Halaman

26 February 2011

MB Terengganu turut iringi calon DUN Kerdau



Oleh: Ruslan Abdul Rahman

PRK Kerdau: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu adalah di antara pimpinan Umno/BN yang bersama-sama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob mengiringi calon Barisan Nasional (BN) DUN Kerdau, Temerloh Pahang.

Perarakan bermula dari Dewan Tun Abdul Razak menuju ke Dewan Majlis Perbandaran Temerloh tempat penamaan calon dilangsungkan. Penamaan calon bermula jam 9.00 pagi ini dan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad bersama penyokong yang diketuai oleh Timbalan Presiden Umno/BN itu tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi.

Dato' Seri Ahmad yakin bahawa calon BN, Syed Ibrahim yang mempunyai latarbelakang pendidikan, pergaulan dan pengalaman kerja kerajaan dan parti mampu untuk memberi kemenangan cemerlang kepada BN di PRK Dun Kerdau itu.

PRK diadakan berikutan kematian Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim, Adun BN Kerdau sebelum ini.

Pas mengumumkan calon mereka ialah Hassanuddin Salim yang dianggap oleh orang ramai kurang popular, berbanding calon BN.

Umno Terengganu menghantar jentera penerangan diketuai YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman yang akan membongkar kelemahan,penyelewengan dan kezaliman Pas semasa memerintah Terengganu 1999-2004 sehingga akhirnya ditolak rakyat Terengganu.

Haji Ahmad Razif berkata, beberapa penceramah Umno Terengganu akan mula berceramah malam ini (26 Februari), termasuk Haji Shamsuddin Sulong (Pengarah Unit Komunikasi Terengganu).

Selain itu Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri dari Terengganu juga dihantar bagi sama-sama mempastikan kejayaan calon BN di Kerdau.


TEGANUKITA