Halaman

06 August 2011

UMNO BESUT MEMPERKASAKAN PETI UNDI

Oleh : Mohammd Ishak


Kerajaan negeri dan pusat sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat negeri ini - YB Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin

UMNO Bahagian Besut mengambil langkah serius dalam usaha memperkasakan kedudukan peti undi di kawasan parlimen berkenaan bagi mempastikan pengundi tetap setia dan sentinsa menyokong kerajaan.

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Bendahari Umno Bahagian itu, berkata pihaknya melancarkan pelbagai program dengan menggerakkan semua jentera supaya mendekati pengundi pada setiap masa.

Katanya, selain mendampingi rakyat pemimpin kerajaan dan parti juga turun padang bagi menerangkan dasar kerajaan negeri dan pusat yang sedang dan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Malah,katanya, sepanjang bulan Ramadan juga aktiviti berasaskan keagamaan dipertingkatkan ke peingkat peti undi di seluruh parlimen berkenaan.

“Usaha seperti ini bukan kerana ura-ura pilihan raya akan diadakan dalam tempoh terdekat sebaliknya program sosial dan keagamaan dilakukan sepanjang masa,” katanya pada majlis penyampaian zakat kepada golongan miskin.

Pada majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Padang Luas, dekat Jertih, pagi tadi, seramai 20 penerima zakat dari Peti Undi Padang Luas yang mewakili tujuh cawangan diberi penghormatan menerima zakat.

Abdullah yang juga Penasihat Agama Perdana Menteri berkata, kerajaan negeri dan pusat sentiasa prihatin terhadap nasib rakyat negeri ini dan pelbagai bantuan diadakan sepanjang tahun.

“Rakyat negeri ini amat beruntung dengan adanya pelbagai bantuan dan sumbangan yang diberikan terutama pada bulan Ramadan yang memberi limpahan rezeki kepada umat Islam,” katanya.

13 pasukan sah sertai LTdL 2012

Oleh: Kamarudin Mat Akib




Sebanyak 13 pasukan daripada 22 pasukan yang dijemput menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, telah mengesahkan penyertaan mereka dalam pertandingan tersebut yang akan berlangsung dari 24 Februari hingga 4 Mac depan.

Terengganu akan menjadi tuan rumah bagi peringkat akhir dan penyampaian hadiah pertandingan berprestij itu yang semakin menjadi tumpuan pelumba antarabangsa.

Pasukan kebanggaan Terengganu, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) akan turut menyertai pertandingan tersebut dan mengharapkan ‘tuah’ sebagai tuan rumah peringkat akhir bagi merebut kedudukan yang lebih baik.

Manakala pelumba TSG, Anuar Manan tentunya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi meraih lebih banyak kejayaan berbanding penyertaan dalam LTdL sebelum ini.

Bagi edisi kali ini, dua pasukan Pro-Tour iaitu Astana dari Kazakhstan dan Garmi-Cervelo (Amerka Syarikat) akan membuat kemunculan semula manakala pasukan PureBlack Racing (New Zealand) akan membuar penampilan sulung.

Ketua Pegawa Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalil, berkata saingan kali ini lebih sengit dan menyaksikan penyertaan seimbang antara pasukan Asia dan bukan Asia.

Beliau berkata, penyertaan penuh pasukan bagi pertandingan kali ini akan diketahui selewat-lewatnya Oktober ini.



PUSAT KHIDMAT MASYARAKAT PARLIMAN BESUT ANJUR MAJLIS BERBUKA PUASA

Oleh : Mohammad Ishak


Sebahagian tetamu yang hadir pada majlis berbuka anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Besut

Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Besut semalam menganjurkan majlis berbuka puasa bagi meraikan masyarakat Islam di kawsaan berkenaan yang mengerjakan ibadat puasa.

Majliis yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut (MDB), Gong Kemuntong, Jertih, disertai kira-kira 1,000 jemputan termasuk pemimpin kerajaan, ketua jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sekitar daerah itu.

Hadir sama Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin yang juga Ahli Parlimen Besut, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof dan Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh.

Dr Abdullah berkata, beliau bangga kerana ramai tetamu terutama penduduk daerah itu yang hadir bagi memeriahkan majlis selain dapat beramah mesra antara satu sama lain.
“Majlis seumpama itu diadakan pada setiap tahun dan ia dijadikan sebagai acara tahunan,” katanya.



Dr. Abdullah bersama A Rahman dan Muhamad Pehimi



05 August 2011

1,000 HADIR MAJLIS BERBUKA PUASA ANJURAN UMNO BAHAGIAN BESUT

Oleh: Mohammad Ishak



Kira-kira 1,000 penduduk khasnya masyarakat Islam sekitar daerah Besut menghadiri majlis berbuka puasa yang diadakan diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut, semalam.

