Halaman

02 May 2011

Kekosongan jawatan di jabatan kerajaan diisi segera

Oleh: Esah Abdullah



Kerajaan negeri akan menyegerakan mengisi kekosongan jawatan yang terdapat di semua pejabat Daerah dan Tanah seluruh negeri selewat-lewatnya pada Jun tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, semua kekosongan yang terdapat di jabatan-jabatan kerajaan negeri sudah dikenalpasti dan akan diambil perjalanan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN).

“Kekosongan jawatan Pegawai Tadbir Negeri sudah berada diperingkat akhir untuk mengeluarkan surat tawaran kepada mereka yang berjaya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pejabat Daerah Setiu, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Setiu, Haji Mohamad Nor Ibrahim; Pegawai MPC, Encik Mohd Yazid Abdul Majid dan Ketua Penolong Pentadbir Tanah, Encik Marzuki Endut.

Katanya, di Pejabat Daerah dan Tanah Setiu sendiri terdapat 28 kekosongan pelbagai jawatan dan dijangka dapat diisi tahun ini juga.

Katanya, iklan kekosongan bagi jawatan Pegawai Tadbir Agama Negeri bagi gred S41 dan ke atas juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat ini bagi mengisi kekosongan yang begitu ketara di Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

“Saya haraf pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri mengambil perjalanan terhadap perkara berkaitan dan kekosongan tersebut dapat dibuat dengan kadar yang segera,” katanya.

Kerajaan juga akan membuat pengambilan kakitangan di bawah gred kumpulan sokongan dan buruh secara tetap selaras dengan hasrat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk memasukkan kakitangan baru tujuan ganti mereka yang tamat tempoh (pencen) atau tambah kekurangan anggota.

Berkait dengan persijilan 5S, Dato’ Mazlan berkata kebanyakan jabatan kerajaan telah selesai melaksanakan 5S, tetapi tempoh menunggu untuk mendapatkan pengesahan mengambil masa sedikit kerana ia dinilai oleh MPC.





MB lulus RM2.5 juta untuk prasarana Hulu Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Sistem perparitan di Hulu Terengganu akan dipertingkatkan.

Kerajaan negeri meluluskan peruntukan hampir RM2.5 juta bagi projek pembangunan prasarana di daerah Hulu Terengganu, tahun ini.

Daripada jumlah itu, peruntukan RM500,000 diagihkan kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membiayai projek pembinaan jalan-jalan baru, menurap jalan lama dan memperbesarkan jalan sedia ada.

Selain itu, peruntukan tambahan RM300,000 disediakan bagi kawasan DUN Kuala Berang untuk projek pembinaan jalan di Padang Setenga dan membina surau baru di Felda Bukit Bading (DUN Ajil) bernilai RM150,000.

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri juga sedia meluluskan projek pembinaan longkang di kawasan Kuala Ping, tetapi kosnya belum ditentukan lagi.

“Kita akan sediakan segala prasarana ini untuk kemudahan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di sekitar daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Turut mengiringi beliau ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Dato’ Rosol Wahid; Adun Kuala Berang, YB Mohd Zawawi Ismail; Adun Jabi, YB Haji Ramlan Ali dan Adun Kemasik, YB Ir Rosli Othman dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim.

Selain itu, Menteri Besar berkata, projek pembinaan stesen bas baru Bandar Kuala Berang akan dikeluarkan tidak lama lagi bagi membolehkan ia dibina segera.


Umno mampu tawan semula kawasan pembangkang

Oleh: Kamarudin bin Mat Akib


Dato' Sri Najib diiringi Dato' Haji Ahmad Said dan pemimpin Umno melawat pasar pekan Batu Enam.

Umno Terengganu yakin berdasarkan sambutan luar biasa penduduk tempatan khususnya di kawasan pembangkang menyambut kedatangan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, beberapa kawasan yang kini dikuasai pembangkang dapat ditawan semula pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Manir dan Bukit Tunggal menunjukkan sokongan luar biasa terhadap program yang dianjurkan kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN), termasuk bagi menyambut Perdana Menteri, Sabtu lalu.

“Kita akan buat susulan di kawasan tersebut bagi meningkatkan sokongan rakyat terhadap BN dan Umno,” katanya pada sidang media di Kuala Berang, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan sambutan luar biasa penduduk di kawasan pembangkang itu, bukan setakat Manir dan Bukit Tunggal, tetapi beberapa DUN lain seperti Ladang, Sura dan Bukit Payong.

