Veteran Umno, Haji Abdul Manan dan Haji Nik Ghazali Ismail.
“Saya akan terus berjuang untuk parti Barisan Nasional (BN) dan Umno kerana hanya parti ini yang boleh menyelamatkan agama, bangsa dan negara,” kata Haji Abdul Manan Yusof, 81, dari Kampung Ladang Sahak, ketika ditemui Teganukita, sempena majlis Mesra Veteran Bersama Pemimpin, Jasamu Dikenang, anjuran Umno Bahagian Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Penerima anugerah Tokoh Veteran Umno Bahagian Kuala Terengganu yang pertama kali menerima anugerah seumpama itu amat terharu kerana perjuangan sejatinya dalam memastikan parti Umno dan BN terus relevan di kalangan rakyat, akhirnya diiktiraf pemimpin dan ahli parti berkenaan.
Katanya, sebagai bekas guru, beliau berasa asas perjuangannya dalam karier guru dan parti bergerak seiring dalam memastikan anak bangsa mendapat ilmu serta mampu mencorak kehidupan mengikut landasan agama dengan meletakkan kepentingan negara pada kedudukan yang betul.
“Semangat dan perjuangan dalam parti lahir hasil kesedaran sendiri sebaik bergelar guru sejak lebih 60 tahun lalu dan ia masih bersemadi serta diteruskan sehingga kini. Walaupun kudrat kian terbatas, saya akan terus membantu dan memberi sumbangan setakat yang termampu supaya anak muda hari ini mendapat manfaat daripada asas penubuhan parti ini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, Haji Nik Ghazali Ismail, 74, dari Losong Panglima Perang pula menyifatkan setiap tindak-tanduk dan usaha keras dalam parti bukanlah mengharapkan balasan mahupun pengiktirafan sesiapa.
Katanya, perjuangannya tulennya hanyalah semara-mata kerana sayangkan parti keramat itu yang sudah banyak memberi kebaikan kepada bangsa dan agama. Malah, beliau tidak sanggup melihat anak bangsa disogokkan dengan dakyah yang tidak betul daripada parti lain yang ternyata sengaja mencari kelemahan parti Umno dan BN.
Seramai 20 veteran Umno mendapat anugerah yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melibatkan empat AJK veteran dari setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih bagi AJK Veteran Umno Bahagian, sementara tiga hingga lima lagi veteran Umno terpilih bagi setiap Dun.
Sembilan ahli veteran menerima bantuan kerusi roda, masing-masing tiga penerima dari Dun Wakaf mempelam, tiga penerima (Bandar), dua penerima (Batu Buruk) dan dua penerima dari Dun Ladang.
Pengerusi Veteran Umno Perhubungan Negeri Terengganu, Dato’ Yahya Hashim, dalam ucapannya pula mahu supaya selepas program veteran bersama pemimpin, semua pemimpin dan ahli daripada semua sayapparti tanpa mengira pangkat dan generasi mampu bergerak bersama sebagai satu angkatan Umno yang lebih kuat.
Katanya, walaupun kudrat ahli veteran sudah semakin terbatas, namun pengalaman yang banyak mengenai parti termasuk berkaitan dengan bekas wakil rakyat dan wakil calon boleh membantu mengatasi masalah dalam parti.
“Golongan veteran merupakan satu tenaga yang amat penting untuk mempengaruhi orang ramai memberi undi kepada BN berdasarkan pengalaman yang kami ada. Kami ada anak, menantu dan cucu, yang mana sekurang-kurangnya tiga hingga empat orang daripada meraka dapat mengundi, itu sudah banyak memberi kesan kepada parti.
“Kalau boleh janganlah ditinggalkan golongan veteran dan hanya mendiamkan diri seperti kami tidak memberi apa-apa faedah. Walhal kita perlu berjuang bersama-sama bagi memastikan Umno terus memerintah negeri dan negara ini khasnya,” katanya.
TEGANUKITA