Majlis anjuran Umno Bahagian itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Ketua Polis Daerah, Superetendan Kamaruddin Zakaria.

Pada majlis itu Idris turut menyampaikan sumbangan RM 1,000 kepada 17 pengerusi masjid dari DUN Jertih untuk melaksanakan pelbagai program keagamaan sepanajang bulan Ramadan.

Sumbangan berkenaan yang disalurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bertujuan membantu pengurusan masjid mengadakan aktiviti bagi faedah masyarakat Islam setempat .


16 masjid, 45 surau DUN Tepoh terima RM35,000

Oleh: FAUZI MOHD.


YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, peruntukan lebih RM35,000 itu bertujuan membolehkan masjid dan surau di DUN itu menjalankan aktiviti pengisian ilmu dan keceriaan semasa bulan Ramadan.

Sebanyak 16 masjid dan 45 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh menerima sumbangan antara RM300 hingga RM1,000 sebagai bantuan untuk pengisian program Ihya Ramadan tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh berkata, peruntukan lebih RM35,000 itu bertujuan membolehkan masjid dan surau di DUN itu menjalankan aktiviti pengisian ilmu dan keceriaan semasa bulan Ramadan.

Menurutnya, selain untuk mengukuhkan tabung masjid dan surau berkenaan, ia juga bertujuan membantu pentadbiran institusi itu mengadakan program penghayatan Ramadan bagi ahli kariah masing-masing.

"Dengan adanya peruntukan tambahan itu, program-program yang telah dirancang ini akan memberi peluang kepada ahli kariah menyemarakkan sambutan Ramadan dengan pelbagai program ilmu yang bermanafaat," katanya.



Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri berkata demikian dalam majlis berbuka puasa di kediamannya di Kampung Tok Jiring, dekat sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md. Kamaru Al-Amin Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd. Rozali Salleh.

Dalam ucapannya di majlis yang dihadiri hampir 1,000 tetamu dan penduduk setempat itu, Muhammad Ramli mengajak umat Islam menjadikan ibadat puasa sebagai kaedah terbaik untuk membentuk keperibadian.



Jelas beliau, kualiti keperibadian seseorang Islam hanya boleh dibentuk jika individu tersebut memiliki sifat tawaduk, berhemah, pemurah, sederhana, berilmu dan cintakan perpaduan.

"Jika kualiti diri kukuh dan mantap, maka aspek luarannya akan bersifat mulia sekali gus menjadikan umat Islam disegani dan dihormati," katanya.


04 August 2011

Wanita Terengganu jalankan pemutihan

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Wanita UMNO Perhubungan Terengganu laksana pemutihan dalam usaha mengesan ahli-ahlinya agar tidak tercicir daripada senarai daftar pemilih dengan Suruhanjaya Piilihan Raya (SPR).


Datuk Hajah Fatimah Hamat

Ketuanya, Datuk Hajah Fatimah Hamat berkata, senarai keahlian diedar kepada Ketua Wanita di cawangan-cawangan untuk tujuan semakan.

“Melalui gerak kerja akar umbi, usaha mengesan kumpulan sasar lebih cepat diperolehi kerana ia dalam kumpulan yang kecil yang sudah saling mengenali,” katanya kepada Teganukita ketika dihubungi hari ini.

Sehingga 24 Mei lalu katanya, keahlian Wanita UMNO mencecah 83,313 orang seluruh negeri dan daripada jumlah tersebut 78,743 mendaftar sebagai pemilih atau 94.51 peratus.

“Kita cuba kesan individu yang menjadi ahli tetapi tidak menjadi pengundi dan sesetengahnya tinggal di luar tempat kelahiran dan tidak pulang membuang undi di atas pelbagai alasan,” katanya.

Menurutnya yang mereka yang mendaftar sebagai pengundi tetapi tidak mendaftar sebagai ahli begitu juga sebaliknya.

“Perkara begini memang berlaku dan usaha menarik perhatian mereka dijalankan secara berkala dengan memberi penerangan mengenai tanggungjawab warga negara menentukan corak kepimpinan yang boleh membela rakyat,” katanya.




Seramai 242 pesakit nikmati bantuan Tabung Penyakit Kronik

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 242 pesakit seluruh Terengganu yang menghidap pelbagai penyakit kritikal dan memerlukan perhatian segera berjaya mendapatkan bantuan menerusi Tabung Penyakit Kronik sehingga Julai lalu.

