Halaman

17 August 2011

MB agih juadah sahur

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama-sama lebih 700 pemuda, sebahagian besarnya ahli Kelab Remaja Terengganu dan pemimpin Pergerakan Pemuda Umno negeri, mengagihkan juadah untuk bersahur kepada petugas malam di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu, malam tadi.

Pada masa yang sama para peserta Program Kayuhan Singgah Sahur/Ambang Merdeka 2011 itu turut mengedarkan sticker dan bendera Malaysia kepada orang ramai sekitar bandar ini.



Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pemuda Umno negeri, Encik Saiful Bahari Dato’ Baharuddin, Setiausaha Sulit Kanan Kepada Menteri Besar, Encik Azman Ghani @ Hussin dan Setiausaha Politik, Encik Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid, turut menyertai program berkenaan.

Program itu dimulakan di Dataran Awam Batu Buruk kira-kira jam 11.30 malam dan berakhir jam 1.30 pagi di Kediaman Seri Iman.

Melalui program itu, Menteri Besar dan peserta lain berbasikal sekeliling bandar dan mengagihkan bungkusan makanan, kurma dan air zam zam kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengawal keselamatan dan petugas hospital kerajaan dan klinik swasta sekitar bandaraya.

Manakala bendera Malaysia dan pelekat mengandungi slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamkan’, dibahagi-bahagikan kepada orang ramai di stesen bas dan premis menjual makanan ringan.



Program tersebut dianjurkan Pergerakan Pemuda Umno negeri bagi mendedahkan generasi muda kepada masyarakat umum serta mendekati pelbagai golongan yang bertugas pada waktu malam.

Sebaik program itu selesai, pesertanya menjamu selera di Kediaman Seri Iman.