Halaman

17 August 2011

55 Pesakit di Hospital Setiu menerima sumbangan

Oleh: Mohammad Ishak


Ahmad bertanyakan sesuatu kepada seorang pesakit sambil diperhatikan Dr A Rahman dan Nordiana

Program Ehsan Ramadan anjuran Puteri Umno Negeri Terengganu berjaya mendekatkan pemimpin kerajaan negeri ini dengan rakyat apabila mereka saling bertemu sambil beramah mesra dengan pesakit yang dirawat di hospital.

Menerusi program itu Puteri Umno memilih semua hospital daerah seluruh negeri ini untuk dikunjungi pemimpin yang diketuai sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan pemimpin setempat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen hadir sama pada program berkenaan.

Ketua Penerangan Puteri Umno Malaysia, Datuk Nordiana Shafie berkata, pihaknya menganjurkan program berkenaan bagi mendekatkan pemimpin dengan rakyat terutama menjengok mereka yang sedang dirawat di hospital.

Menurutnya, selepas Dungun dan Besut semalam rombongan berkenaan mengadakan lawatan ke Hospital Setiu (HS) dan bakinya akan menyusul sebelum berakhir Ramadan ini.

Ahmad yang hadir bersama isteri turut disambut Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafie, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Indistri Asas Tani Negeri, Asha’ari Idris dan ADUN Permaisuri, Abd Halim Jusoh.

Pada majlis itu Ahmad turut melakukan lawatan ke wad sambil menyampaikan sumbangan hamper, makanan dan wang kepada 55 pesakit yang sedang dirawat di hospital berkenaan.

Nordiana berkata, jentera Puteri Umno negeri lain turut mengadakan program sempena Ramadan tetapi mengikut keperluan dan kepentingan penduduk negeri terbabit.

Tuanku Mizan hadir di Majlis Pergurniaan Bantuan



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berkenan hadir di Majlis Pengurniaan Bantuan Kepada Fakir Miskin di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini (17 Ogos).

Sebanyak RM120,000 diagihkan kepada 390 penerima di mana warga emas memperoleh wang tunai berjumlah RM250 seorang, baju melayu atau baju kurung; songkok atau tudung; kain pelikat atau kain batik manakala pelajar pula menerima sumbangan RM150 seorang.

Pemberiaan hasil sumbangan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) itu nyata mengembirakan penerima kerana dapat meringankan beban keluarga selain mampu membeli pelbagai barang keperluan hari raya.

Hadir sama Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja bersama isteri To’ Puan Hajjah Rahimah Awang dan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama Isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud.

Tetamu kehormat lain, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; semua barisan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan beberapa wakil rakyat.

Program amal yang dianjurkan ini adalah untuk memenuhi matlamat penubuhan YDSM iaitu ke arah meningkatkan sosio-ekonomi penduduk Terengganu.


RANCANGAN PENGAIRAN JELAPANG, SETIU BERI MANFAAT KEPADA PETANI

Oleh: Mohammad Ishak



Menteri Besar mencuba mesin mengetam ketika melawat projek tanaman padi berkelompok di Jelapang, Setiu.


Projek tanaman padi berkelompok di kawasan pengairan Jelapang, Setiu, mula menampakkan hasilnya sebagai pusat pengeluaran padi terbesar di daerah itu apabila pelaksanaan pelbagai projek kemudahan asas untuk petani giat dilaksanakan.

Projek yang dibangunkan pada 2009 membabitkan kos RM48 juta dengan keluasan 173.2 hektar sehingga ini disertai seramai 119 petani yang mengusahakan tanaman padi dua kali setahun.

Antara komponen utama projek itu termasuklah empangan konkrik utama, taliair konkrik, rumah pam, parit tadahan dan jalan raya.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, ketika melawat pembinaan projek itu semalam mahu projek pertanian berkenaan diberi perhatian oleh agensi pelaksanakan bagi mempastikan hasil pengeluaran padi dikawasan itu dipertingkatkan.

Katanya, Jabatan Pertanian juga diminta menukar benih padi sedia ada kepada jenis MR253 kerana ia dijangka dapat meningkatkan lagi hasil pengeluaran selain mampu bertahan jika diserang penyakit.

“Ketika ini petani yang mengusahakan tanaman berkenaan berhadapan dengan masalah serangan penyakit yang menyebabkan hasil tidak memuaskan,” katanya ketika menyertai upacara menuai di pengairan Jelapang, Setiu.semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Asha’ari Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Md Yusof Maidin.

