Halaman

11 May 2011

Dato’ Haji Ahmad hadir program Sehari Bersama Menteri Besar DUN Batu Buruk

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad, akan menghadiri Program Sehari Bersama YAB Menteri Besar Terengganu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Sabtu ini (14 Mei).

Program tersebut bermula seawal jam 7.30 pagi di mana Menteri Besar akan melawat Masjid Raja, Chendering, yang sedang dalam pembinaan dan mendengar taklimat mengenai projek berkenaan.

Selepas itu, beliau akan menikmati sarapan bersama-sama penduduk setempat dan merasmikan sukaneka rakyat di Pantai Chendering.

Menteri Besar turut diijadualkan menyampaikan bantuan pakaian sekolah dan hadiah kepada mereka yang berjasa di mukim Chendering serta hadiah kepada pemenang pertandingan rumah bersih.

Sejurus itu, beliau akan ke Taman Seri Desa Chendering dan menikmati minum pagi bersama-sama penduduk setempat sebelum menyampaikan hadiah warga berjasa dan pemenang pertandingan rumah bersih Taman Seri Desa.

Kira-kira jam 10 pagi, Menteri Besar akan bertolak ke Pusat Komoditi Chendering bagi menghadiri sukaneka rakyat dan menyampaikan hadiah warga berjasa serta pemenang pertandingan rumah bersih di kawasan itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad kemudiannya akan ke Taman Permin Jaya dan beramah mesra dengan penduduk setempat serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna.

Kira-kira jam 12.30 tengahari Menteri Besar akan ke Kampung Kubang Ikan bagi menghadiri jamuan rakyat dan menyampaikan hadiah kepada warga berjasa serta pertandingan kebersihan rumah penduduk kampung itu.

Beliau seterusnya akan menunaikan solat zohor di Masjid Ungku Sulong, Kuala Ibai, dan menyampaikan Buku Simpanan Tabung Haji kepada 1,000 penduduk di kampung tersebut.

Selepas itu, beliau akan ke Pusat Komuniti Che Kundur dan menyaksikan pertandingan akhir futsal 3 on 3 serta menyampaikan hadiah kepada warga berjasa di kampung itu.

Menteri Besar akan menunaikan solat Asar di Surau Nurul Hidayah, Kampung Mengabang Tengah dan menyertai gotong royong membaikpulih atap rumah Zainab Kadir dan Che Mariah Che Yunus.

Beliau seterusnya akan menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Penduduk KRT Taman Bukit Bayas dan menyempurnakan majlis penyerahan kunci rumah PPRT Kampung Bukit Depu.

Dato’ Seri Haji Ahmad akan menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Tok Nasek dan menikmati makan malam bersama penduduk selepas solat Isyak.

Selepas itu, acara kemuncak ialah ceramah perdana dan penyampaian cenderahati kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan warga berjasa mukim Bukit Besar di perkarangan masjid berkenaan.



Masalah pelajar ponteng semakin menurun

Oleh: Esah Abdullah

Pencapaian disiplin pelajar-pelajar Sekolah Menengah (SM) seluruh negeri bertambah baik sepanjang tahun lalu berdasarkan peratus salah laku disiplin murid yang menurun sebanyak 0.17 peratus daripada 2.83 peratus (2009) kepada 2.66 peratus (2010).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan sedar pemasalahan ponteng berlaku agak ketara di SMK di negeri ini.

“Kerajaan negeri bersama Jabatan pelajaran banyak melaksanakan program untu memastikan perkara berkenaan dapat dikurangkan dan di sifarkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan YB Haji Ramlan Ali (BN-Jabi) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, antaranya program kauseling berfokus, dimana melaluinya pihak sekolah mengambil beberapa pendekatan dengan mengenal pasti punca masalah dan khidmat nasihat.

“Kursus kesejahteraan diri untuk pelajar lelaki dan perempuan yang berdepan salah laku dan sosial, gerakan keremajaan , kempen bergerak menangani gejala sosial anjuran Kementerian Pelajaran yang diadakan dari masa kesemasa,” katanya.

Selain itu katanya, baru-baru ini kerajaan bersama Yayasan Terengganu (YT) berjaya mengumpul kira-kira 3,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai Program Keterbilangan dalam usaha membantu mereka yang kurang cemerlang dalam keputusan SPM lalu.

“Kita hantar mereka ke Institut latihan Perindustrian (ILP), Akademik Binaan Malaysia (ABM), Tatiuc, Tesdec, TTITC, dan beberapa lagi pusat latihan di bawah kelolaaan kerajaan negeri bagi melatih mereka yang berminat,” katanya.

