Halaman

23 April 2011

Rumah mampu milik fasa dua Pulau Duyong siap tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman

Penduduk sekitar Pulau Duyong terus menikmati kemudahan perumahan lebih baik dan selesa apabila 176 unit rumah pangsa mampu milik yang sedang dalam pembinaan, dijangka siap tahun depan.

Kemudahan itu yang dilaksanakan Perbadanan Memajukan Iktiisad Negeri Terengganu (PMINT) merupakan projek kedua selepas projek pertama mengandungi 120 unit kediaman sudah didiami penghuni kawasan itu sejak lima tahun lalu.
Projek yang berterusan dan dilaksanakan secara terancang itu membuktikan kerajaan negeri mengambil berat terhadap keperluan tempat tinggal penduduk Pulau Duyong dan seluruh Terengganu.

Terbaru, 11 blok baru setinggi empat tingkat dengan setiap blok sebanyak 16 unit, mula dibina tahun lalu dan dijangka dapat didiami pada 2012.

Pengurus Besar PMINT, Dato’ Zakaria Awang, berkata projek baru yang bernilai kira-kira RM24 juta, tidak termasuk nilai tanah itu sedikit berbeza reka bentuk berbanding pangsapuri mampu milik fasa pertama.

“PMINT mengekalkan struktur dalaman seperti tiga bilik tidur dan dua bilik air serta kemudahan perumahan yang lain. Malah spesifikasi pembinaan juga menepati kehendak dan sesuai untuk didiami mereka yang mementingkan keselesaan dan berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya.

Dato' Zakaria berkata, projek perumahan itu yang terbuka kepada penduduk Pulau Duyong serta penduduk kawasan lain khususnya mereka yang berpendapatan rendah, juga mempunyai binaan yang lebih luas berbanding rumah mampu milik lain yang dibangunkan PMINT di seluruh Terengganu.

Beliau berkata, kadar sewa bulanan yang bakal dikenakan belum ditetapkan, bagaimanapun ia pasti murah dan mampu dibayar penghuninya. Caj sewa bulanan pangsapuri sedia ada adalah RM186.50.




Kadar jenayah Terengganu turun

Oleh: Aida Abd Rahman

Kadar jenayah di Terengganu menurun 13.6 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Jamshah Mustapa, berkata dalam tempoh yang sama juga, kadar jenayah di semua daerah di negeri ini termasuk Kuala Terengganu juga menunjukkan penurunan.
Katanya, kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan masyarakat terutama dalam aspek menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah sedikit sebanyak membantu pihak polis menyelesai dan mengurangkan kadar jenayah di seluruh Terengganu.

“Penganjuran program bersama masyarakat selain penguatkuasaan yang berterusan seperti Operasi Samseng Jalanan juga mempengaruhi pengurangan jenayah di negeri ini,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan April 2011 di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Datuk Hamzah Mohd Jalil.

Datuk Jamshah juga mengharapkan semua warga PDRM dapat mempertingkatkan dan mengamalkan budaya murni termasuk mesra, proaktif, bekerjasama, berdisiplin dan berbudi bahasa semasa melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.



Serikandi jadi tuan rumah kejohanan sukan kebangsaan

Oleh: Esah Abdullah


Yang Dipertua Serikandi yang juga Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) akan menjadi tuan rumah kepada kejohanan sukan badminton serta boling Badan Amal Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Peringkat Kebangsaan pada 6 hingga 9 Julai depan.

Yang Dipertua Serkandi yang juga Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud berkata, tahun ini merupakan kali kedua Terengganu dipilih menjadi tuan rumah kejohnanan sukan tersebut, kali pertama pada tahun 1995 yang hanya melibatkan sukan badminton sahaja.


Katanya, Isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor adalah antara kira-kira 500 ahli yang mewakili 14 persatuan di negeri-negeri akan bertandang ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, dua lokasi yang akan dijadikan tempat kejohanan ialah di Stadium Negeri bagi acara badminton dan Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai bagi acara boling.

"Bagi memastikan kejohanan tersebut berjalan dengan lancar dan sempurna, persiapan telah mula dilaksanakan sejak awal tahun lagi,’’ katanya selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Serikandi kali ke 24 yang dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang di Dataran Marang, semalam (22 April).



