Halaman

22 February 2011

LMNT temui 613 artifak

Oleh: Suriati Ali


Pelbagai jenis khazanah dan artifak hasil daripada kerja cari gali di Gua Bewah, Tasik Kenyir.

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) telah menemui 613 pelbagai jenis khazanah dan artifak hasil daripada kerja-kerja cari gali di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu sejak tahun 2009 sehingga tahun lepas.

Pegawai Perhubungan dan Pemasaran LMNT, Mohd Saberi Muda berkata dalam tempoh sama, artifak paling berharga turut ditemui iaitu satu rangka manusia yang dipercayai berusia 11,000 tahun.

Katanya, rangka tersebut dipercayai mayat seorang remaja yang telah menghuni gua itu ketika zaman pra sejarah.

“Ketika menemui rangka yang ditanam itu, ia berada dalam keadaan merengkok seakan-akan seperti bayi berada alam kandungan ibu.

“Khazanah yang masih berada di gua berkenaan kini dipantau pihak berkaitan bagi mengelak kecurian oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Menurutnya, ketika kerja-kerja mencari gali rangka manusia, artifak lain turut dijumpai, antaranya tulang, alat-alat batu, siput sungai dan arang.

“Sehingga kini , LMNT mempunyai 10,694 bahan-bahan seperti alat-alat perusahaan, senjata, alat perang, manuskrip, kitab-kitab, alat bunyian dan duit syiling,” katanya.

TEGANUKITA