Katanya, sebahagiannya sudah menamatkan latihan (tiga bulan) dan masih ramai sedang meneruskannya dalam pelbagai kursus kemahiran dan semua ini di laksanakan dalam usaha membendung masalah sosial kalangan remaja lepasan sekolah.






Naik taraf jalan ke Petaling dalam RMK-10

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri memounyai perancang untuk melebar dan menaik taraf jalan raya bermula daripada Bulatan Batu 6 hingga ke Kampung Gemuruh termasuk Kampung Petaling, Tepoh yang menghubungkan ke projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) fasa 2.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Haji Za’abar Mohd Adib berkata, cadangan jalan dua hala berkenaan adalah untuk membentuk satu rangkain jalan yang selamat serta mengurangkan risiko kemalangan.

Datuk Haji Za’abar berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada YB Haji Muhammad Ramli Noh (BN-Tepoh) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

YB Haji Muhammad Ramli meminta penjelas apakah kerajaan mempunyai perancangan segera bagi maksud melebar dan menaik taraf jalan raya bermula dari Bulatan Batu Enam hingga ke Kampung Petaling, Tepoh.

Katanya, berdasarkan keadaan semasa memang wajar jalan ini dinaiktaraf kerana turut jadi laluan utama untuk ke kompleks sukan dan pusat pengajian tinggi serta jalan utama menuju ke LPT fasa dua di Gemuruh.

“Oleh itu peruntukan telah dipohon di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) projek jalan persekutuan dan anggaran kos adalah RM150 juta manakala peruntukan yang dipohon pada 2012 dan 2013 berjumlah RM34 juta,” katanya.

Menjawab soalan tambahan dari wakil yang sama Datuk Haji Za’abar berkata kerja-kerja pembinaan jalan ini akan dilaksanakan mengikut keutamaan.setelah peruntukan yang dipohon mendapat kelulusan kementerian.





Peruntukan Maidam baiki kerosakan kecil di masjid, surau

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bersedia membiayai kos membaiki kerosakan kecil yang berlaku di masjid dan surau kerajaan seluruh negeri ini sekiranya dana tabung di setiap rumah ibadat itu tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan itu .

YB Haji Khazan Che Mat (BN-Batu Rakit) berkata, jika dana tabung yang terkumpul di satu-satu masjid kurang daripada RM10,000, Maidam akan menyediakan peruntukan bagi membaiki kerosakan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata, kerosakan kecil yang sering berlaku di masjid dan surau melibatkan kerja-kerja menukar karpet baru dan menggantikan peralatan siaraya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menanggung kos membaiki kerosakan kecil yang berlaku di surau jika dana tabung yang terkumpul kurang daripada RM5,000.

“Kerja memulih dan membaiki kerosakan kecil di masjid dan surau seluruh negeri ini boleh dipohon melalui wakil rakyat, di mana peruntukan itu disediakan menerusi pembiayaan zakat Maidam,” katanya ketika sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

YB Haji Khazan juga menafikan kenyataan YB Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengenai tindakan kerajaan negeri yang memecat imam masjid negeri ini dengan sewenang-wenangnya sedangkan pemimpin rumah ibadat itu didapati masih tidak mencukupi ketika ini.

Beliau berkata, langkah itu wajar apabila imam yang dikenakan tindakan penggantungan atau pemecatan berkenaan didapati melakukan kesalahan dan tidak mengikut arahan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan perkara itu tidak berkaitan dengan masalah mereka mencukupi atau tidak.

Katanya, setiap penjawat awam dan sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan tetap berdepan dengan hukuman yang sewajarnya mengikut pertimbangan majikan masing-masing.
















Terengganu berkemampuan biayai dua pasukan bola sepak

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri berkeupayaan menyediakan peruntukan khusus untuk membiayai dua pasukan bola sepak di negeri ini berbanding negeri lain, sekaligus kelebihan itu membuka peluang pekerjaan dan mencungkil bakat muda dalam arena bola sepak negara ini.

YB Haji Rozi Mamat (BN-Telemong) berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Katanya, Terengganu melahirkan ramai pemain berwibawa yang bukan hanya mewakili dua pasukan negeri, Terengganu dan T-Team, malah enam anak Terengganu turut mewakili pasukan Malaysia sehingga membawa negara menjuarai Piala Suzuki AFF tahun lalu.

