Halaman

20 February 2011

Program LMNT dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali


Haji Mohd Yusof Abdullah

Pendekatan pihak pengurusan Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menganjurkan pelbagai program tahunan nyata memberi impak positif apabila mendapat peningkatan bilangan pengunjung pada setiap tahun.

Pada tahun 2009, seramai 119,796 pelawat dicatatkan, jumlah itu meningkat sebanyak 69 peratus di tahun seterusnya dengan menjadikan jumlah 202,593 pengunjung.

Pengarah (LMNT), Haji Mohd Yusof Abdullah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung, ini membuktikan program yang dirancang mendapat sambutan pelbagai golongan dan usia.

Katanya, pameran haiwan berbisa yang dianjurkan selama dua bulan dan berakhir 31 Disember tahun lalu, mencatatkan bilangan pengunjung paling tinggi berbanding program lain iaitu seramai 89,785 pelawat.

“Di atas pemintaan pengunjung terutama peminat haiwan, program seumpama itu akan terus dianjurkan.

“Setiap program yang dianjurkan tidak semestinya di muzium, malah dianjurkan di serata tempat, termasuk di Kampung Petai Bubus dengan aktiviti perahu panjang dan Kampung Padang Hangus, Kuala Terengganu pula membabitkan program pelita raya,” katanya.

Menurutnya, pendekatan ini nyata menaikkan imej muzium yang sinonim dengan adat, budaya, khazanah, bahan sejarah dan alatan tradisional.

TEGANUKITA