Ahmad berkata, kerajaan negeri mensasarkan hasil pengeluaran padi negeri akan mencapai tahap 100 peratus dalam tempoh sepuluh tahun apabila semua projek tanaman padi utama seperti di kawasan Projek Pembangunan Pertaanian Terengganu Utara (Ketara) di Besut, Jelapang di Setiu dan Pengkalan Berangan di Marang, beroperasi sepenuhnya mengikut jadual.

MB agih juadah sahur

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama-sama lebih 700 pemuda, sebahagian besarnya ahli Kelab Remaja Terengganu dan pemimpin Pergerakan Pemuda Umno negeri, mengagihkan juadah untuk bersahur kepada petugas malam di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada masa yang sama para peserta Program Kayuhan Singgah Sahur/Ambang Merdeka 2011 itu turut mengedarkan sticker dan bendera Malaysia kepada orang ramai sekitar bandar ini.



Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pemuda Umno negeri, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Besar, Encik Azman Ghani @ Hussin dan Setiausaha Politik, Encik Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid, turut menyertai program berkenaan.

Program itu dimulakan di Dataran Awam Batu Buruk kira-kira jam 11.30 malam dan berakhir jam 1.30 pagi di Kediaman Seri Iman.

Melalui program itu, Menteri Besar dan peserta lain berbasikal sekeliling bandar dan mengagihkan bungkusan makanan, kurma dan air zam zam kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengawal keselamatan dan petugas hospital kerajaan dan klinik swasta sekitar bandaraya.

Manakala bendera Malaysia dan pelekat mengandungi slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamkan’, dibahagi-bahagikan kepada orang ramai di stesen bas dan premis menjual makanan ringan.



Program tersebut dianjurkan Pergerakan Pemuda Umno negeri bagi mendedahkan generasi muda kepada masyarakat umum serta mendekati pelbagai golongan yang bertugas pada waktu malam.

Sebaik program itu selesai, pesertanya menjamu selera di Kediaman Seri Iman.














Anak-anak Terengganu memang hebat

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali



Empat anak Terengganu melakar sejarah tersendiri apabila kejayaan mereka berjaya mengharumkan nama Terengganu dalam bidang pendidikan, sekaligus membanggakan penduduk tempatan.

Mohd Firdaus Samsuddin, 23, dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu, yang baru saja menamatkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang Bioteknologi di Imperial College, London, ditawarkan melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka dunia, Universiti Oxford, akhir tahun ini.

Beliau yang merupakan antara lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005 terbaik di peringkat kebangsaan, ditawarkan mengikuti pengajian peringkat sarjana di bidang Sains Biochemistry di universiti berkenaan.

Manakala pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Lau Jia Cheng terus melakar kejayaan apabila ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di University Of Cambridge, London, September ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman yang memperoleh 14 A1 itu amat gembira dengan tawaran tersebut yang menjadi impiannya sejak di bangku sekolah.

Beliau yang begitu meminati mata pelajaran Matematik dan Ekonomi berharap kejayaannya menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain, termasuk dua adiknya yang masih belajar untuk turut cemerlang.

Seorang lagi pelajar tempatan, Adik Nurul Nadiah Wahidah Azhar, 12, dari Seri Bandi, Kemaman, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Perdana Pelajar Cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2010, yang diumumkan baru-baru ini.

Murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Seri Bandi itu mendapat kelulusan seratus peratus bagi semua lapan mata pelajaran peperiksaan UPKK yang didudukinya pada bulan Oktober tahun lalu.

Dia yang mendapat markah 800/800 dalam UPKK menerima anugerah tersebut pada satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berikutan kejayaan itu Nurul Nadiah yang bercita-cita mahu menjadi guru, menerima wang tunai RM1,500, plak dan sijil penghargaan.

Sementara itu, kejayaan adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, yang berjaya mewakili Malaysia ke Pusingan Akhir Tilawah al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar, akhir Ramadan ini, membanggakan semua pihak terutama ibu bapanya.

Pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak stesen televisyen, al-Jazeera adalah kali kedua diadakan di mana tahun lalu peserta Maghribi memenangi pertandingan itu.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Besut itu sudah lama bersedia untuk membawa nama Terengganu dan Malaysia di pertandingan yang melibatkan dua lagi peserta lain iaitu Yaman dan Maghribi.