Beliau yang akan menyertai acara badminton dalam kejohanan itu berkata, beberapa ahli Serikandi yang terlibat dengan kejohanan tersebut telah mengadakan latihan intensif bagi memastikan Serikandi selaku tuan rumah dapat menjuarai acara yang dipertandingkan.

Terdahulu ketika berucap di majlis itu Norliza berkata, Serikandi membelanjakan kira-kira RM70,000 bagi menyampaikan sumbangan kepada badan-badan kebajikan dan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Parlimen di seluruh negeri.



Katanya, ia merupakan satu aktiviti Serikandi dalam usaha mendekatkan ahli-ahli melalui program kebajikan ke arah melahirkan masyarakat penyayang.

“Sebagai sebuah pertubuhan yang disertai oleh isteri wakil-wakil rakyat ianya diharapkan akan menjadi pemangkin atau penghubung secara terus kepada rakyat,’’ katanya.

Beliau juga berharap, Serikandi dapat dijadikan sebagai contoh kepada pertubuhan wanita lain dalam sama-sama membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.

Di majlis itu, Dato’ Hajah Rogayah Sulong yang pernah menjadi johan qariah antarabangsa, kebangsaan dan negeri dalam Musabaqah al-Quran dianugerahkan Tokoh Berjasa. Hadiah disampaikan oleh Dato’ Tengku Putera.






Pemimpin BN berfikiran jauh – MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berfikiran jauh dan melaksanakan pelbagai projek dengan mengambilkira kepentingan serta keperluan masa depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata apabila Kerajaan BN mahu melaksanakan sesuatu projek di negeri ini mereka sanggup menghadapi pelbagai kritikan dan kencaman daripada pemimpin parti pembangkang yang sengaja ‘menutup mata’ mereka terhadap kebaikan yang bakal dilakukan BN.

Sebagai contoh, katanya, pembinaan Jambatan Bukit Kuang terpaksa dilewatkan kerana kerajaan negeri mahu reka bentuk jambatan lebih tinggi bagi membolehkannya dilalui oleh kapal besar di bawahnya, tidak seperti jambatan lain yang dibina agak rendah dan menghalang laluan kapal atau bot besar.

“Bila jambatan ini lambat dibina orang Pas ambil tanda tangan nak protes kepada kerajaan negeri. Inilah kerja orang Pas, mereka selalu mengambil kesempatan untuk menghentam pemimpin BN,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bukit Kuang, petang semalam.

Menteri Besar berkata, pembinaan jambatan tersebut memakan belanja lebih tinggi hampir RM200 juta, tetapi ia akan menjadi mercu tanda Bandar Kemaman dan daya tarikan pelancong apabila siap nanti.

“Sungai kita pula cantik dan pembinaan jambatan yang tinggi seperti ini kita boleh mengadakan perkhidmatan ‘river cruise’ untuk tarikan pelancong,” ujar beliau.

Beliau berkata, hal-hal seperti ini tidak disedari pemimpin parti pembangkang yang berfikiran cetek, tetapi mereka tidak pernah mahu mengakui pandangan jauh pemimpin BN kerana kepentingan politik mereka.



22 April 2011

Semua ADUN Umno ikrar sokong Dato' Seri Ahmad- YB Alias


YB Alias Abdullah sewaktu menyampaikan ucapan berkaitan

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Alor Limbat, YB Alias Abdullah berkata, Umno Terengganu sudah pulih dan semua wakil-wakil rakyat berdiri teguh menyokong YAB Dato' Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.

Dato' Seri Ahmad adalah seorang pemimpin yang mempunyai 'supremo'dan supremo itu telah diberikan oleh Presiden parti yang perlu semua kita akur dan sokong, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program retreat Umno Bahagian Marang petang tadi (22 April).


Beliau yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang berkata, musuh kita yang sebenar ialah bukan sesama kita dalam Umno, tetapi musuh kita yang sebenar ialah lawan kita yakni pembangkang.

"Sebenarnya musuh tidak kuat, yang membuat kita tewas ialah bila kita tidak bersatu, kalau kita tidak bersatu,kita masuk gelanggang sebagai calon, kita masuk dalam keadaan kepala berdarah dan sudah lemah kerana bergaduh sesama sendiri, maka sukarlah untuk menang berdepan lawan sebenar" kata Alias dalam anologinya.

Beliau mengucap terima kasih kepada Dato' Sri Mohd Najib kerana memberi supremo kepada kepimpinan Umno Terengganu dengan melantik Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu.




