Halaman

20 February 2011

Vanila Tumbuh Meliar Tanaman Berpotensi Tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan menjalankan kajian terperinci mengenai pokok vanila yang tumbuh meliar di beberapa kawasan di negeri ini yang dikenalpasti sebagai tanaman yang berpotensi tinggi dan mampu memberi pulangan lumayan kepada petani.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pasaran tanaman itu yang mahal dan mencecah sehingga beratus ringgit per kilo selain terdapat permintaan daripada pelabur yang mendorong kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu bagi melihat perkara itu dengan lebih mendalam.

Katanya, selepas kajian dijalankan dan terbukti ia mampu memberi pulangan lumayan, kerajaan negeri akan menimbang untuk mengkomersialkan tanaman itu sebagai sumber pertanian yang baru di negeri ini.

“Saya arahkan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani supaya melihat (pokok vanila) dan kita ada vanila yang hidup meliar di Terengganu serta sudah banyak ditebang oleh orang ramai kerana mereka tidak mengenali pokok berkenaan. Jika pokok itu ada potensi kita akan tanam,” katanya ketika sidang media, di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, tanaman kenaf yang pernah dikomersialkan kerajaan negeri dan memiliki potensi besar di pasaran sebelum ini didapati hanya menguntungkan pengilang kerana mereka boleh menghasilkan pelbagai produk dengan meletakkan harga mengikut pasaran semasa.

Menteri Besar berkata, pengusaha kenaf tidak mendapat untung berikutan pokoknya yang terlalu ringan dan menunggu tempoh masa yang lama sehingga tujuh bulan baru mendapat hasil. Malah, 0.4 hektar ladang hanya menghasilkan dua tan pokok kenaf.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, vanila yang merupakan tanaman baru di negara kita dilihat jauh berpotensi daripada kenaf khususnya kenaf yang sama spesies seperti di Mexico.

“Ada pelabur berminat dan kita minta buat ujian terlebih dahulu di kawasan seluas 20 hektar. Mereka (pelabur) mahu kawasan yang luas, tetapi Terengganu tidak mempunyai kawasan yang luas, kecuali dengan menjalankan secara berasingan yang mana 40 hektar di sana, 40 hektar di sini,” katanya.



TEGANUKITA