Fama agih motosikal kepada usahawan tani

Oleh: Esah Abdullah



Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu mengagihkan 13 buah motosikal di bawah Program Bantuan Motosikal Tiga Roda (PBMTR) kepada 13 usahawan tani seluruh negeri sejak ia diperkenalkan pada 2009 hingga Julai tahun ini.

Pengerusi Fama, Dato’ Paduka Haji Badruddin Amiruldin berkata, pengwujudan program ini merupakan sebahagian komponen Projek Pembangunan Kedai Rakyat (PPKR) berikutan timbulnya keperluan untuk mengatasi masalah lebihan hasil pertanian.

“Hasil-hasil pertanian yang dikumpul akan dijual di rangkaian Agrobazaar Kedai Rakyat, Pasar Tani, Gerai Buahan Segar dan outlet kecil yang lain,” katanya di majlis Penyerahan Bantuan Motosikal Tiga Roda di Perkarangan Pejabat Fama negeri, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Pengarah Fama Wilayah Timur, Haji Mohd Ariffin Awang; Pengarah kanan Bahagian Usahawan, Haji Abdul Razak Majid dan Pengarah Fama negeri, Haji Hasan Jusoh.

Katanya, program ini memberi tumpuan kepada pengusaha pertanian di kawasan luar bandar untuk membantu masalah kemiskinan dan sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada usahawan motosikal tiga roda.

Menurutnya, program ini merupakan program pembangunan usahawan peraih yang berperanan membeli hasil pertanian yang diusahakan oleh orang-orang kampung.

“Aktiviti utama mereka adalah mengumpul hasil pertanian di kampung-kampung menggunakan motosikal tiga roda pemberian Fama untuk dipasarkan ke pusat jualan dengan menawarkan harga berpatutan dan menampilkanimej yang kemas dan seragam seluruh negara,” katanya.

Dato’ Paduka Haji Badruddin kemudiannya menyerahkan enam buah motosikal kepada enam usahawan dengan nilai keseluruhan RM45,000.

“Mereka hanya perlu bayar balik RM3,500 daripada harga sebenar RM7,500 sebuah dan bulanan hanya RM100 sebulan,” katanya.

16 August 2011

Masjid Pagar Ubi terima sumbangan dari TNB

Oleh: Suriati Ali



Sumbangan RM2,000 yang diagihkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada tabung Masjid Kampung Pagar Ubi cukup bernilai kepada jemaah yang ingin mendapatkan lebih keselesaan di rumah ibadat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Zakaria Mohd Ali berkata, wang yang disumbangkan itu akan diguna sebaik mungkin terutama membaiki kebocoran kubah masjid hampir 10 tahun.

“Sepanjang 10 tahun, masjid ini berkeadaan demikian, dan apabila hujan, terpaksa meletakkan besen atau baldi bagi mengelak kawasan sekelilingnya basah.

“Walaupun nilai RM2,000 masih tidak mencukupi untuk melakukan kerja-kerja membaiki kubah masjid yang bocor, tetapi dia tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat melakukan sedikit pembaharuan,” katanya sempena Ihya Ramadan TNB Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di masjid berkenaan.

Menurutnya, walaupun berlaku kebocoran di dalam masjid itu, ia tidak menghalang jemaah untuk melakukan ibadat serta program berbentuk agama di dalamnya kerana hanya sebahagian kecil sahaja mengalami kebocoran.

“Kalau dikira saf jemaah, lebih kurang lima atau enam orang terpaksa berundur sekiranya berlaku hujan,” katanya.

Beliau turut berharap, mana-mana pihak yang ingin membantu menyelesaikan masalah berkenaan, dapatlah berbuat demikian supaya Rumah Allah yang mampu memuatkan 1,000 jemaah itu berada dalam keadaan sempurna.

Sementara itu, Naib Presiden Pembahagian TNB, Hussin Othman berkata, program berkenaan diadakan sebagai langkah pihaknya mendampingi rakyat terutama di Kampung Pagar Ubi, Tepoh.

“Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihak TNB,” katanya.


Penduduk Kg Pagar Ubi terima dana raya

Oleh: Suriati Ali



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh hadir mengagihkan dana raya berjumlah RM56,000 kepada 195 penduduk Kampung Pagar Ubi, Tepoh pada Majlis Pengagihan Dana Raya yang diadakan di perkarangan Masjid Kampung Pagar Ubi, malam tadi, (15 Ogos).