Ahmad Maslan puji Umno Terengganu yang kreatif

Ketua Penerangan Umno Malaysia, YB Dato' Haji Ahmad bin Haji Maslan memuji langkah Umno Terengganu di bawah pimpinan Dato' Seri Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang membuat pemantauan dan persiapan untuk menawan semula kawasan yang berada di bawah pembangkang.


Sebahagian dari peserta Retreat DUN Bukit Payong dan Rhu Rendang

Katanya, Umno di negeri lain belum berbuat demikian dan Terengganulah satu-satunya yang kreatif dan bersungguh-sungguh membuat program pemantauan dan 'retreat' bagi berbincang dan merancang untuk kemenangan.


Beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berkata demikian kepada media dan juga sewaktu berucap di perasmian Retreat Umno Marang, di Kuala Terengganu petang tadi (22 April).

Beliau yakin dan percaya, kawasan-kawasan itu boleh menang jika usaha dijalankan dengan bersungguh-sungguh oleh jentera parti dan perpaduan diutamakan.

"Dato' Rahman Bakar dan Dato' Awang Jabar pernah mengalah Presiden Pas, tidak mustahil kalau kita berusaha dan berpadu, kemenangan boleh berulang," katanya.

Pemimpin dan bekas pemimpin Umno Bahagian Marang hadir, termasuk Dato' Muda Mamat, Dato' Dr.Latif Awang, Yusof Musa dan ramai lagi.

Oleh: Ruslan Rahman


SK Bukit Kuang dipilih laksana kelas maya keempat

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Makmal Komputer SK Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu.

Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuang, Kemaman, telah dipilih sebagai sekolah keempat di negeri ini melaksanakan kelas maya, bagi menggalakkan pelajar menggunakan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT).

Bagi tujuan itu, pelbagai peralatan ICT akan mula dipasang di sekolah berkenaan dalam masa terdekat ini di mana selepas ini para pelajarnya berpeluang belajar secara ‘on-line’ dengan guru-guru mereka.

Sebelum ini, tiga sekolah di negeri ini dipilih melaksanakan kelas maya iaitu SK Paya Bunga (Kuala Terengganu) dan SK Kompleks Seberang Takir (Kuala Terengganu) dan SK Telok Kalong (Kemaman).

“Kita akan melaksanakan kelas maya di SK Bukit Kuang ini dalam tempoh tiga bulan lagi,” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika berucap merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Kuang, petang ini.

SK Bukit Kuang merupakan sekolah kedua di daerah Kemaman melaksanakan kelas maya dan keempat di negeri Terengganu.

Kelas Maya yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak awal tahun ini telah mendapat perhatian banyak negara yang berminat melaksanakannya di negara mereka.

“Terbaru Arab Saudi turut berminat untuk melawat negeri ini bagi melihat sendiri pelaksanaan kelas maya,” katanya.



Umno masih buka pintu kepada Pas- Ahmad Maslan


YB Hj.Ahmad bin Maslan bersama pimpinan tempatan di Retreat Umno Marang.


Oleh: Ruslan Abdul Rahman
Ketua Penerangan Umno, Dato' Haji Ahmad bin Haji Maslan berkata, Umno masih lagi membuka pintu rundingan kepada Pas jika mahu melihat perpaduan orang-orang Melayu dan Islam.

Mana-mana bangsa sekalipun, katanya tidak salah bersatu untuk kebaikan, bangsa Cina pun bersatu sesama mereka untuk kebaikan bangsa mereka, apa bangsa sekalipun boleh bersatu untuk kebaikan.

Beliau berkata demikian kepada media, sebelum merasmikan Retreat kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang dan Bukit Payong, Parlimen Marang, di Kuala Terengganu petang ini (22 April).

Hadir sama, Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Tengku Putera Awang yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu dan Ketua Penerangan YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.

YB Haji Ahmad berkata, Pas pernah bersama Umno dalam Barisan Nasional (BN) di zaman Allahyarham Tun Abdul Razak, kini di zaman anakandanya pula Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri.


YB Haji Ahmad bin Hj Maslan sewaktu mengadakan sidang media bersama YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengerusi Pemantau Dato' Hj Awang Jabar.

