Halaman

26 May 2011

Penerima APC berazam untuk kekal cemerlang

Oleh: Suriati Ali

“Anugerah yang diterima ini, menjadi pembakar semangat untuk terus cemerlang menabur bakti kepada pesakit walaupun kadang kala tidak cukup tidur kerana terpaksa berjaga malam.

“Saya tidak menghiraukan rasa penat dan letih, kerana mengetahui pesakit lebih memerlukan perhatian terutama ketika berada dalam keadaan kecemasan,” kata penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Puan Suhaida Yusnita Mohd Asri dari Hospital Setiu.

Beliau berkata demikian ketika hadir di majlis APC dan Jasamu Dikenang Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JNKT), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Seramai 806 kakitangan termasuk 134 pesara JKNT menerima APC dalam majlis yang dirasmikan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Hasan Abdul Rahman.

Pegawai Dietetik, Lua Lee Yen yang turut menerima APC, berkata dia akan meningkatkan lagi produktiviti dan kreativiti kerjaya yang diceburi sekarang semata-mata untuk kepentingan masyarakat dan JKNT.

“Terima kasih kepada pimpinan JKNT kerana mempercayai dan menghargai sumbangan selama lapan tahun berkhidmat di bahagian pengurusan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya.

Penerima Anugerah Jasamu Dikenang, Encik Ruslan Mohd, berkata dia cukup terharu untuk meninggalkan kerjaya ini kerana sudah sebati dengan jiwanya.
“Selama 36 tahun berkhidmat sebagai pembantu kesihatan awam pelbagai cabaran dan pengalaman manis di tempuh.

“Saya mengharapkan rakan setugas yang masih berkhidmat supaya terus kekal cemerlang dalam kerjaya masing-masing ” katanya yang akan bersara pada Ogos ini.


Bersatu mengekalkan jenama ulung kerajaan

Oleh; Esah Abdullah

Penjawat awam hari ini memikul satu jenama yang cukup besar sebagai jentera kerajaan dan bagi mengekalkan brand yang ulung ini semua perlu bersatu dan berkerjasama tanpa mengira jawatan yang dipegang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, konsep bersatu bukan saja diamalkan dalam perkhidmatan awam negeri malah selaras dengan konsep gagasan Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri.

“Tidak ada gunanya kita tinggal sebumbung kalau satu kumpulan bergerak ke hulu dan satu lagi menghala ke hilir,” katanya ketika berucap di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011 di Wisma Darul Iman.

Katanya, dua perkara utama yang perlu diambil perhatian adalah mengenai best practices yang perlu diteruskan dan yang kedua apa yang perlu kita perbaiki melalui penambahbaikan secara berterusan.

Menurutnya, dalam melaksanakan penambahbaikan, semua perlu melihat kepada sudut ‘life cycle costing’ sebagai satu teknik pendekatan berstruktur yang memberi tumpuan kepada elemen kos secara holistik supaya satu-satu produk atau perkhidmatan dapat digunakan secara optimum melalui perancangan, pelaksanaan dan penyenggaraan yang berkesan.

“Isu membabitkan penggunaan teknologi yang bersesuaian, penambahbaikan aspek keselamatan dan penggunaan tenaga lebih efisien juga perlu diberi perhatian serius,” katanya..

Beliau mengakui, setiap organisasi mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri dan melalui pendekatan ini, kerajaan dapat menjimatkan wang rakyat dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Katanya, apabila berjaya melakukan satu perkara yang baik sudah pasti pujian akan datang sebaliknya apabila sesuatu yang kurang senang berlaku pasti akan menerima kritikan dan tohmahan keras.

“Bagi saya itu adalah satu lumrah kehidupan dan disinilah sebenarnya cabaran kepada pentadbiran negeri untuk menitik-beratkan bekerja sebagai satu pasukan, berusaha untuk mencari mekanisme yang terbaik di meja perbincangan tanpa menuding kesalahan sesama sendiri.,” katanya.




Terengganu baham Pahang, T-Team malukan Kelantan

Oleh: Aida Abd Rahman

Sebagaimana ramalan, Terengganu berjaya menumbangkan Pahang dengan amukan jaringan 5-0, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kemenangan besar itu turut membawa anak didik Irfan Bakti Abu Salim untuk memintas Kelantan dan mengambil alih kedudukan tangga teratas Liga Super.Manakala `adik’ Terengganu, T-Team pula mengejutkan Kelantan di hadapan penyokong The Red Warriors’.