“Sekarang bukan soal tidak cukup duit (biayai dua pasukan), kedua-duanya kita pantau dengan secukup-cukupnya kerana kerajaan negeri prihatin untuk memberi peluang pekerjaan kepada anak Terengganu serta melonjak kecemerlangan dalam bidang sukan terutama bola sepak,” katanya bagi menjawab kenyataan YB Haji Muhammad Ramli Nuh (BN-Tepoh) mengenai perkembangan sukan itu ketika sesi perbahasan Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri itu juga menolak dakwaan segelintir pihak mengenai wujudnya persaingan tidak sihat antara dua pasukan itu selain ada pertelingkahan yang memberi kesan buruk kepada pihak pengurusan.

Katanya, ada pemain dari pasukan T-Team pada musim lalu bertukar haluan ke Terengganu pada musim ini dan begitu juga sebaliknya. Malah, pertukaran pemain T-Team itu juga melonjak namanya selaku antara penjaring terbanyak dalam Liga Super musim ini.

Beliau juga yakin kedua-dua pasukan sedang memburu tempat terbaik dalam Liga Super dan satu daripadanya akan mampu menjulang kejuaraan Piala Malaysia musim ini .







ANZ wujud taman perumahan abai keperluan rakyat

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri kesal dengan tindakan syarikat ANZ Sdn Bhd yang menjadikan Kampung Tok Adis, Kuala Ibai sebagai taman perumahan dan bukannya kawasan beriadah seperti mana yang dirancang pada 1999 lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pemilik syarikat itu yang juga pemimpin parti PAS sewaktu pengambilan tanah telah bersikap kurang adil kepada rakyat berikutan memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan keperluan rakyat.

Katanya, sewaktu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar, dia pernah mencadangkan supaya lokasi itu dijadikan kawasan riadah untuk penduduk termasuk membina padang bola sepak, bola jaring dan taman permainan kanak-kanak.

“Kita sedih dengan nasib penduduk, pemuda dan kanak pada ketika itu kerana ketiadaan tempat untuk beriadah dan bersukan.

“Untuk pengetahuan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), lokasi yang berkeluasan hampir 52 hektar itu kini dipenuhi kediaman hasil projek milik ANZ,” katanya ketika menjawab soalan YB Haji Alias Abdullah BN-Alor Limbat.

Menurutnya, semua rakyat mengetahui, ANZ memperoleh pelbagai projek sewaktu parti Pas mengambil alih tampuk kepimpinan pada 1999 hingga 2004 yang nyata untuk mengejar keuntungan.

“Sumber kewangan yang diperoleh kerajaan hasil pembinaan perumahan itu cukup rendah dan jauh seperti yang dijangka iaitu hanya kira-kira RM1 juta,” katanya.


Tasik Kenyir sedang rancak dibangunkan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui pihak berkaitan kini rancak membangunkan Tasik kenyir, Hulu Terengganu bagi merealisasikan lokasi itu sebagai sebuah kawasan bebas cukai yang serba lengkap menjelang akhir 2012.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika menjawab soalan YB Haji Mohd Zawawi Ismail BN- Kuala Berang berkata, ini termasuk melaksanakan pembangunan prasarana termasuk Kompleks Bebas Cukai dan Kompleks Kastam yang dirancang dibina di Pulau Bayas.



“Selain itu mewujudkan rangkaian gedung yang akan menjual barangan berkualiti berkonsepkan Factory Outlet.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sedang giat menjalankan kerja-kerja memasang kabel elektrik sejauh 23 kilometer (km) iaitu bermula dari Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu ke Pulau Bayas, Tasik Kenyir membabitkan kos RM33juta,” katanya ketika memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri pada hari kedua (11 Mei)





Lima peserta perdengar bacaan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri 2011

Oleh: Aida Abd Rahman



Lima peserta memperdengarkan bacaan masing-masing pada malam pertama Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2011 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, malam tadi.

Johan tilawah peringkat negeri tahun lalu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, 28, muncul peserta pertama yang membacakan surah al-Baqarah bermula daripada ayat 44.

Beliau yang juga Tutor Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia dari Kampung Gong Kijang, Kuala Terengganu menggunakan Taranum Rast dan Sikah.

Manakala peserta kedua, Hajah Porziah Mamat, 55, yang mewakili daerah Hulu Terengganu memperdengarkan surah al-Maidah, ayat 67 dengan Taranum Hijaz dan Sobah.

Peserta ketiga, qari dari Marang, Encik Zainal Adam, 45, tampil dengan surah al-A’raf ayat 156, diikuti qariah yang mewakili Kuala Terengganu, Cik Nor Jannah Abdul Rahman, 20, memperdengarkan bacaan surah at-Taubah ayat 38.

