Halaman

16 August 2011

T'Cafe bakal diperluas ke setiap negeri

Oleh FAUZI MOHD

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) merancang untuk mengembang operasi rangkaian restoran francais jenama T’Cafe dengan membuka cawangannya di setiap negeri bermula awal tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Kooperasi negeri, Dato' Mohamed Awang Tera berkata, T’Cafe yang membawa imej masakan tradisional Terengganu kepada pengunjungnya mula menunjukkan peningkatan hasil jualan yang memberangsangkan.


Sebahagian pengunjung yang berpeluang menikmati masakan berasaskan daging kambing pada majlis berbuka puasa sempena perlancaran T'Cafe Pantai Peranginan Kelulut, Marang, petang semalam.

Menurutnya, berdasarkan hasil jualan setengah tahun pertama di empat cawangan restoran itu, T’Cafe D’Muara, Losong mencatatkan jualan bulanan tertinggi sebanyak RM112,000 dan Medan Selera Pasar Raya Giant, Kuala Terengganu mencatatkan RM85,000.

“Cawangan T’Cafe di Gong Gemuntung, Besut dan Geliga, Kemaman masing-masing mencatatkan hasil jualan bulanan tertinggi sebanyak RM28,000 dan RM24,000.

“Untuk memperluaskan rangkian perkhidmatan jenama ini, YPU komited untuk melatih dan menjalinkan kerjasama dengan usahawan tempatan yang berwibawa serta berpengalaman bagi membawa ikon baru bagi negeri Terengganu dalam pelancongan berasaskan makanan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi YPU berkata demikian pada majlis berbuka puasa sempena perlancaran penjenamaan semula T’Cafe Pantai Peranginan Kelulut, Marang petang semalam.

Cawangan kelima cafe itu dibuka hasil kerjasama YPU dengan syarikat penternak dan pembekal ternakan kambing tempatan, Cosmopal Sdn. Bhd. bagi menyediakan masakan berasaskan daging dan susu kambing.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Kooperasi negeri, Dato' Rosol Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik dan Pengerusi Eksekutif Cosmopal Sdn. Bhd., Zainudin Zakaria.

Tambah Dato' Mohamed, bagi menjayakan hasrat itu, YPU turut menyediakan pinjaman antara RM50,000 hingga RM150,000 kepada usahawan terbabit dan peruntukan itu akan ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan komitmen yang ditunjukkan dalam perniagaan berkenaan.

Di samping ingin melahirkan ramai usahawan dalam pelbagai sektor perniagaan katanya, asas utama dalam mewujudkan rangkaian perniagaan ini adalah untuk mengetengahkan makanan Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor kepada pengunjungnya.

"Untuk itu juga, cawangan T’Cafe ketujuh akan dibuka selepas Hari Raya Aidilfitri nanti di Jabi, Besut dengan membawa menu Nasi Ayam dan Sate sebagai hidangan utama serta masakan tradisional tempatan yang lain.

“Setiap restoran yang dibangunkan sudah pasti menyediakan masakan yang halal dengan harga berpatutan serta dilengkapi dengan peralatan moden yang menggunakan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP),” ujarnya.