Terengganu yang turun dengan misi untuk mengatasi kelebihan jaringan Kelantan, berjaya mencipta jaringan awal menerusi Ashaari Samsuddin (minit ke-14), sebelum Abd Hadi Yahya muncul wira yang mencatat hatrik pada minit ke-20, 53 dan 56.

Gol terakhir yang melengkapkan kemenangan pasukan Penyu dijaringkan penyerang, Abdul Manaf Mamat (minit ke-71) sekaligus melengkapkan kemenangan Terengganu yang bakal berdepan Kedah pula pada Sabtu ini.

Sementara T-Team mengutip tiga mata berharga dan ternyata misi membalas dendam yang diuar-uarkan skuad kendalian M. Karathu tidak berhasil.

T-Team pulang ceria dengan kemenangan tipis 2-1, yang hadir menerusi Indra Putra Mahyuddin, dalam persaingan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu.




Kerajaan sedia program tingkat pelancongan Pulau Perhentian

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Rakyat memberi reaksi yang positif dasar turun padang yang diamalkan pemimpin Barisan Nasional dan ia akan diteruskan bagi kebaikan rakyat. - YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said

Kerajaan negeri sedang merangka satu program khusus bagi meningkatkan industri pelancongan di Pulau Perhentian, sekaligus membantu meningkatkan pendapatan penduduk di pulau ini.

“Saya akan umumkan program tersebut semasa membentangkan Bajet 2012 tidak lama lagi,” kata Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, sewaktu berucap pada majlis Jamuan Rakyat di Pulau Perhentian, malam ini.

Beliau berkata, cadangan pembangunan di pulau ini selaras dengan hasrat Kerajaan Terengganu untuk meningkatkan bidang pelancongan di negeri ini.

Bercakap pada sidang media selepas majlis itu, beliau berkata amalan kerajaan negeri sekarang ini ialah turun padang dan mengenal pasti projek-projek yang diperlukan rakyat bagi menaiktaraf hidup dan ekonomi mereka.

“Kita akan umumkan projek untuk rakyat semasa program turun padang secara berterusan bukan tunggu plihan raya baru nak umum projek,” ujar beliau.

Beliau berkata, rakyat memberi reaksi yang positif dasar turun padang yang diamalkan pemimpin Barisan Nasional dan ia akan diteruskan bagi kebaikan rakyat.





Penduduk Pulau Perhentian dapat tiga projek

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Kerajaan meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan bekalan air diambil dari kawasan mata air yang dikenali air berani oleh penduduk tempatan di pulau ini.

Lawatan kerja sehari Menteri Besar ke Pulau Perhentian memberi makna yang besar kepada penduduk pulau ini apabila mereka mendapat tiga projek sekaligus, bagi menaik taraf hidup mereka.

Sempena lawatan itu, Menteri Besar mengumumkan kerajaan negeri bersetuju membina rumah pangsa empat tingkat mengandungi 150 unit bagi memberi kediaman lebih selesa kepada penduduk pulau ini.

Beliau berkata, kawasan tanah seluas lima setengah ekar sudah dikenal pasti bagi tujuan tersebut dan pembinaannya akan dilakukan secepat mungkin.

“Pada masa ini ada penduduk di pulau ini terpaksa berkongsi rumah antara tiga dan empat keluarga bagi sebuah rumah dan ini sudah tentu menimbulkan rasa kurang selesa kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas menghadiri jamuan rakyat di pulau ini, malam ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna, YB Dr A.Rahman Mokhtar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco).

Dato’ Ahmad turut meluluskan pembinaan sebuah gelanggang futsal berhampiran jeti ke Pulau Perhentian bagi kegunaan golongan belia bermain futsal.

“Saya juga meluluskan peruntukan RM300,000 bagi membolehkan bekalan air diambil dari kawasan mata air yang dikenali air berani oleh penduduk tempatan di pulau ini,” katanya.




25 May 2011

Cabaran Mount Berembun Green Challenge 2011

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Persatuan Kembara Negara (PKN) menganjurkan `Mount Berembun Green Challenge 2011’ yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,700 kepada peserta.

Pertandingan julung kali dianjurkan itu bakal bermula di Hutan Lipur Air Terjun Chemerong pada 15 dan 16 Julai ini.
Dengan ketinggian 1,108 meter, Gunung Berembun yang terletak di kawasan Hutan Lipur Sungai Chemerong dalam Hutan Simpan Pasir Raja, Dungun turut mempunyai air terjun tertinggi di Asia Tenggara setinggi 305 meter.

