Halaman

17 August 2011

Fama agih motosikal kepada usahawan tani

Oleh: Esah Abdullah



Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu mengagihkan 13 buah motosikal di bawah Program Bantuan Motosikal Tiga Roda (PBMTR) kepada 13 usahawan tani seluruh negeri sejak ia diperkenalkan pada 2009 hingga Julai tahun ini.

Pengerusi Fama, Dato’ Paduka Haji Badruddin Amiruldin berkata, pengwujudan program ini merupakan sebahagian komponen Projek Pembangunan Kedai Rakyat (PPKR) berikutan timbulnya keperluan untuk mengatasi masalah lebihan hasil pertanian.

“Hasil-hasil pertanian yang dikumpul akan dijual di rangkaian Agrobazaar Kedai Rakyat, Pasar Tani, Gerai Buahan Segar dan outlet kecil yang lain,” katanya di majlis Penyerahan Bantuan Motosikal Tiga Roda di Perkarangan Pejabat Fama negeri, Kuala Terengganu hari ini.



Hadir sama, Pengarah Fama Wilayah Timur, Haji Mohd Ariffin Awang; Pengarah kanan Bahagian Usahawan, Haji Abdul Razak Majid dan Pengarah Fama negeri, Haji Hasan Jusoh.

Katanya, program ini memberi tumpuan kepada pengusaha pertanian di kawasan luar bandar untuk membantu masalah kemiskinan dan sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada usahawan motosikal tiga roda.

Menurutnya, program ini merupakan program pembangunan usahawan peraih yang berperanan membeli hasil pertanian yang diusahakan oleh orang-orang kampung.

“Aktiviti utama mereka adalah mengumpul hasil pertanian di kampung-kampung menggunakan motosikal tiga roda pemberian Fama untuk dipasarkan ke pusat jualan dengan menawarkan harga berpatutan dan menampilkanimej yang kemas dan seragam seluruh negara,” katanya.

Dato’ Paduka Haji Badruddin kemudiannya menyerahkan enam buah motosikal kepada enam usahawan dengan nilai keseluruhan RM45,000.

“Mereka hanya perlu bayar balik RM3,500 daripada harga sebenar RM7,500 sebuah dan bulanan hanya RM100 sebulan,” katanya.