Peserta terakhir bagi malam pertama, qari dari Kemaman, Encik Mohd Abd Latiffah Shah Che Yusof, 49, pula menampilkan Taranum Nahawand dan Jiharkah menerusi Surah al-Hud ayat 41.

Seramai 16 peserta masing-masing lapan qari dan lapan qariah termasuk dua johan menunggu mengambil bahagian dalam pertandingan kali ini. Pertandingan yang bersambung malam ini akan diteruskan lagi dengan bacaan daripada 11 peserta.

Majlis tilawah al-Quran kali ke-54 yang membawa tema `1 Malaysia, 1 Ummah’ dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Yang DiPertua Dewan Undangan negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Majlis penutup tilawah serta penyampaian hadiah dan cenderahati kepada peserta bakal disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Sri Laksamana Raja pada malam esok ( 12 Mei) bermula jam 8.30 malam.





HSNZ bakal jalani pembedahan jantung

Oleh: Suriati Ali

Pesakit jantung di Terengganu tidak perlu lagi menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur atau Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan apabila Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut menawarkan perkhidmatan itu dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar, berkata sehingga kini pihaknya masih menunggu kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membenarkan HSNZ melalui Unit Kardiologi (ICL) memulakan pembedahan jantung.

“Buat permulaan, doktor pakar kardiologi bersama beberapa pembantu sudah menerima beberapa pesakit yang ingin mendapatkan rawatan asas sejak dibuka Julai tahun lalu,” katanya ketika sesi pergulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) petang ini.

Tambahnya lagi, Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM22 juta bagi membuka pusat perubatan pakar harian dikenali sebagai `iHEAL’ bertempat di tingkat tujuh dan lapan Mid Valley, Kuala Lumpur.

“Pusat rawatan yang beroperasi pertengahan tahun lalu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk alat pemeriksaan menggunakan sinaran x-ray `Multi Slice CT Scan’ tercanggih yang mengandungi 640 slice berharga lebih RM8.4 juta.

“Pelbagai kemudahan kepakaran disediakan di pusat rawatan itu meliputi pergigian, jantung, neuro, strok, kanser payu dara, rawatan anti penuaan dan pembedahan plastik serta kolagen,” katanya.

Menurutnya, sebanyak RM22 juta diperuntukkan bagi membangunkan pusat rawatan itu dengan 60 peratus sahamnya dipegang oleh Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

“Pusat pakar di bawah satu bumbung itu dibangunkan bagi kemudahan orang ramai termasuk keperluan rakyat Terengganu sekiranya terdapat kes kritikal yang memerlukan rawatan pakar dan kemudahan di situ.

“Ramai pesakit terutama yang mendapat bantuan di bawah Tabung Penyakit Kronik sudah mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu sejak ia beroperasi” katanya.



10 May 2011

Isu cadangan Keristian agama rasmi – ke mana hilang pemimpin Pas

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Pelbagai pihak, termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mengadakan tunjuk perasaan membantah isu cadangan pihak tertentu untuk menjadikan Keristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Mereka secara terang-terang menunjukkan rasa kurang senang serta tidak puas hati terhadap puak yang sengaja mahu membangkitkan kemarahan rakyat negara ini, khususnya di kalangan penganut Islam.

Terbaru, kira-kira 400 ahli Pertubuhan Kebajikan dakwah dan Islamiah Malaysia (Pekida) Kuala Terengganu, berarak ke balai polis Kuala Terengganu, sebelum satu laporan polis mengenai isu tersebut dibuat, sebagai tanda bantahan.

Mereka membawa pelbagai jenis sepanduk dan poster yang mengutuk dan membantah tindakan pihak tertentu membangkitkan isu sensitif berhubung cadangan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara.

Selama ini sudah terang dan nyata dan semua pihak tahu bahawa Islam adalah agama rasmi negara ini di mana perkara itu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman di mana-mana bahagian Persekutuan.

Bagaimanapun, tindakan pihak tertentu menimbulkan isu mahukan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, telah menimbulkan kemarahan banyak pihak.

Dalam keghairahan pelbagai pihak menentang, timbul persoalan ke mana gerangannya para pemimpin Pas yang sebelum ini begitu lantang mendabik dada kononnya mereka pejuang Islam yang mahu menegakkan sebuah negara Islam.

Ketiadaan sebarang tindakan daripada Pas menimbulkan tanda tanya hinggakan ada orang yang menaikkan poster bertanya “Apa tindakan Tuan Guru”? yang pastinya ditujukan kepada Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, berhubung isu tersebut.

Apa tindakan Presiden Pas dan pemimpin parti itu dalam menangani isu ini?