTI.

TTI yang dibangunkan di kawasan seluas 23 hektar ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.

Kompleks ini menempatkan 21 replika monument dan tugu sedia ada yang dibangunkan sejak 2008 berkaitan sejarah Islam dunia termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Selain itu, Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.



TEGANUKITA