Secara teknikalnya, pertandingan lasak ini memerlukan peserta mengharungi larian bermula dari Air Terjun Chemerong ke `check point’ yang ditetapkan penganjur mengikut kategori yang terbahagi kepada tiga, iaitu terbuka lelaki/wanita (18 tahun ke atas), terbuka veteran lelaki (45 tahun ke atas) dan tertutup Terengganu lelaki/wanita (13 tahun ke atas).

Sementara itu, yuran penyertaan bagi kategori lelaki/wanita terbuka RM60, veteran lelaki terbuka RM 40 dan tertutup Terengganu lelaki/wanita pula RM30.

Pada masa yang sama, pelbagai acara sampingan diadakan bagi memeriahkan pertandingan termasuk pameran dan jualan, cabaran fotografi, lawatan kembara bersama media, sukan rakyat, acara` flying fox, abserling, rope challenge’, selain pertandingan mewarna dan juga cabutan bertuah.

Sesiapa yang berminat menyertai larian ini boleh mendapatkan borang penyertaan menerusi laman web www.kembaranegara.net

Semua borang perlu diserahkan bersama yuran penyertaan dan bayaran boleh dibuat secara tunai, wang pos atau cek menggunakan nama PERSATUAN KEMBARA NEGARA selewat-lewatnya tujuh hari sebelum tarikh pertandingan berlangsung, iaitu pada 8 Julai 2011.

Sebarang keterangan lanjut hubungi sekretariat `Mount Berembun Green Challenge’ menerusi alamat:

Persatuan Kembara Negara
Taman Tasik Cempaka
Bandar Baru Bangi
43650 Selangor

Tel : 03 889263708/ Fax: 03 89262708

Muhammad Rafi : 012 3715412
Afnal : 012 2022644
Mohd Arif : 012 9397170
Marina : 017 6253646





Terima kasihlah kepada kerajaan – isteri MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Penduduk Pulau Perhentian perlu berterima kasih kepada kerajaan kerana mereka mendapat pelbagai kemudahan walaupun tinggal jauh dari tanah besar.

Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud,berkata mereka amat beruntung kerana kerajaan negeri sentiasa mengambil berat dan cakna terhadap kebajikan penduduk, terutama golongan susah.

“Saya minta kepada penduduk kampong dan persatuan bukan kerajaan, jika ada masalah jumpalah JKKK bagi mendapat bantuan,” katanya pada majlis pertemuan dengan golongan wanita penduduk Pulau Perhentian di pulau ini, petang ini.

Turut hadir isteri-isteri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Terengganu.
Sebelum itu, beliau menyaksikanpertandingan memasak makanan tradisional dan masakan special serta pertandingan gubahan bunga.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.
To’ Puan Seri Norliza kemudiannya turut melawat warga emas di Kampung Pulau Perhentian yang uzur dan menyampaikan sumbangan.

MB hadir mesyuarat Exco di Pulau Perhentian



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) akan menghadiri mesyuarat Exco di Pulau Perhentian petang ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Dato’ Seri Haji Ahmad dan barisan Exco akan menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat di Pulau Perhentian pada sebelah malam.



Tinjauan Teganukita mendapati persiapan peringkat akhir sedang rancak dilakukan penduduk pulau ini bagi menyambut kehadiran Menteri Besar dan rombongan pada sebelah malam.

Rombongan media tempatan turut dibawa ke pulau ini bagi membuat liputan program berkenaan.



TDM Berhad catat keuntungan

Oleh: Suriati Ali


Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Encik Badrul Hisham Mahari.

TDM Berhad syarikat pegangan pelaburan milik kerajaan negeri mencatatkan lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 67 peratus kepada RM129.2 juta untuk tahun 2010 berbanding RM77.5 juta tahun sebelumnya.

Ia seiring dengan peningkatan pendapatan kumpulan sebanyak 25 peratus daripada RM335.6 juta kepada RM420.4 juta, hasil daripada peningkatan pengeluaran di bahagian peladangan serta prestasi bahagian penjagaan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Badrul Hisham Mahari berkata, bahagian peladangan mencatat keuntungan sebelum cukai berjumlah RM119.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak 73 peratus.

''Bahagian penjagaan kesihatan pula telah mencatatkan kenaikan 47 peratus keuntungan sebelum cukai berjumlah RM11.2 juta," katanya,

Perolehan bagi suku tahun pertama tahun ini turut memperlihatkan prestasi kukuh dengan peningkatan 18 peratus kepada RM105.8 juta manakala keuntungan sebelum cukai bertambah 42 peratus kepada RM38.2 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

TDM kini mengendalikan 12 ladang kelapa sawit di negara ini dengan jumlah keluasan 33,284 hektar dan pertumbuhan masa depan dijangka datang daripada perkembangan perniagaan di Kalimantan, Indonesia.