“BN boleh menang di kawasan berkenaan kerana sebelum ini kita pernah menang. Ia bergantung kepada isu dan calon yang dipilih untuk bertanding di kawasan berkenaan,” tambahnya.



Sedia RM250 juta bagi bina jalan baru dan jambatan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri memperuntukkan RM250 juta bagi membina jalan dan jambatan di Kampung Jeram, Tepoh, dalam usaha memberi kemudahan kepada orang ramai berulang alik ke bandar Kuala Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata projek yang sedang giat dijalankan itu dijangka siap akhir 2012 dan penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah akan dipindahkan ke kawasan baru.

“Kita sudah mengenal pasti kawasan seluas 5.6 hektar bagi menempatkan 60 keluarga yang terlibat dan mereka akan dikekalkan dalam satu kawasan.

“Pihak kami akan memikirkan cara terbaik bagi membina rumah penduduk yang kurang berkemampuan dan mungkin rumah mampu milik menjadi pilihan, manakala mereka yang berduit sudah boleh membina rumah baru kerana kawasan itu kini sedang giat diratakan,” katanya.

Menurutnya, pelbagai bantuan disediakan kerajaan negeri bagi memastikan keselesaan rakyat, termasuk membina rumah baru, mengantikan atap, membina jambatan, kemudahan pendidikan dan sebagainya.

“Setiap tahun sebanyak 40 rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di bina di kawasan Tepoh dan sehingga kini, lebih 300 unit rumah itu telah didirikan.

“Kita juga mendapat kerjasama Affin Bank bagi membina 40 unit rumah di Kampung Padang Nenas dengan keluasan 3.2 hektar dan membabitkan kos RM1.8 juta,” katanya.
Katanya, projek itu kini berada di peringkat akhir dan dijangka boleh didiami penduduk penghujung Jun depan.

“Selain kemudahan tempat tinggal, kita juga mengambil berat dan prihatin terhadap keperluan belia, terutama dari segi kemudahan riadah bertujuan mengelak mereka terjebak dengan budaya tidak sihat,” katanya.




Maidam buka kaunter perkhidmatan zakat

Oleh: Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengambil pendekatan membuka kaunter perkhidmatan zakat bertujuan mendedahkan maklumat berkaitan kepada orang ramai terutama peniaga di Pasar Tani Jerteh dan Tapak Pasar Malam Kuala Besut, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman, berkata program diadakan bertujuan memberi penerangan kepada orang ramai berkaitan kewajipan membayar zakat dengan mensasarkan peniaga dan penduduk tempatan yang berkunjung ke pasar itu.

“Selain itu, pihak kami turut mengambil kesempatan menghebahkan perkhidmatan lain yang ditawarkan Maidam termasuk pengurusan wakaf, program pendidikan, pengurusan agihan wang zakat, khidmat nasihat tentang gadaian Islam dan sebagainya,” katanya

“Umat Islam disarankan memanfaatkan program ini sebaik mungkin dan bayarlah zakat kerana ianya merupakan ibadah dalam kehidupan seharian,” katanya.

Di samping itu Maidam berusaha menambah baik sistem penyampaian yang sedia ada supaya orang ramai mendapat manfaat secara berkesan




Pemimpin Umno, komponen BN terima anugerah khas

Oleh: Aida Abd Rahman


Ketibaan YAB Perdana Menteri di Taman Syahbandar disambut pemimpin Umno dan parti komponen BN.

Seramai 45 pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional seluruh Terengganu mendapat anugerah khas sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan mereka dalam memartabatkan parti itu demi kepentingan bangsa dan negara.

Anugerah khas yang terbahagi kepada empat kategori utama, iaitu Tokoh Pemimpin Akar Umbi paling Lama Berjawatan, Kepimpinan Paling Ramai Keahlian, Tokoh Kepimpinan Paling Muda dan Tokoh Pemimpin Wanita Paling Lama Berjawatan.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyampaikan anugerah berkenaan sempena lawatan sehari beliau ke negeri ini, di Majlis Jamuan Rakyat di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Beliau diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Antara penerima anugerah Tokoh Pemimpin Akar Umbi Paling Lama Berjawatan adalah Tuan Haji Tengku Jusoh Muda (Bahagian Besut), Mohamad Abdullah (Setiu), Syed Ahmad Hussein (Kuala Terengganu), Haji Mohd Ali Tahar (Marang), Haji Ahmad Salleh (Hulu Terengganu), Haji Salleh Ahmad (Dungun), Jahaya @ Yahya Abdul rahman (Kemaman), Tan Song Huat (MCA), Lam Hong Guan (Gerakan) dan Dr Dayal Krishnan (MIC).

