Halaman

15 August 2011

Tukun tiruan tingkat hasil laut

Oleh; Esah Abdullah

Nelayan sekitar Pulau Perhentian menarik nafas lega apabila projek penanaman tukun tiruan menjadi kenyataan serta membolehkan mereka meraih pendapatan lebih melalui aktiviti memancing.

Baru-baru ini lapan tukun tiruan mesra alam telah berjaya diturunkan di kawasan bersempadan taman laut yang tidak jauh dari Pulau Perhentian.

Pengerusi jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Penguna negeri YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, projek yang telah di uar-uarkan tahun lalu itu memberi harapan baru kepada nelayan sekitar sekali gus menjadikan kawasan ini sebagai pelancongan rekreasi.

“Hidupan marin dapat membiak di sini untuk membolehkan aktiviti memancing dapat diadakan serta memberi faedah kepada pengusaha bot di mana mereka boleh mengendalikan pakej memancing,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut berkata, inovasi mesra alam itu perlu diperbanyakkan lagi bagi menggalakkan pertumbuhan kawasan pelancongan rekreasi sesuai dengan persekitaran berkenaan yang menjadi tumpuan pelancong.

Katanya, tukun yang dihasil menggunakan seramik ini tidak menyebabkan pencemaran sebaliknya memberi kelebihan menggalakkan pertumbuhan alga yang menjadi makanan ikan dan hidupan laut lain.

“Saya harap kerajaan dapat melabur lebih banyak lagi untuk menghasilkan tukun tiruan ini di mana pulangannya tentulah kepada penduduk sekitar yang rata-rata bergantung hidup kepada aktiviti nelayan,” katanya.

Tukun tiruan ini dihasilkan menerusi penyelidikan Pusat Teknologi Seramik dan Kaca Sirim Berhad yang mengandungi bahan seramik yang tidak menyebabkan pencemaran serta sesuai digunakan kerana ia statik dan tidak bertindak balas dengan apa juga keadaan.