Beliau mengulas pertanyaan wartawan akhbar Sinar Harian yang menyebut Setiausaha Agung Pas, Dato' Mustaffa Ali sebagai berkata, Pas sedia kaji balik kedudukannya dalam pakatan PKR dan Dap.

Kebelakangan ini isu video seks yang dikatakan membabitkan orang kanan parti pembangkang telah menimbulkan pelbagai spekulasi tentang pakatan itu.

Mengulas perkara lain, YB Haji Ahmad berkata, untuk berdepan dengan pilihanraya akan datang Umno dan BN memerlukan calon CBMYT (Calon Boleh Menang Yang Terbaik).

Walau bagaimanapun katanya, ahli dan penyokong Umno dan BN perlu ingat matlamat mestilah jelas untuk menang, jentera mesti kuat dan kukuh, perpaduan mesti diutamakan dan calon mestilah yang terbaik untuk boleh menang.


Budaya celit IT

Oleh: Esah Abdullah

Pemimpin masyarakat dan penduduk kampung diminta merebut peluang yang ada untuk mendalami pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat (IT) yang kini menjadi sebahagian dari keperluan hidup khususnya ketika berurusan dengan jabatan atau institusi kewangan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, banyak kelebihan yang akan diperolehi jika seseorang sentiasa berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri dan belajar komputer juga satu daripada cabang ilmu.


“Saya berharap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat menggunakan kemudahan ini dengan mengadakan kursus komputer kepada penduduk dan carilah guru untuk mengendalikan kursus tersebut,” katanya, di majlis Penyerahan Komputer Riba di Pejabat JKKK Bukit Wan baru-baru ini.

Kelab Remaja Islam Malaysia (Krim) Network telah menyumbangkan empat unit komputer riba dan satu LCD/projector kepada masyarakat Kampung Bukit Wan, Batu Rakit dan kos keseluruhannya dianggarkan RM10,000.

Hadir sama Pengerusi JKKK Bukit Wan, Haji Chek Harun Ismail; Setiausaha Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Encik Ambak Ismail dan Wakil Krim, Encik Mohd Hamizul.

Katanya, dengan adanya kemudahan ICT ini terutama LCD/projector, jawatankuasa masjid boleh menggunakannya untuk menyiarkan Khutbah Multimedia bagi tatapan jemaah masjid setiap hari Jumaat.

“Saya harap masyarakat di sini dapat memaksimunkan penggunaan kemudahaan yang ada ini terutama pelajar sekolah, pemimpin organisasi dan juga orang ramai yang berminat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit.

YB Haji Khazan kemudiannya mengalu-alukan usaha Krim menyumbang komputer untuk kegunaan orang ramai dan berharap budaya celik IT ini dapat diserapkan kedalam masyarakat kampung.








Program bakti remaja dapat RM29 juta

Oleh: Esah Abdullah

Kira-kira RM29 juta diperuntukan di bawah program Bakti Remaja yang membabitkan 100,000 belia berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun yang belum berkahwin di seluruh negeri tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat berkata, tahun lalu kerajaan memperuntukan RM25 juta untuk program yang mula diperkenalkan pada 2001dan setiap tahun pertambahan belia dianggarkan 10 peratus.

Katanya, mulai tahun ini kerajaan akan memberi beberapa pendekatan baru terutama modul kursus program berkenaan di samping mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan.

“Biro Tata Negara (BTN), Jabatan Belia dan Sukan serta Majlis Sukan negeri Terengganu (MBNT) akan bekerjasama melaksanakan program Bakti Remaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara di Kuala Ibai, Kuala Terengganu semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Encik Abd Aziz Abd Rahman dan Pengerusi MBNT, Encik Mat Yusof Mat Ali.

Katanya, beberapa modul baru yang akan diperkenalkan adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan generasi belia cemerlang, dinamik dan progresif.

“Mulai tahun ini juga kerajaan akan member peruntukan kewangan untuk pentadbiran kepada semua pertubuhan belia yang berdaftar dengan Pertubuhan Pendaftaran Belia (ROY),” katanya.

YB Rozi berkata, jumlah sebenar yang akan diagihkan kepada pertubuhan belia belum diputuskan kerana bergantung kepada peruntukan yang akan diluluskan.

“Sehingga ini terdapat 513 pertubuhan belia yang berdaftar dengan ROY dan 200 buah pertubuhan lagi masih menunggu proses kelulusan,” katanya.