Kepimpinan Paling Ramai Keahlian pula termasuk Lali Ismail (Bahagian Besut), Haji Mustafa Abdullah (Setiu), Haji Abdul Rahman Mohd (Kuala Nerus), Seman Salleh (Kuala Terengganu), Mohd Khan Abd Rahman (Marang), Alias Mat Hassan (Hulu Terengganu), Abdul Razet Noordin (Dungun), Dato’ A Bakar Ali (Kemaman), Teo Nyon Foy (MCA), Wong Chu Keong (Gerakan) dan Sivakumar A/L Sri Raman (MIC).

Manakala antara penreima bagi aktegori Tokoh kepimpinan Paling Muda adalah Nor Hamidi Daud (Besut), Aziz Yahya (setiu), Yusmazry Jusoh (Kuala Nerus) dan Mohd Arif Soffian Mustaffa (Kuala Terengganu).

Selain itu, Hajah Wan Dzaleha Nawang (Kuala Terengganu), Hajah Sipah Rahmaniah Syed Mohd (Kuala Nerus)Hajah Gayah Ismail (Hulu Terengganu), Hajah Selma Ali (Marang), Teo beng Lay (MCA), Wang Eng Eng (Gerakan) dan G Sergoonamalar (MIC) pula antara penerima Tokoh Pemimpin Wanita Paling lama Berjawatan.

Kesemua penerima anugerah menerima sijil, satu persalinan dan juga wang tunai RM1,000 setiap seorang.

Seramai 26,000 penduduk seluruh Terengganu membanjiri majlis itu sejak jam 7 petang lagi. Selain penyampaian anugerah khas, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis popular negara termasuk Nassier Wahab dan Misha Omar serta trio pelawak tanah air yang terdiri daripada Sathiya, Angeline Tan dan Cha cha yang membawa tema 1Malaysia.




PM MASUK KAMPUNG



KUALA NERUS 30 APRIL 2011 - Dato' Sri Mohd Najib berjalan kaki meninjau sekitar Kampung Pengkalan Arang di Kuala Terengganu

PM lulus RM950,000 untuk masjid, rumah penginapan 1Malaysia DUN Manir

Oleh: Aida Abd Rahman



Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Parlimen Hulu Terengganu menerima dua khabar gembira hasil lawatan Perdana Menteri ke kawasan itu, kelmarin.

Pertama, Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM800,000 bagi kerja membaik pulih Masjid Batu Hampar dan kedua, peruntukan RM150,000 bagi membina rumah penginapan 1Malaysia bagi petugas di Klinik Rawatan Masyarakat Yusof Awang Hitam.

“Insya-Allah kalau kawasan (DUN) Manir ini kembali kepada Barisan Nasional, banyak lagi usaha pembangunan dan pembelaan rakyat akan kita laksanakan,” kata Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Kampung Pulau Bahagia, kelmarin.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal; Menteri Pertahan, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Hulu Terengganu dan Pegawai Pembangunan (PP) DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam.

Perdana Menteri kemudiannya melaungkan kata-kata `sokong Barisan Nasional’, `menang Barisan Nasional ’, `undi Barisan Nasional’ dan `hidup Barisan Nasional’ sebanyak tiga kali yang disambut dengan penuh semangat dan gegak-gempita oleh kira-kira 15,000 orang ramai yang membanjiri program itu.

Sementara itu, PP DUN Manir, Encik Yusof bersyukur dengan `hadiah istimewa’ daripada pucuk pimpinan tertinggi negara itu yang ternyata membawa perubahan kepada pembangunan di kawasan Manir khususnya dalam membela nasib masyarakat dan umat Islam.

Beliau berkata, dua peruntukan yang diluluskan Kerajaan Pusat itu membuktikan Barisan Nasional sebuah kerajaan yang sentiasa mengotakan janji dan menitik beratkan soal kebajikan serta pembelaan rakyat tanpa `memilih bulu’ dan kawasan.

Katanya, penduduk DUN Manir harus membuka mata dan hati mereka untuk menilai segala perancangan dan realiti yang dilaksanakan Kerajaan Barisan Nasional sejak dulu lagi, sekaligus menolak parti pembangkang yang tidak pernah menunaikan janji kerana mereka melontarkan janji kosong hanya sekadar meraih undi pada pilihan raya semata-mata.