Jumlah itu merupakan hampir sebahagian daripada keseluruhan 547 pesakit yang mengemukakan permohonan sejak bantuan itu diperkenalkan Kerajaan Terengganu tahun lalu.



Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, YB Yahya Khatib Mohamad, berkata berdasarkan rekod, 274 permohonanan sedang dalam proses, manakala hanya 21 gagal dan sembilan lagi terpaksa ditangguhkan disebabkan pelbagai masalah sistem dan kesilapan teknikal.

“Daripada 547 permohonanan, 128 pemohon daripada Kemaman, diikuti Kuala Terengganu (98, Marang (85), Dungun (58) Kuala Nerus (46), Hulu Terengganu (34), Setiu (31) dan Besut 14 pemohon. Manakala 53 kes atau pemohon yang selebihnya pula berdepan dengan masalah sistem menyebabkan status parlimen pemohonan gagal dikenalpasti.

“Bagaimanapun, jumlah permohonan yang berjaya akan bertambah berikutan lebih 200 permohonan sedang diproses dan hanya kes terpencil menyebabkan permohonan gagal diterima. Ia mungkin berpunca daripada pemohon gagal menepati syarat tertentu dalam borang permohonan,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Beliau berkata, Tabung penyakit Kronik diwujudkan atas kesedaran kerajaan melihat pelbagai penderitaan rakyat yang memerlukan perhatian segera terutama yang berdepan dengan penyakit kritikal dan memerlukan bantuan perubatan akibat kekangan kewangan.

Malah, katanya peruntukan diterima menerusi tabung itu sejak September tahun lalu berjumlah RM2 juta dan kira-kira RM360 ribu sudah dibelanjakan sehingga Februari lalu.

Dalam tempoh yang sama juga, antara penyakit yang sudah dibantu seperti pesakit jantung (71 kes), buah pinggang (57 kes), kanser (36 kes) dan lain-lain kes termasuk bantuan peralatan dan sokongan melibatkan 56 kes.

“Rayuan-rayuan itu biasanya dikemukakan kepada agensi kerajaan dan swasta, pemimpin masyarakat, malah ada yang memohon terus dengan kerajaan negeri. Tidak kurang juga kisah malang mereka mendapat liputan di dada akhbar tempatan dan media elektronik bagi mendapat belas kasihan dan simpati orang ramai,” katanya.



POGRAM JELAJAH KEMBARA BERMULA DI BESUT

Oleh: MOHAMMAD ISHAK


Saidi dan Azizah meletakkan jalur gemilang pada kenderaan yang melalui jalan Jertih-Kota Bharu.

JABATAN Penerangan Terengganu (PMT) mendahului jabatan dan agensi lain di negeri ini membangkitkan semangat patriotik di kalangan rakyat dengan menganjurkan program Kembara Ramadan Jalur Gemilang 2011.

Program tujuh hari membabitkan daerah Setiu, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan berakhir di Kemamam.

Pengarahnya, Azizah Awang berkata, menerusi program itu selain peserta menjelajah menggunakan kereta mereka juga akan menyertai komuniti setempat dengan majlis berbuka puasa dan sahur di masjd dan lokasi yang dipilih.

Katanya, program itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan tanah air di kalangan masyrakyat menerusi pelbagai aktiviti yang dirancang.

Menurutnya, daerah Besut yang dipilih sebagai lokasi pertama program itu dimulai dengan perarakan kereta proton wira yang membawa jalur gemilang bermula di Dataran Ketara dan berakhir di Masjid Padang Luas, dekat Jertih.


Seorang penduduk menerima hamper sempena Program Kembara Ramadan Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan Terengganu

Sebaik tiba di perkarangan masjid berkenaan peserta disambut oleh penduduk setempat dan meneruskan aktiviti dengan menyertai solat asar berjemaah sebelum mendengar ceramah oleh imam masjid terbabit.

Program yang dirasmikan oleh Penolong Kanan Pegawai Daerah Besut (Pembangunan Fizikal), Saidi Salleh @ Sulong, kemudian menyampaikan sumbangan hamper kepada golongan kurang berada di kampong berkenaan.

Sebagai tanda menyemarakkan semangat kebangsaan rombongan berkenaan kemudian mengagihkan 3,500 jalur gemilang kepada pemandu kenderaan yang melalui jalan Jertih ke Kota Bharu,Kelantan.


Orang ramai berbuka puasa bersama peseta konvoi yang diadakan di Masjid Padang Luas, Jertih.

Sebaik selesai pengagihan jalur gemilang peserta dan penduduk setempat menyertai majlis berbuka puasa yang di adakan di perkarangan masjid terbabit.

