Halaman

15 August 2011

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan didik peniaga dan pengguna

Oleh FAUZI MOHD

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bagi kira-kira 20 jenis barangan yang bakal dilaksanakan menjelang Hari Raya Aidilfitri minggu depan dijangka mampu mengatasi masalah kenaikan mendadak barangan tertentu di musim perayaan.

Timbalan Pengarah, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunan (PPDNKK) negeri, Ab. Ghani Harun berkata, skim itu bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan daripada permintaan tinggi semasa musim perayaan untuk menaikkan harga barang yang tidak berada dalam senarai barangan kawalan sebelum ini.

Menurutnya, jenis barangan kawalan itu termasuklah daging import dan tempatan, telor, ayam hidup, ikan kembung, bawang, ubi kentang dan cili merah.

Ab. Ghani berkata, skim itu dibuat bagi memastikan pengguna tidak ditindas segelintir peniaga yang mahu mengambil kesempatan atas pemintaan tinggi ketika perayaan.

“Di bawah skim tersebut pihak PPDNKK menetapkan tempoh selama dua minggu iaitu seminggu sebelum dan selepas perayaan untuk mengawal harga barang yang akan disenaraikan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ab. Ghani, skim tersebut tidak hanya akan diaktifkan ketika Hari Raya Aidilfitri malah juga perayaan-perayaan utama lain yang disambut di negara ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna agar bijak dalam membuat pilihan ketika berbelanja dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran jualan murah ketika musim perayaan.

Katanya, ketika ini pihaknya bukan hanya memberi tumpuan kepada usaha untuk mengawal harga barangan agar tidak membebankan rakyat, malah juga mahu mendidik pengguna agar bijak berbelanja.

"Ada banyak pilihan kedai dan produk di pasaran, kita mahu pengguna bijak dalam menentukan apa pilihan mereka dan tidak hanya terkongkong kepada sesebuah kedai ataupun sesuatu jenama sahaja," katanya.