Halaman

22 February 2011

22 sekolah lulus 100 peratus

Oleh: Suriati Ali

Sebanyak 22 sekolah daripada 52 buah sekolah menengah yang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2010 di Terengganu mempamerkan kecemerlangan membanggakan apabila lulus 100 peratus dalam peperiksaan itu.


Pelajar SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu dengan keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM yang diumumkan semalam.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud berkata, jumlah itu meningkat hampir separuh di mana tahun lepas, hanya 13 sekolah sahaja berada dalam senarai lulus 100 peratus.

“Berdasarkan senarai, setiap daerah mencatatkan dua atau tiga sekolah cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) lebih atau sama dengan sasaran 2.67,” katanya.

Antara sekolah itu adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah, Kemaman memperoleh PNGK sebanyak 2.91; SMK Bukit Payong, Besut (2.87); SMK Tengku Bariah, Kuala Terengganu (2.85); SMK Cheneh Baru, Kemaman (2.83); SMK Nurul Ittifaq, Besut (2.80) dan SMK Durian Guling, Marang memperoleh 2.78.

Manakala SMK Padang Midin mencatatkan 2.70; SMK Nasiruddin Shah, Besut (2.70); SMK Chalok, Setiu 2.70); SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (2.68) dan SMK Tengku Lele Segara, Marang berjaya memperoleh 2.67.

JPNT turut mengharapkan peningkatan yang membanggakan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diumumkan pada pertengahan bulan Mac ini.

Sebelum ini ketiga-tiga peperiksaan umum iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah(PMR) dan termasuk STPM yang diumumkan, semalam (21 Februari), masing-masing menunjukkan peningkatan membanggakan.

TEGANUKITA