Halaman

24 February 2011

Ibu tunggal disaran tidak mudah putus asa.

Oleh: Suriati Ali

Ibu tunggal sama ada kematian suami atau bercerai diingatkan supaya tidak mudah berputus asa menempuh hari mendatang, sebaliknya perlu kuat semangat dan tabah menghadapi dugaan.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata pihaknya menyediakan pelbagai program bagi membantu golongan itu kembali hidup cerdas seperti sedia kala sekaligus dapat membesarkan anak dengan sempurna.

Antaranya menganjurkan kursus kemahiran internet dan pembangunan e-Perniagaan yang diselia khas oleh beberapa pegawai di bawah Program Bengkel Latihan Jendela Industri Kecil dan Sederhana.

Katanya, program ini diadakan untuk membantu Ibu tunggal mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan masing-masing melalui penggunaan teknologi maklumat selain memberi pendedahan berkaitan laman sesawang.

“Secara tidak langsung mereka dapat mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang disediakan ke serata dunia,” katanya.

Sementara itu, Encik Shafaruddin turut memberitahu program pasca perkahwinan turut diwujudkan YPKT semata-mata bertujuan memulih kembali hubungan intim pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin dan mengatasi masalah penceraian.

Katanya, daripada jumlah 10,500 pasangan yang berkahwin pada tahun lalu, sebanyak 10 peratus pasangan telah melalui proses penceraian.

"Bila kita anjurkan program ini, pasti ramai menyangka mereka yang mengikuti program ini adalah pasangan bermasalah tetapi mereka tersilap kerana peserta yang dipilih ini bertuah kerana berpeluang menghabiskan masa bersama dengan pasangan masing-masing tanpa dikenakan sebarang bayaran.

"Kita berharap melalui penganjuran program ini dapat meningkatkan keutuhan sesebuah institusi kekeluargaan di saat pasangan suami isteri telah sampai tempoh terasa hambar dan tidak lagi menarik seperti seawal perkahwinan dulu,” katanya.

TEGANUKITA