''Kami yakin pelaburan di Kalimantan merupakan satu strategi yang tepat, ia membolehkan kami memperluaskan perniagaan teras dan sejumlah RM44 juta telah dibelanjakan," katanya.

Menurut beliau, selain meningkatkan bank tanah dan memastikan kemampuan pertumbuhan bahagian peladangan, ia menawarkan potensi hasil yang lebih baik berdasarkan keadaan tanah yang lebih subur, lebih mendatar dan edaran taburan hujan yang lebih tinggi.

''Sehingga kini, 25,000 hektar telah diperoleh daripada keseluruhan pakej 40,000 hektar tanah di Kalimantan dan TDM merancang untuk menyelesaikan kerja-kerja penanaman pokok bagi 20,000 hektar yang pertama dalam tempoh tiga tahun," ujarnya.

Katanya, bahagian penjagaan kesihatan terus kukuh sepanjang 2010 dengan peningkatan pendapatan sebanyak 19 peratus kepada RM78.0 juta dan kenaikan 47 peratus keuntungan sebelum cukai kepada RM11.2 juta.

Ia juga telah mencatatkan kenaikan sebanyak lima peratus bagi jumlah pesakit yang dirawat.

''Penjagaan kesihatan terus mencatat pendapatan dua angka iaitu 19 peratus manakala pertumbuhan keuntungan sebelum cukai naik sebanyak 47 peratus hasil daripada peningkatan jumlah pesakit dan juga aktiviti Bahagian Penjagaan Kesihatan," katanya.

Dengan catatan keuntungan pertama Hospital Pakar Kuala Terengganu sejak mula beroperasi pada 2006, ketiga-tiga hospital miliknya kini berjaya meraih keuntungan di samping mempertahankan keuntungan berterusan sejak 2007.


Lima anugerah bakal diumum sempena Sambutan Hari Guru

Oleh: Suriati Ali


Sambutan Hari Guru peringkat Negeri Terengganu 2011 akan diadakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun esok (26 Mei). - Foto: Zulkipli Putra.

Kira-kira 1,500 guru dan pensyarah di Terengganu dijangka hadir sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2011, yang diadakan di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun, esok (26 Mei).

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud, berkata sambutan kali ini cukup bermakna apabila bakal mengumumkan Anugerah Tokoh Guru dan Anugerah Guru Berjasa.

Katanya, anugerah lain termasuk, pensyarah cemerlang, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) terbaik dan anugerah khas kepimpinan PIBG paling cemerlang.

“Apa yang istimewanya bagi tiga penerima Anugerah Guru Berjasa adalah mereka terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu Melayu, India dan Cina. Guru terbabit dipilih berdasarkan aspek kepimpinan dan tauladan yang mulia selain memenuhi semangat 1Malaysia.

“JPNT yakin dengan adanya anugerah sedemikian, mendorong individu berkaitan lebih bersemangat mencurahkan keringat semata-mata untuk kepentingan anak-anak, Terengganu dan juga negara. ,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita, hari ini (25 Mei).

Sempena sambutan bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, JPNT telah melaksanakan Program Memasyarakatkan Guru; Memasyarakatkan Murid yang melibatkan guru, pemimpin masyarakat, ibu bapa, ahli masyarakat dan murid secara serentak di seluruh negeri bermula 13 Mei lalu.

Aktiviti lain termasuk gotong royong membersihkan masjid dan tanah perkuburan Islam di mana melibatkan 22 masjid seluruh Terengganu.

Encik Razali berkata, dia berasa terharu dengan semangat juang dan pengorbanan gigih guru kerana telah berjaya meletakkan pendidikan Terengganu di mercu kejayaan.

“Hasil kejayaan demi kejayaan menerusi pendidikan, maka warga guru hari ini telah mendapat tempat di hati pemimpin, ibu bapa dan ahli masyarakat.

“Bersama-samalah kita mengangkat tinggi kecemerlangan pendidikan Terengganu dalam merealisasikan agenda Terengganu Negeri Anjung Ilmu,” katanya.

Encik Razali berkata, sebagai pendidik, kita perlu bersama-sama menghayati dan menyahut cabaran pendidikan masa kini dan akan datang dengan penuh syukur serta sabar dalam menunaikan amanah.