Seorang penduduk, Razali Che Noh,43, ketika ditemui menyifatkan program itu amat berjaya kerana penganjur mampu mendekati komuniti dengan aktiviti keagamaan dan
riadah dan sesuai dilaksanakan sempena Ramadan.

MBKT giat usaha kutip tunggakan saman

Oleh : FAUZI MOHD.



Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang mempergiat usaha bagi menggalak pengguna jalan raya yang melanggar peraturan letak kereta dan trafik tampil melangsaikan saman mereka.

Setiausaha MBKT, Haji Samiun Salleh berkata, selain memberi tawaran diskaun pada tempoh tertentu, pihaknya turut membuka kaunter pembayaran saman di kawasan tumpuan orang ramai seperti hentian pengangkutan awam dan pasar raya.

Katanya, hampir 10,000 saman dan kompaun berkaitan kesalahan itu dikeluarkan setiap bulan, tetapi hanya separuh saja yang menyelesaikannya.

"Daripada aduan yang kita terima, kebanyakkan mereka tidak ada masa yang sesuai untuk tujuan itu hingga menyebabkan saman itu tertunggak dalam tempoh yang lama," katanya ketika dihubungi Teganukita di sini hari ini.

Tambah Samiun, MBKT menyasarkan kutipan tempat letak kenderaan termasuk pembayaran saman sebanyak RM5.5 juta menjelang hujung tahun ini iaitu pertambahan RM1.5 juta berbanding tahun lalu.

Menurutnya, pertambahan hasil itu bagi membolehkan lebih banyak kemudahan disediakan untuk kelselesaan warga bandar serta menampung perbelanjaan penyelengggaraan yang semakin meningkat saban tahun.

Sementara itu katanya, MBKT menyediakan 1,000 petak parkir baru pada tahun ini iaitu 500 petak di Pulau Warisan, 300 petak di Kampung Cina dan selebihnya di Jalan Batas Baru yang menggunakan sistem letak kenderaan automatik bertingkat.

Mengenai tempat letak kenderaan automatik yang dikatakan kurang mendapat sambutan, Samiun memberitahu, perkara itu adalah biasa kerana apabila teknologi baru mula diperkenalkan, ia agak asing kepada pengguna tempatan.

"Walaupun ada yang meragui tahap keselamatan serta cara pengendalian parkir automatik itu, kita yakin hal itu tidak berlarutan dalam tempoh yang lama kerana pengguna perlukan masa untuk berasa yakin dengan kemudahan itu.

"Namun begitu, pihak MBKT turut menjalankan promosi penggunaan parkir itu kepada pengguna di premis perniagaan, bank serta pejabat kerajaan sekitar kawasan berkenaan," ujarnya.


Khairina dapat sambung belajar di LSE

Oleh: Suriati Ali


YAB MB berbual mesra dengan dua pelajar cemerlang SPM 2008, Lau Jia Cheng dan Khairina Abdullah. -Foto: SHUHAIMI AHMAD.

Pelajar cemerlang yang memperoleh 14 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Khairina Abdullah, 19, kini ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Tambahan di London School Of Economic (LSE), London.

Tawaran itu sangat berharga buat diri dan keluarganya yang sememangnya tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kata-kata semangat supaya terus cemerlang mencapai kejayaan seperti yang diimpikan.

Beliau yang sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap mata pelajaran Matematik dan Ekonomi mengharapkan kejayaan demi kejayaan ditempa ini menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain, termasuk adiknya Khairani, 11 yang masih belajar untuk turut cemerlang.

Beliau yang tinggal di Kampung Rhu Renggeh cukup bertuah kerana pelajarannya di Kolej Yayasan UEM Lembah Beringin, Selangor dengan mengikuti Program Persediaan Pelajar (A level), ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Terengganu.

Beliau berkata, dia berasa bangga kerana dilahirkan sebagai anak jati Terengganu kerana pelbagai bantuan dihulurkan kerajaan negeri tanpa mengira pangkat dan keturunan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan belanja sehingga jutaan ringgit semata-mata ingin melihat pelajar di negeri ini terus menempa kejayaan sekaligus menjulang nama.

Katanya, pelbagai program dan jenis bantuan diwujudkan bagi merealisasikan impian itu selain menambah dan mengubahsuai infrastruktur bertujuan memberi semangat dan keselesaan kepada pelajar.

“Pelajar sewajarnya bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang cakna mengenai pendidikan dengan menghulurkan pelbagai bantuan termasuk sokongan moral dan kewangan.

“Jika cemerlang, mereka tidak perlu risau berikutan kerajaan negeri sedia membantu sehingga ke peringkat universiti termasuk luar negara,” katanya di satu majlis baru-baru ini .