Mereka yang dikategori berpendapatan rendah, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal dan nyata gembira dengan sumbangan berjumlah antara RM200 hingga RM450 seorang itu.

Rata-rata mereka akan membelanjakan duit yang diterima itu untuk membeli pakaian raya anak-anak dan kelengkapan dapur.


Kuiz merakyatkan pentadbiran dan pembangunan dapat sambutan

Oleh: Esah Abdullah


Tuan Haji Shamsuddin menyampaikan hadiah kepada Puan Sanisah Harun, antara pemenang kuiz.

Seramai 60 orang pendengar setia Radio Terengganu (Tfm) telah terpilih menenangi hadiah program kuiz Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu (MPPT) anjuran bersama Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) dan Tfm.

Program yang bersiaran selama sebulan (Julai) di Tfm menawarkan hadiah berupa barangan elektrik seperti pembakar roti, seterika dan dapur gas.

Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong berkata, penganjuran kuiz berkenaan sebagai menguji tahap kefahaman terhadap konsep MPPT yang diperkenalkan kerajaan negeri.

“Usaha ini juga sebagai galakkan kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama menambah ilmu pengetahuan dengan menawarkan ganjaran semasa menyertai kuiz,” katanya.

Katanya, program ini juga diharap mampu membuka minda rakyat negeri ini tentang konsep MPPT dan seterusnya menjadi bahan bicara dalam perbualan harian pendengar radio.

Seorang pemenang, Puan Sanisah Harun, 37, dari Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit menganggap dirinya amat bertuah kerana memenangi hadiah berupa dapur gas.

“Saya mendail hingga berbelas kali baru dapat dan kebetulan jawapan saya menepati kehendak penganjur, tapi sebelum itu saya mencari maklumat terlebih dahulu,” katanya ketika datang menuntut hadiah di pejabat Ukom hari ini.


Puan Maimunah Othman menerima hadiah yang disampaikan oleh Tuan Haji Shamsuddin.

Puan Maimunah Othman, 44, dari Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit pula memuji langkah pihak penganjur menyediakan ganjaran kepada pemenang kuiz yang sekali gus membuka ruang berfikir kepada pendengar Tfm.

“Dengan adanya kuiz, pendengar Tfm bukan sekadar mendapat hiburan sebaliknya mendapat info yang boleh mempertajamkan minda kita,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Rancangan, Encik Rizallimi Mohammed berkata, sambutan yang diterima daripada pendengar terhadap kuiz MPPT sangat menggalakkan.

“Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti suri rumah, remaja lepasan sekolah dan juga pelajar yang gemar mencabar minda mereka untuk berfikir sambil berhibur,” katanya.




Masjid AMBS atur aktiviti sambut Nuzul Quran

Oleh; Esah Abdullah

Pengurusan Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Ladang Kuala Terengganu akan mengadakan beberapa aktiviti sempena menyambut Nuzul Quran esok (17 Ogos).

Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid AMBS, Datuk Wan Mohd Al Bakri Wan Mohd Nor berkata, antaranya adalah majlis Khatam Quran yang disertai 30 hafiz terdiri daripada ulamak Maidam dan juga bekas pelajar sekolah Imtiaz.

Menurutnya, pihak lembaga pengurusan masjid telah mengundang seorang tokoh agama, Dato’ Abu Hasan Din Al-Hafiz untuk menyampaikan ceramah sempena Nuzul Quran.

“Dato’ Abu Hassan akan mengupas dua tajuk ialtu ‘Terapi Hati Melalui Nuzul Quran’ (16 Ogos) dan ‘Wacana Minda Muslimah’ (17 Ogos),” katanya.

Turut diadakan majlis berbuka puasa kepada 500 jemputan terdiri dari masyarakat dari sekitar bandaraya ini,” katanya.

Selain itu katanya, sepanjang bulan berkat ini turut mengadakan tazkirah setiap selesai solat subuh dan zohor,bacaan hadis mengenai fadilat Ramadan, pengagihan bubur lambuk setiap hari serta tadarus Quran selepas solat tarawih.

‘Pada 10 malam terakhir akan diadakan Qiamulai dan menjemput semua jemaah serta orang ramai mengambil peluang bagi merebut malam lailatulkadar beserta jamuan sahur,” katanya.