Ketentuan pangkat,kemuliaan, naik turun seseorang ditentukan Allah-Pengarah Ukom



Pengarah Unit Komunikasi (UKOM)Negeri Terengganu, Haji Shamsuddin Sulong menyatakan kemuliaan, kehinaan, naik-turun pangkat dan kedudukan seseorang dan segala baik buruk adalah ditentukan oleh Allah.

Sehubungan dengan itu, sebagai manusia yang beriman kepada Allah, kita hendaklah menerima segalanya dengan penuh kesyukuran, syukur dengan kesenangan serta kegembiraan dan sabar bila ditimpa sebarang musibah dan kedukacitaan.

Beliau juga meminta supaya kakitangan memastikan segala kerja yang dijalankan menjadi sebagai ibadat dengan cara memastikan setiap kerja itu dijalankan mengikut ajaran Islam dan berusaha menjauhi perkara-perkara yang ditegah oleh agama.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada kakitangan UKOM pagi ini (2 Mei) dalam perhimpunan bulanan dan sempena Hari Pekerja di perkarangan bangunan UKOM, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu.

UKOM mempunyai kira-kira 40 orang kakitangan yang berperanan dalam bidang penyebaran maklumat kerajaan kepada rakyat melalui pelbagai kaedah komunikasi,termasuk cetak (buku, akhbar, risalah), media baru(blog,webtv,vcd,facebook dan sebagainya)dan media bersemuka (forum,ceramah, diskusi dll).



Haji Shamsuddin juga meminta setiap kakitangan menjalankan tugas dengan penuh kesungguhan, membuat tranformasi ke arah kualiti kerja serta menjauhi perkara-perkara yang boleh menjejaskan organisasi dan menjaga 'lidah' dari mengungkapkan kata-kata yang boleh menimbulkan perasaan kurang senang orang lain.

Oleh: Ruslan AR




BN janjikan realiti, PAS janji fantasi

Oleh: Aida Abd Rahman


Rakyat gembira menyambut kehadiran YAB Perdana Menteri.

Umno dan Barisan Nasional (BN) menjanjikan realiti dan bukannya fantasi sebagaimana yang dijanjikan PAS, kata Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Jadi kita mahu masa depan kita terjamin melalui Barisan Nasional, kerana kita tidak menjanjikan fantasi tetapi kita menjanjikan realiti kerana kita boleh buat perubahan yang besar kepada negara kita,”katanya di majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Kampung Pulau Bahagia, kelmarin.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Seri Shafei Apdal; Menteri Pertahan, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Hulu Terengganu dan Pegawai Pembangunan DUN Manir, Encik Yusof Awang Hitam.

"Umno lahir di istana dan bukannya lahir di jalanan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR)". Sikit-sikit (PKR) nak buat demontrasi,” katanya.

Dato’ Sri Mohd Najib berkata rakyat telah bijak untuk menilai kepimpinan yang benar-benar dapat memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Beliau berkata, masa depan rakyat lebih terjamin dengan BN dan antara perjuangan yang sudah dilaksanakan adalah mewujudkan 21 buah universiti dalam negara termasuk Universiti Teknologi Mara yang mempunyai kira-kira 200,000 pelajar.

Malah, Dato’ Sri Mohd Najib juga meminta supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

"Hadi (Presiden PAS Dato’ Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP (pakatan pembangkang)," katanya.

Dalam program itu, kira-kira 15,000 penduduk Manir dan sekitar Kuala Terengganu membanjiri tapak program sejak jam 8 pagi lagi. Masing-masing kelihatan bersemangat sambil mengibarkan bendera sebaik sahaja melihat kelibat pemimpin negara itu memasuki tapak program.

Perdana Menteri sebelum itu diiringi kira-kira 800 belia bermotosikal dari jarak lapan kilometer sebelum tiba di Kampung Pulau Bahagia. Di kiri dan kanan bahu jalan, orang ramai termasuk guru dan pelajar sekolah setia menunggu sambil melambai dan mengibarkan Jalur Gemilang serta memegang kain rentang mengalu-alukan lawatan pemimpin nombor satu negara itu.

Dato' Sri Mohd Najib kemudiannya disambut dengan persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Lian 12 yang melibatkan 150 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Bahagia; SK Beladau Kolam; SK Durian Mas; SK Teluk Menara; SK Pulau Manis; SK Belara dan SK Kebor Besar.

Sebelum itu, Perdana Menteri dan rombongan meluangkan masa beberapa minit melawat Klinik kesihatan Masyarakat Yusuf Awang Hitam dan melihat operasi di dalamnya sambil beramah-mesra dengan petugas klinik itu.